James Dyson rombak empayar keluarga bernilai $21b, pindah dana ke firma S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

James Dyson rombak empayar keluarga bernilai $21b, pindah dana ke firma S’pura

Langkah strategik serlahkan peranan negara ini sebagai hab pengurusan kekayaan sejagat
Jan 19, 2026 | 5:30 AM

James Dyson rombak empayar keluarga bernilai $21b, pindah dana ke firma S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Sir James Dyson, individu terkaya di Britain, firma pelaburan keluarga, Weybourne, pindah aset ke Singapura
Sir James Dyson, 78 tahun, merupakan antara individu terkaya di Britain dengan nilai bersih sekitar AS$16.5 bilion (kira-kira $21 bilion). Firma pelaburan keluarganya, Weybourne, telah menyiarkan iklan pekerjaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini bagi “pasukan baru” di Singapura untuk menyokong portfolio pelaburan berbilang aset. - Foto ST

LONDON: Usahawan Sir James Dyson sedang menyusun semula cara beliau mengurus kekayaan terbesar di Britain, dengan menyelaras empayar perniagaannya yang merentasi tiga benua, selepas kepimpinan baru mengambil alih syarikat pegangan keluarganya.

Firma pelaburan milik keluarga Dyson, Weybourne, telah memindahkan dana berjumlah sekurang-kurangnya 624 juta paun ($1.08 bilion) daripada sebuah entiti utama di Britain pada 2025, kepada syarikat pegangan miliknya di Singapura. 

Langkah itu mengurangkan modal saham unit di Britain itu kepada hanya 1 paun, menurut analisis dokumen pendaftaran Bloomberg.

Firma itu juga telah memuktamadkan rancangan untuk menutup dua syarikat di Britain yang menyelia pelaburan hartanah, serta memindahkan sebahagian modal sahamnya kepada entiti lain di Singapura, lokasi ibu pejabat sejagat pengeluar vakum jenama Dyson.

Sementara itu, Weybourne telah mengiklankan jawatan kosong dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk membentuk “pasukan baru” di Singapura bagi menyokong satu portfolio pelaburan pelbagai aset.

Firma pelaburan itu juga telah mengecilkan operasi di Amerika Syarikat selepas membelanjakan hampir AS$200 juta ($257 juta) untuk hartanah di New York.

Seorang wakil Dyson enggan mengulas mengenai langkah tersebut.

Perubahan itu mungkin adalah “sebahagian pelan hala tuju beberapa tahun” serta “perancangan jangka panjang (syarikat)”, kata pakar strategi perniagaan keluarga sejagat dan penasihat kanan di McKinsey & Co, Encik Martin Roll.

Langkah itu menandakan kepimpinan baru Weybourne sedang membuat perubahan ke atas kekayaan Encik Dyson, 78 tahun. 

Ia diambil bagi menyusun semula empayar perniagaan yang telah berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selepas Encik Dyson – yang merupakan antara individu terkaya di Britain dengan nilai bersih sekitar AS$16.5 bilion – mengeluarkan dana daripada syarikat teknologinya bagi mempelbagaikan kekayaannya.

Kepimpinan Baru

Seorang peguam berpengalaman daripada Dyson Group, Encik Martin Bowen, dilantik sebagai Ketua Eksekutif Weybourne pada Februari, menyusuli persaraan mantan pegawai tentera, Encik James Bucknall, yang memegang peranan itu lebih sedekad.

Firma pelaburan itu turut menaikkan pangkat Pengurus Kanan Kewangan, Cik Jane Simpson, kepada Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) bagi aset kewangannya di London pada 2024.

Pelantikan itu dibuat apabila mantan Eksekutif BlackRock, Encik Alastair Peters, dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Weybourne, dalam satu langkah yang tidak dilaporkan sebelum ini.

Pasukan baru Weybourne di Singapura akan bekerjasama dengan unit CFO yang diketuai Encik Peters.

CFO yang baru menyambut ulang tahun ke-43 beliau pada Disember 2025 itu tergolong dalam barisan eksekutif lebih muda di firma pelaburan keluarga itu.

Manakala Encik Bowen, mantan Ketua Pegawai Undang-Undang di syarikat teknologi Dyson yang telah mencecah usia 57 tahun pada Disember 2025, adalah 10 tahun lebih muda berbanding mantan CEO, Encik Bucknall.

Pelantikan barisan eksekutif baru yang lebih muda itu menonjolkan pentingnya pengurus wang berpengalaman bagi individu yang ‘terlalu kaya’ merangka pelan gantian bagi kepimpinan mereka sendiri serta majikan mereka.

