Topik diikuti
Pergi ke BHkuUntung bersih PropNex turun 3.1% kepada $40.9j separuh pertama 2026
Hasil pendapatan naik 0.7% kepada $603j, didorong pendapatan komisen lebih tinggi daripada khidmat agensi
Agensi hartanah PropNex mencatat penurunan keuntungan bersih sebanyak 3.1 peratus kepada $40.9 juta bagi separuh pertama 2026 yang berakhir pada 30 Jun.
Ini berbanding $42.3 juta bagi tempoh sama pada 2025.
Hasil pendapatan melonjak 0.7 peratus kepada $603 juta berbanding $598.9 juta, didorong oleh pendapatan komisen lebih tinggi daripada perkhidmatan agensi, menurut kumpulan itu pada 13 Ogos.
Pendapatan komisen daripada perkhidmatan agensi meningkat 6.9 peratus kepada $360.5 juta, berbanding $337.2 juta pada separuh pertama 2025, disokong oleh kegiatan urus niaga yang baik dalam pasaran jualan semula dan sewaan.
Namun, peningkatan ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan 7.8 peratus dalam pendapatan komisen perkhidmatan pemasaran projek kepada $238.4 juta berbanding $258.5 juta sebelumnya, di tengah-tengah kekurangan dalam pelancaran projek baru.
Pendapatan sesaham berada pada $0.0553, turun daripada $0.0571 bagi tempoh sama tahun lalu.
Syarikat itu menetapkan dividen interim sebanyak $0.05 sesaham bagi separuh pertama 2026, kekal tidak berubah daripada kadar yang ditetapkan pada tempoh sama tahun lalu.
Dividen tersebut akan dibayar pada 11 September, selepas tarikh penutupan pendaftaran pemegang saham (books closure) pada 26 Ogos.
Nisbah pembayaran itu mewakili 90.4 peratus daripada keuntungan bersih syarikat.
Pengerusi Eksekutif PropNex, Encik Ismail Gafoor, menjelaskan bahawa prestasi separuh pertama 2026 secara umumnya mencerminkan jualan yang diperoleh antara Oktober 2025 dengan Mac 2026, berikutan tempoh masa antara urus niaga dengan pengiktirafan hasil pendapatan.
Tempoh berkenaan lazimnya lebih perlahan bagi pelancaran projek baru berikutan cuti akhir tahun dan Tahun Baru Cina.
Kumpulan itu meluaskan pegangan pasaran mengikut jumlah urus niaga kepada 64.3 peratus pada separuh pertama 2026, meningkat berbanding 60.6 peratus pada Tahun Kewangan 2025 (FY2025).
Pegangan pasaran merentasi semua segmen hartanah mencatatkan pertumbuhan.
Ini termasuk pelancaran baharu yang meningkat daripada 48.9 peratus kepada 52.5 peratus.
Manakala, jualan semula flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), mencatat peningkatan daripada 63.2 peratus kepada 68.1 peratus.
PropNex menjangkakan harga rumah privet akan meningkat secara sederhana antara 3 dengan 4 peratus bagi keseluruhan 2026.
Ini dengan jualan pemaju diunjurkan sekitar 9,000 unit tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), manakala jumlah urus niaga jualan semula hartanah privet dijangka mencapai antara 14,000 hingga 15,000 unit.
Bagi pasaran perumahan awam, harga jualan semula HDB dijangka meningkat sehingga 1 peratus pada 2026, dengan jumlah jualan semula diunjurkan sebanyak 26,000 hingga 27,000 unit.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex, Encik Kelvin Fong, berkata:
“Trend terkini menunjukkan pembelian rumah sebahagian besarnya diterajui oleh penduduk tempatan yang mempunyai keperluan perumahan sebenar dan bukan atas dasar spekulasi (pasaran), manakala faktor pemacu berterusan, termasuk pertumbuhan penduduk, dasar imigresen, kadar faedah lebih rendah serta peningkatan pendapatan, kekal kukuh.”
