Topik diikuti
Pergi ke BHkuJualan rumah privet baharu naik hampir seganda pada Sept
Jualan rumah privet baharu naik hampir seganda pada Sept
Pemaju hartanah di Singapura telah menjual 296 rumah privet baharu pada September, iaitu hampir seganda berbanding 153 unit yang dijual pada Ogos dan 16.1 peratus lebih tinggi daripada 255 unit yang dijual pada September 2025, menurut data yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 15 Oktober.
Pemaju hartanah melancarkan 158 unit tidak termasuk kondominium eksekutif (EC) pada September, meningkat berbanding 116 unit pada Ogos.
Jumlah itu juga hampir lapan kali ganda berbanding 20 unit yang dilancarkan pada September 2025.
Termasuk EC, pemaju hartanah menjual 319 unit pada September, berbanding 171 unit pada Ogos dan 270 unit pada September 2025.
Peningkatan semula itu berlaku menyusuli penjualan pada Ogos yang lebih sederhana, di mana aktiviti pasaran terjejas disebabkan ketiadaan pelancaran baharu yang besar serta tempoh perayaan Hungry Ghost yang lazimnya menyaksikan pasaran lebih lembap.
Ketua Penyelidik dan Ahli Strategi di Realion (OrangeTee & ETC Group), Cik Christine Sun, berkata sekitar dua pertiga daripada urus niaga September berlaku antara 11 dengan 30 September.
Data ini menunjukkan aktiviti pembelian rumah privet kembali meningkat menyusuli bulan ketujuh kalendar lunar, bertepatan dengan perayaan Hungry Ghost.
“Setakat 15 Oktober, jumlah jualan baharu bagi Oktober pada 380 unit telah pun melepasi 296 urus niaga yang dicatatkan pada September,” tambahnya.
Meskipun terdapat peningkatan semula pada September, jualan rumah privet merosot 44.9 peratus kepada 1,180 unit pada suku ketiga, berbanding 2,141 unit pada suku kedua, kata Ketua Pegawai Penyelidik di Mogul.sg, Encik Nicholas Mak.
Walaupun selepas mengambil kira tempoh perayaan Hungry Ghost, ini merupakan kemerosotan suku ketiga yang paling ketara dalam tempoh 13 tahun, katanya.
Baki Kawasan Tengah (RCR) menyumbang bahagian terbesar bagi jualan rumah privet baharu pada September, dengan 131 unit dijual, atau 44.3 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan.
Ini disusuli Luar Kawasan Tengah (OCR) dengan 125 unit, atau 42.2 peratus, manakala Kawasan Tengah Utama (CCR) mencatatkan penjualan 40 unit, atau 13.5 peratus.
RCR dan OCR kekal menjadi segmen pasaran pilihan disebabkan harga pembeliannya, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Huttons Asia, Encik Mark Yip.
Terra Hill yang terletak di RCR merupakan projek terlaris pada September, dengan 32 unit dijual pada harga median $2,209 setiap kaki persegi (psf).
The Sen menyusuli dengan 25 unit pada harga $2,386 psf, manakala Amberwood di Holland mencatat penjualan 24 unit pada harga $3,021 psf, mengikut data Huttons.
Amberwood at Holland merupakan satu-satunya projek yang dilancarkan sepanjang September.
Daripada 212 unit yang ditawarkan, 70 unit dibuka bagi fasa pertama dengan 24 daripadanya berjaya dijual, menurut Huttons.
Sementara itu, pasaran rumah berhalaman turut menyaksikan peningkatan aktiviti, dengan pemaju hartanah menjual 19 unit pada September – jumlah bulanan tertinggi sejak April 2018, kata Encik Yip.