Perubahan Pejabat Keluarga

Menurut indeks kekayaan Bloomberg, sekurang-kurangnya satu perlima daripada 500 individu terkaya dunia kini mempunyai pejabat keluarga yang membantu mengurus kekayaan bernilai lebih AS$5 trilion.

“Ramai lupa pejabat keluarga juga sebuah perniagaan keluarga… Mereka juga perlu menjalani perubahan,” kata pengasas bersama firma penasihat perniagaan dan pejabat keluarga, Wingspan Legacy Partners, Cik Christina Wing.

Seperti sebilangan besar pejabat keluarga lain, Weybourne mencerminkan asal usul pengasasnya, dengan menggunakan nama sebuah perkampungan tepi pantai di England, tempat Encik Dyson membesar.

Menurut pemfailan rasmi, sebulan selepas Encik Bowen menjadi CEO pada Februari, entiti utama firma itu di Britain, Weybourne Ltd, mengembalikan 24.2 juta paun modal sahamnya kepada syarikat induknya di Singapura. 

Ia kemudian mengeluarkan 600 juta paun lagi pada Disember, membatalkan urus niaga yang dibuat antara entiti-entiti itu pada 2021.

Menurut wakil Dyson, langkah itu bertujuan memperbaiki struktur tadbir urus.

Selain itu, mengikut pelan yang didedahkan secara terbuka pada lewat 2024, sebuah firma hartanah Weybourne yang berpangkalan di Britain telah ditutup pada Disember 2025 selepas memindahkan pemilikan pelaburan hartanahnya kepada sebuah entiti di Singapura dalam satu urus niaga bernilai 26.4 juta paun.

Satu lagi firma hartanah di Britain, dinamakan sempena estet Encik Dyson di Gloucestershire, Dodington Park, ditutup pada 2025 selepas memindahkan pelaburan hartanahnya kepada perniagaan pertanian, Dyson Farming.

Menurut pemfailan akaun Weybourne Ltd 2024 pada Oktober 2025, pemindahan dana itu membolehkan Dyson Farming mencapai “kecekapan operasi”.

Langkah itu turut menekankan manfaat pengurusan korporat bagi empayar jutawan Britain tersebut.

Kenaikan dividen

Menurut indeks kekayaan Bloomberg, Encik Dyson sedang merancang langkah seterusnya untuk mempelbagaikan kekayaannya, yang sebahagian besarnya masih terikat pada syarikat teknologi miliknya.

Pada 2025, firma pengeluar vakum Dyson komited dalam meningkatkan dividen tahunan bagi Weybourne Holdings yang berpangkalan di Singapura kepada 225 juta paun, sekali gus membalikkan trend penurunan pembayaran dividen sebelum ini. 

Syarikat itu sebelum ini membayar dividen sebanyak 200 juta paun bagi 2024, iaitu jumlah keseluruhan terendah sekurang-kurangnya dalam tempoh tujuh tahun.

Meskipun bilangan firma pelaburan keluarga yang memenuhi keperluan golongan ‘ultra-kaya’ di seluruh dunia telah meningkat dengan pesat sejak dua dekad lalu, hanya sebilangan firma mempunyai skala sebesar Weybourne.

Ditubuhkan pada 2013, firma itu kini mempunyai lebih 70 kakitangan merangkumi pasukan di London dan Singapura. 

Di Singapura, ia menubuhkan sebuah unit insurans pada 2022 bagi membantu menjaga urusan kewangan Dyson, dan baru-baru ini turut mengambil langkah menambah bilangan kakitangan.

Kali terakhir Weybourne secara terbuka mendedahkan nilai aset bersihnya di Britain sebanyak 4.5 bilion paun ialah pada 2019.

Ini ketika syarikat teknologi yang diasaskan Encik Dyson lebih dua dekad lalu mengumumkan pemindahan ibu pejabatnya ke Singapura. 

Antara jawatan kosong terbaru yang ditawarkan ialah satu jawatan di Britain dalam pasukan sumber manusia – satu peranan yang jarang terdapat dalam firma pelaburan milik golongan ‘ultra-kaya’.

“Ia mengekalkan banyak fungsi secara dalaman yang lazimnya diambil daripada sumber luar oleh firma seangkatan,” kata pengasas firma penasihat bagi pejabat keluarga FO-Next, Encik Marc Debois.

“Weybourne perlukan tenaga kerja,” tambahnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg