Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jualan iPhone yang lembap dijangka jejas pendapatan Apple

Aug 2, 2023 | 3:19 PM
PENDAPATAN DIRAMAL TURUN: Apple akan mendedahkan pendapatannya pada Khamis, dengan ramalan pendapatan turun sebanyak 1.6 peratus dalam suku kedua 2023.
PENDAPATAN DIRAMAL TURUN: Apple akan mendedahkan pendapatannya pada Khamis, dengan ramalan pendapatan turun sebanyak 1.6 peratus dalam suku kedua 2023. - Foto REUTERS

Syarikat Apple berkemungkinan melaporkan penurunan dalam penjualan telefon bijak, iPhone, pada suku kedua (Q2) April hingga Jun sedang pembeli menangguhkan pembelian model baru dalam keadaan ekonomi yang lemah.

Oleh itu, penting bagi syarikat itu memperincikan cara ia menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan pertumbuhan penjualan, kata penganalisis.

Firma paling berharga di dunia itu akan mendedahkan pendapatannya pada Khamis, dengan penurunan diramal sebanyak 1.6 peratus dalam jumlah pendapatan pada suku itu, menurut Refinitiv – penurunan paling besar sejak 2016.

Penjualan iPhone mungkin turun melebihi 2 peratus dalam tempoh itu, menurut 24 penganalisis yang ditinjau Visible Alpha, berbanding kenaikan hampir 3 peratus dalam tempoh sama pada 2022, dan kenaikan 1.5 peratus pada suku pertama hingga penghujung Mac.

Laporan suku tahunan itu agak berbeza daripada ramalan musim pendapatan yang memberangsangkan bagi syarikat teknologi lain seperti Meta Platforms, Alphabet dan Microsoft yang telah menunjukkan daya tahan dalam perniagaan teknologi awam (cloud) mereka dan peningkatan dalam penjualan iklan.

“Apple tidak terlepas daripada trend makroekonomi semasa dan akan terus menjadi petunjuk kepada kadar penjualan (industri telefon bijak) buat seberapa ketika,” kata pengasas TECHnalysis Research, Encik Bob O’Donnell.

Dengan berita tentang telefon bijak iPhone 15 yang terbaru dijangka keluar pada Ogos, yang mempunyai port USB-C yang lebih universal bagi sesetengah model, penjualan iPhone mendapat sedikit dorongan pada suku ketiga Julai-September, kata penganalisis yang meramalkan hasil yang berlainan buat tempoh tersebut.

Apple secara tradisi tidak memberikan ramalan penjualan bagi suku tahunan, tetapi penganalisis menjangka syarikat itu mungkin memberi perincian cara ia menggunakan AI untuk memperbaiki produk barunya.

Syarikat itu setakat ini telah mengelak menggunakan kekata seperti AI dalam acaranya, berbanding gergasi teknologi termasuk Alphabet dan Microsoft.

Pada Julai, dilaporkan syarikat Apple telah membina secara senyap rangka kerja tersendiri untuk mencipta model bahasa besar yang dikenali sebagai ‘Ajax’.

“Kami menjangka komen Apple tentang aspirasi AI-nya untuk menjadi tumpuan,” kata penganalisis di Well Fargo dalam satu nota penyelidikan sambil menambah bahawa sebarang komen tentang teknologi boleh merangsangkan sahamnya.

Saham Apple telah meningkat melebihi 50 peratus pada 2023, berbanding dengan peningkatan hampir 37 peratus bagi purata syarikat-syarikat teknologi di saham Nasdaq Composite. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg