Pemerintah mahu menjadikan Singapura sebuah hab aliran pelaburan baru, seperti bagi data dan tenaga, sebagai sebahagian daripada strategi untuk mempertingkat daya saing global negara ini, kata Pemangku Menteri Pengangkutan dan Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow, pada 19 November.
Ini merupakan antara idea yang sedang diteliti jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) mengenai daya saing global yang dipengerusikan beliau bersama dengan Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling.
Singapura dikenali sebagai hab bagi barangan, bakat dan modal – aliran tradisional yang menjadi asas ekonomi moden, kata Encik Siow.
Namun, terdapat semakin banyak aliran baru yang disusun secara berbeza daripada rantaian bekalan tradisional bagi barangan dan perkhidmatan, umpamanya.
Meskipun tidak mudah bagi Singapura berada di tengah-tengah aliran baru tersebut dek kekangan fizikal – contohnya, pusat data memerlukan kuasa dan bentuk tenaga boleh diperbaharui yang baru – Encik Siow berkata pemerintah sedang mengkaji cara untuk “mengubah kekangan sedemikian menjadi kekuatan”.
“Kita telah melakukan perkara ini sebelum ini dengan isu bekalan air, dan kita sedang melihat cara melakukan yang sama, contohnya, bagi tenaga rendah karbon.
“Jika kita berjaya di Singapura, kita dapat menjadi contoh bagi negara atau bandar lain,” kata beliau.
Encik Siow berkata demikian ketika ditemui media di sesi pendekatan di mana tiga jawatankuasa ESR – mengenai daya saing global, teknologi dan inovasi, dan keusahawanan – bertemu lebih 70 pemimpin perniagaan dalam dialog anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) di Capital Tower, Robinson Road pada 19 November.
Menyifatkan kecerdasan buatan (AI) sebagai kuasa pemacu asas ekonomi bagi lima hingga 10 tahun akan datang, beliau menambah bahawa Singapura boleh melakukan lebih banyak lagi untuk menjadi antara hab global bagi AI.
Negara ini sudah mula meraih manfaat daripada strategi AI nasional, dengan syarikat menubuhkan pusat kecemerlangan bagi AI di sini.
Namun, lebih banyak penyelarasan diperlukan bagi usaha AI merentas rantaian nilai, daripada penyelidikan dan pengembangan hingga ke penarikan bakat, tambah beliau.
Lebih banyak ‘sandbox’, atau ruang ujian, dalam industri utama yang penting bagi negara ini, seperti penjagaan kesihatan, logistik dan kewangan, juga perlu diadakan untuk menjana huraian teknologi.
“Persaingan untuk menjadi hab AI global sangat sengit, tetapi kita harus berusaha sedaya upaya untuk memastikan kita dapat melakukan perkara yang kita mahir.
“Dan dengan berbuat demikian, jika kita dapat menjadi antara tiga hingga empat hab AI global di dunia, ia akan memperkukuh ekonomi kita dan mewujudkan pekerjaan baik untuk masa depan kita,” kata beliau.
Encik Siow berkata jawatankuasa yang dipengerusikan beliau itu juga telah menerima idea lain dalam usaha memperkukuh saranan nilai Singapura sebagai sebuah destinasi pelaburan.
Ini termasuk bagi Singapura menarik lebih banyak syarikat pertumbuhan tinggi, seperti dalam bidang robotik, AI dan pembuatan canggih, dan bekerjasama dengan syarikat berbilang negara (MNC) untuk mengusahakan projek nilai tinggi.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) telah meramalkan bahawa ekonomi Singapura akan tumbuh sebanyak 2 peratus hingga 3 peratus sepanjang dekad akan datang, dan strategi yang dirumuskan ESR mempunyai potensi mendorong pertumbuhan “ke tahap yang lebih tinggi” dalam julat tersebut, kata Encik Siow.
Sesi pendekatan anjuran SBF itu adalah sebahagian daripada langkah mendapatkan pandangan dan maklum balas bagi pemerintah menyemak strategi ekonomi Singapura, dengan lima jawatankuasa baru dibentuk pada Ogos 2025 bagi menetapkan hala tuju jangka panjang ekonomi negara.
Tugas lima jawatankuasa tersebut tertumpu pada bidang berikut: Daya saing sejagat; teknologi dan inovasi; keusahawanan; modal insan; dan mengendalikan kesan penyusunan semula.
Setiap jawatankuasa itu dipengerusikan dua pemegang jawatan politik – sebahagian besarnya muka baru dalam Kabinet pemerintah – dan juga dianggotai individu daripada sektor swasta, kesatuan dan pihak berkepentingan relevan lain.
Sejak Ogos, jawatankuasa tersebut telah mendekati pelbagai perniagaan, pekerja dan pihak berkepentingan untuk mengumpulkan pandangan, maklum balas dan idea.
Ini termasuk pendekatan bersama hampir 50 anggota Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) pada 17 November untuk membincangkan cara membina sebuah tenaga kerja yang bersedia bagi AI dan bersedia untuk berjaya dalam persekitaran global.
Lima jawatankuasa itu akan menerbitkan laporan rasmi yang membentangkan saranan mereka menjelang pertengahan 2026.
Encik Siow bagaimanapun berkata jawatankuasa tersebut menyasar memberikan perkembangan mengenai usaha mereka lebih awal pada sekitar musim Belanjawan 2026 – biasanya dibentangkan pada sekitar Februari – “untuk membincangkan idea dengan pihak berkepentingan utama dan orang ramai, serta mendapatkan sokongan dana”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg