Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jenama S’pura Maison Q hiasi hotel antarabangsa

Syarikat pakaian kanak-kanak berkonsep boleh diterbalikkan jalin kerjasama dengan The St. Regis Kuala Lumpur; payung tepi kolam, sarung kusyen, hiasan meja dapat sentuhan
Nov 25, 2024 | 3:11 PM
Pengasas Maison Q, Cik Suhana Ab (kiri) bersama Cik Carmey Chua, seorang anggota keluarga pemilik hotel, The St. Regis Kuala Lumpur, sewaktu pelancaran bersama #stregismaisonq.
Pengasas Maison Q, Cik Suhana Ab (kiri) bersama Cik Carmey Chua, seorang anggota keluarga pemilik hotel, The St. Regis Kuala Lumpur, sewaktu pelancaran bersama #stregismaisonq. - Foto ST. REGIS KUALA LUMPUR

Idea tercetus selepas kelahiran anak sulungnya pada 2013, kini seorang ibu tiga anak adalah pengasas serta pengarah kreatif Maison Q, jenama pakaian kanak-kanak yang telah menebarkan sayapnya ke seberang Tambak.

Kolaborasi bersama hotel The St. Regis Kuala Lumpur baru-baru ini pula meletakkan jenama itu setaraf jenama antarabangsa.

Cik Suhana Ab, 43 tahun, seakan-akan tidak percaya apabila satu perjumpaan dengan pemilik hotel St. Regis membuka peluang untuknya menghias hotel itu dengan tema yang sinonim dengan jenama Maison Q.

“Latar belakang saya daripada bidang penerbitan majalah dan saya langsung tidak mempunyai pengalaman dalam perniagaan atau pengeluaran fesyen.

“Segala-galanya, daripada mendapatkan fabrik hingga saiz pakaian dan menghasilkan pakaian serta menguruskan logistik adalah benda baru buat saya.

“Saya belajar daripada melakukan banyak kesilapan dan tentu saja ada saat-saat saya meragui diri sendiri,” ujar Cik Suhana, yang pernah menyandang jawatan editor kanan majalah mewah Prestige.

Maison Q adalah sebuah syarikat pakaian kanak-kanak terkemuka dengan konsep pakaian ‘reversible’, iaitu boleh diterbalikkan.

Setiap cetakan pada pakaian Maison Q dicipta khas oleh pasukan kreatifnya yang diketuai Cik Suhana dan dihasilkan dengan teliti oleh sekumpulan artisan di Indonesia.

“Setelah menjadi seorang ibu, saya dapati betapa cepatnya kanak-kanak membesar dan pakaian mereka tidak dapat digunakan lagi.

“Saya mula tertanya-tanya apakah ada cara lebih bijak untuk melanjutkan jangka hayat pakaian supaya ia boleh diturunkan kepada adik-adik atau dihadiahkan dalam keadaan baik,” ujar Cik Suhana.

Berbekalkan pengalaman dalam penerbitan majalah mewah, Cik Suhana sedar beliau perlu mencipta sesuatu yang menarik tetapi bermutu dan tahan lama.

Menurut Cik Suhana, mengumpul tukang seni jahit tidak mudah memandangkan tahap ketukangan yang dikehendakinya, tetapi Maison Q kini bekerjasama dengan 20 artisan yang telah menjalani latihan dan sangat bersungguh-sungguh dalam menghasilkan produk jenama itu.

Untuk gabungan bersama St. Regis Kuala Lumpur, Maison Q menghasilkan dua edisi cetakan terhad yang diberi nama ‘A Botanic Garden’ (Sebuah Kebun Bunga) dan ‘A day in the life of a Butler’ (Sehari dalam kehidupan seorang Butler), yang memberi penghormatan kepada warisan St. Regis yang sinonim dengan mutu, kemewahan dan perkhidmatan mantap.

‘A Botanic Garden’ juga mengambil inspirasi daripada Taman Botani Perdana di Kuala Lumpur, yang terdapat bunga kebangsaan Singapura dan Malaysia – anggerik dan bunga raya – melambangkan kerjasama.

“Setiap gaya corak Maison Q adalah unik, dan tema-tema yang dikeluarkan setiap musim juga berlainan. Untuk kolaborasi bersama St. Regis, kami berjaya menghasilkan dua tema eksklusif,” kata Cik Suhana.

Cetakan pada fabrik eksklusif itu juga mengetengahkan ‘Butler Bear’ (beruang butler) dalam beberapa senario di dalam hotel, seperti melayani pelanggan ciliknya dan menguruskan bagasi setibanya pelanggan ke hotel mewah itu.

Konsep layanan ‘Butler’
Konsep layanan ‘Butler’ - Foto MAISON Q
Kolam renang The Hotel St. Regis Kuala Lumpur dihiasi dengan fabrik dan gaya corak Maison Q.
Kolam renang The Hotel St. Regis Kuala Lumpur dihiasi dengan fabrik dan gaya corak Maison Q. - Foto MAISON Q

Restoran Crystal yang terletak bersebelahan kolam renang dan setingkat dengan Kelab Kanak-Kanak (Kids Club) di bumbung hotel itu dinaik taraf dengan hiasan daripada jenama itu.

Payung tepi kolam, sarung kusyen, hiasan meja mengikut tema memberikan pengalaman unik untuk tetamu, yang juga dihidangkan dengan pakej yang dipilih susun, ‘The Reversible Menu’.

Untuk pengalaman menyeluruh, tetamu boleh menginap di hotel St. Regis dalam bilik yang dihias mengikut tema yang disiapkan lengkap dengan sebuah khemah yang diperbuat daripada fabrik rekaan Maison Q.

“Kami bertungkus lumus lebih lapan bulan dan jenama kami sudah pun diterima dengan baik di Singapura dan terjual di Takashimaya dan Tangs Orchard, dan di Malaysia produk kami boleh didapatkan dari kedai dalam talian eksklusif Happikiddo,” kata Cik Suhana, yang juga telah mengembangkan perniagaannya ke Kemboja dan Vietnam melalui rakan kongsi di sana.

Kolaborasi bersama St. Regis Kuala Lumpur itu akan berterusan sehingga Mac 2025.

“Kami ingin meneroka peluang dalam pasaran baru, seperti Amerika Syarikat, dan sedang bekerjasama dengan bilik pameran dan juga dalam perancangan menembusi pasaran Amiriah Arab Bersatu (UAE),” tambah Cik Suhana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg