Pemerintah akan memulakan langkah menyemak strategi ekonomi Singapura, dengan lima jawatankuasa baru dibentuk bagi menetapkan hala tuju jangka panjang ekonomi negara.
Lima jawatankuasa itu juga bertujuan memastikan perniagaan dan pekerja terus meraih peluang baik di tengah-tengah cabaran geopolitik dan gangguan teknologi, umum Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.
Lima jawatankuasa tersebut akan memberi tumpuan dalam bidang berikut: Daya saing sejagat; teknologi dan inovasi; keusahawanan; modal insan; dan mengendalikan kesan penyusunan semula.
Setiap jawatankuasa itu akan dipengerusikan dua pemegang jawatan politik – sebahagian besarnya muka baru dalam Kabinet pemerintah – dan juga dianggotai individu daripada sektor swasta, kesatuan dan pihak berkepentingan relevan lain.
Tugas mendekati perniagaan, pekerja dan pihak berkepentingan relevan secara meluas untuk mengumpulkan maklum balas dan idea akan dijalankan sepanjang beberapa bulan mendatang.
Lima jawatankuasa itu akan menerbitkan laporan yang membentangkan saranan mereka menjelang pertengahan 2026.
Mengumumkannya dalam satu sidang media di bangunan The Treasury pada 4 Ogos, Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berkata semakan strategi ekonomi itu akan dibangunkan berdasarkan semakan masa lalu yang telah meletakkan asas kukuh bagi pertumbuhan Singapura.
Ia juga akan mempertimbangkan idea dan pendekatan baru untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan ekonomi serta menjamin masa depan ekonomi negara.
Ini dilakukan di tengah-tengah ketegangan perdagangan dan ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat yang masih berterusan.
“Meskipun kita sedang mengendalikan ketidaktentuan segera, kita mesti mula merancang bagi jangka panjang untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi, perniagaan dan pekerja kita supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan landskap ekonomi baru,” kata beliau, yang juga pengerusi Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert).
Jawatankuasa yang akan memberi tumpuan pada daya saing sejagat akan dipengerusikan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, yang juga Menteri Negara Kanan (Kewangan); dan Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling.
Jawatankuasa mengenai teknologi dan inovasi pula akan dipengerusikan oleh Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan.
Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan; dan Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, akan menerajui jawatankuasa mengenai keusahawanan.
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, yang juga Menteri Negara Kanan (Pendidikan); dan Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon, pula akan memimpin jawatankuasa mengenai modal insan.
Terakhir, jawatankuasa yang akan memberi tumpuan pada usaha mengendalikan kesan penyusunan semula akan dipengerusikan oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming; dan Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo, yang juga Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Semakan strategi ekonomi itu akan menggantikan aliran tugas ketiga di bawah Sert, yang tertumpu pada strategi jangka panjang ekonomi negara dan diterajui oleh Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, dan Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, sebelum ini.
Lima jawatankuasa baru itu akan melaporkan pada pasukan petugas tersebut, yang dianggotai anggota Kabinet dan pemimpin sektor swasta – Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng; Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat; Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow; Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng; Pengerusi Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Teo Siong Seng; dan Presiden Snef, Encik Tan Hee Teck.
Encik Desmond Lee tidak lagi berada dalam pasukan tersebut menyusuli perubahan portfolio daripada Kementerian Pembangunan Negara (MND) kepada Kementerian Pendidikan (MOE) susulan pengumuman barisan Kabinet baru pada Mei.
Mengulas tentang komposisi jawatankuasa tersebut, Encik Gan berkata para pemegang jawatan politik muda yang menerajui lima jawatankuasa baru itu akan dapat memberikan perspektif baru dan menjana idea serta saranan yang segar.
Di samping itu, pemegang jawatan politik dan pemimpin sektor swasta yang lebih berpengalaman dalam Sert pula dapat memberikan pandangan mereka yang boleh dipertimbangkan apabila saranan dikemukakan kelak.
“Oleh itu, anda boleh meraih manfaat daripada sumbangan kedua-dua pemegang jawatan politik yang berpengalaman dan yang baru terhadap idea dan perbincangan… Saya fikir ini komposisi yang paling berkesan,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg