Pelabur yang berminat untuk menambah saham mewah dalam portfolio mereka tetapi terhalang oleh harga, mungkin akan berpeluang melakukannya tidak lama lagi.
Bursa Singapura (SGX) mengumumkan pada 19 November hasratnya untuk mengurangkan jumlah saham yang perlu dibeli, atau lot niaga, kepada 10 unit daripada 100 unit untuk sekuriti yang berharga lebih daripada $10, lapor The Business Times (BT).
Peningkatan ketara dalam kemampuan membeli itu bertujuan meluaskan penyertaan pelabur, meningkatkan kegiatan perdagangan, dan memudahkan akses kepada sekuriti yang lebih mahal supaya pelabur dapat membina portfolio yang lebih pelbagai, kata SGX.
Pengurangan jumlah saham minimum yang perlu dibeli itu akan dikenakan ke atas saham biasa, dana amanah pelaburan hartanah (Reit), amanah perniagaan, waran syarikat, hak dan resit deposit.
Langkah itu adalah sebahagian daripada beberapa langkah baru yang diusul Kumpulan Semakan Pasaran Ekuiti Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam laporan terakhirnya.
Kumpulan tersebut berkata ia menyokong langkah menjadikan perdagangan lebih cekap, sambil memudahkan pelabur mengakses pasaran.
Perubahan lot niaga tersebut akan melengkapkan usaha lain untuk mengurangkan geseran dan menguatkan daya tarikan pasaran ekuiti Singapura.
Sekuriti yang kini diniagakan di atas paras $10 termasuk saham bank seperti DBS, UOB dan OCBC, Haw Par Corporation dan Jardine Cycle & Carriage.
Menggunakan saham DBS sebagai contoh: Apabila kaunter tutup pada harga $53.70 pada 19 November, saiz lot niaga bagi 10 unit akan menjadikannya lebih mampu milik dengan harga $537.
Jumlah itu lebih rendah berbanding dengan saiz lot niaga biasa 100 unit apabila pelabur memerlukan lebih $5,300 untuk melabur dalam bank tersebut.
Pada Januari 2015, saiz lot niaga biasa bagi sekuriti yang disenaraikan di SGX telah dikurangkan daripada 1,000 unit kepada 100 unit.
MAS akan menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Pasaran Ekuiti yang diketuai bersama oleh Pengarah Urusan MAS, Encik Chia Der Jiun; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SGX, Encik Loh Boon Chye, untuk memantau pelaksanaan langkah yang dicadangkan oleh kumpulan semakan.
Butiran lanjut akan diumumkan pada suku pertama 2026.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg