Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, bertikam lidah dengan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Kenneth Tiong, di Parlimen pada 8 September berhubung laporan mengenai kerugian Air India dan permintaan syarikat itu kepada pemegang saham, termasuk Singapore Airlines (SIA), untuk menyuntik modal baharu AS$1.5 bilion ($1.90 bilion).

Encik Tiong (GRC Aljunied) bertanya “sama ada kerugian daripada dan jumlah tercatat dalam syarikat sekutu asing (SIA) telah dinilai berdasarkan kapasitinya untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan penting” memandangkan syarikat penerbangan nasional itu menjadi entiti operasi yang ditetapkan di bawah Akta Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).

Beliau turut bertanya sama ada kerugian berterusan akan mencetuskan kewajipan melapor di bawah Seksyen 67B Akta tersebut.

Encik Siow berkata penilaian CAAS menunjukkan bahawa kemampuan SIA memberikan perkhidmatan kepada rakyat Singapura “tidak terlalu terjejas”, manakala kemampanan pelaburan SIA dalam Air India merupakan urusan komersial antara syarikat itu dengan pemegang sahamnya.

SIA ditetapkan sebagai pengendali di bawah Akta CAAS mulai April 2025, selepas Akta Sektor Pengangkutan (Firma Kritikal) berkuat kuasa.

CAAS menilai pelbagai faktor, termasuk kedudukan kewangan keseluruhan SIA, bagi memastikan ia dapat menyediakan perkhidmatan penting dengan selamat dan boleh dipercayai.

Seksyen 67B bukan peraturan pelaporan kewangan, tetapi ia memerlukan SIA melaporkan kejadian yang mungkin menghalang atau menjejas pelaksanaan perkhidmatan pengangkutan pentingnya.

Namun, Encik Siow berkata kerugian syarikat sekutu asing sahaja tidak semestinya menjejas kemampuan SIA melaksanakannya.

SIA memiliki 25.1 peratus kepentingan dalam Air India, yang pemegang saham majoritinya ialah Tata Sons.

SIA mencatat kerugian $945.2 juta daripada usaha sama itu bagi tahun kewangan 2026 yang berakhir 31 Mac, manakala Air India mencatat kerugian sekitar $3.8 bilion bagi tahun yang sama.

Setakat 31 Mac, nilai bawaan pelaburan SIA dalam Air India hanya $1.1 bilion, berbanding kos keseluruhan $2.1 bilion.

Menurut Encik Siow, persoalannya ialah sama ada kerugian itu mengekang sumber bagi operasi pesawat, penyelenggaraan atau rangkaian SIA.

“Itu ialah pertimbangan berdasarkan fakta. Kita masih jauh daripada keadaan ini. Setakat ini, tiada sebab untuk meragui keupayaan SIA menyediakan perkhidmatan udara di Singapura,” tambahnya.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa rakyat Singapura membiayai pelaburan itu. SIA mempunyai simpanan tunai lebih $10 bilion dan kemudahan kredit yang belum digunakan melebihi $3 bilion.

“Sama ada pelaburan SIA dalam Air India akan memberi pulangan yang berbaloi, terpulang kepada syarikat itu dan pemegang sahamnya untuk menilai,” tambah beliau.

Jika SIA memerlukan dana tambahan daripada mereka, “perkara itu ialah urusan komersial antara syarikat itu dengan pemegang sahamnya”.

Encik Tiong membalas bahawa SIA mempunyai hutang bersih, dengan tunai $10.5 bilion berbanding hutang $10.7 bilion setakat 30 Jun.

“Kemudahan kredit yang belum digunakan itu ialah pinjaman yang belum diambil.

“Itu menambah hutang, bukannya modal,” katanya.

Beliau turut berkata usaha pemulihan syarikat penerbangan yang berjaya “menunjukkan hasil dalam tempoh tiga tahun”, dengan merujuk kepada Japan Airlines dan Qantas.

“Japan Airlines bangkit daripada muflis hingga disenaraikan semula dalam tempoh kurang tiga tahun. Qantas pula beralih daripada rekod kerugian A$2.8 bilion (AS$2 bilion) kepada rekod keuntungan dalam dua tahun. Pelan India pada 2022 menetapkan lima tahun, tetapi kerugiannya meningkat dua kali ganda tahun lalu dan pengerusinya kini berkata pemulihan mengambil masa lima hingga 10 tahun.”

Beliau turut menekankan persaingan sengit pasaran penerbangan India, dan bertanya sama ada terdapat had suntikan tunai SIA kepada Air India, ambang pulangan, had pendedahan atau tahap untuk menghentikannya.

Beliau menjelaskan bahawa perkara itu boleh memberi kesan kepada simpanan Singapura dan SIA sebagai pengendali yang ditetapkan.

“Ini bukan ‘cek kosong’, lebih-lebih lagi bagi pegangan minoriti,” katanya. “Kami bertanya kerana melalui simpanan negara, rakyat Singapura akhirnya menjadi pihak berkepentingan terakhir SIA dan perlu tahu di mana hadnya.”

Encik Siow berkata kerugian Air India tidak secara langsung menjadi liabiliti SIA, manakala permintaan modal tidak mewajibkan SIA menyediakannya.

Keputusan itu terpulang kepada lembaga pengarah dan pengurusan SIA.

Beliau menuduh Encik Tiong membesar-besarkan hutang SIA, sambil menjelaskan bahawa sebahagian besarnya ialah bon jangka panjang bukan semasa dengan kadar faedah “rendah”.

Liabiliti semasa SIA di bawah $3 bilion, “jauh dalam lingkungan simpanan tunai SIA yang melebihi $10 bilion”. Encik Siow menambah bahawa pemerintah tidak menilai Temasek berdasarkan satu pegangan sahaja. Beliau berkata pelabur negara itu memperoleh pulangan yang “baik” daripada ekuiti dan bon SIA yang dibelinya semasa pandemik Covid-19.

Jurucakap SIA kemudian berkata pelaburan itu mempererat kerjasama dengan Air India dan mengukuhkan peranan Singapura dan India sebagai hab penerbangan antarabangsa.

SIA ialah satu-satunya kumpulan penerbangan bukan India yang mempunyai kepentingan langsung, yang membolehkannya menyertai dan menembusi pasaran penerbangan India dengan lebih luas.

Pelaburan di India akan terus dibiayai melalui sumber dalaman SIA, tertakluk pada kelulusan lembaga pengarah dan rangka kerja peruntukan modal.