Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian teroka laluan baru hubung Pulau Brani, tanah besar S’pura

Ia sebahagian pelan bangun semula pulau itu jadi destinasi pelancongan
Nov 18, 2025 | 3:45 PM
Pelan Induk Greater Sentosa, pulau brani
Pelan Induk Greater Sentosa melibatkan pembangunan semula Sentosa dan Pulau Brani menjadi destinasi pelancongan dalam dua hingga tiga dekad akan datang. - Foto ST

Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) sedang mengkaji sistem pengangkutan orang yang baru, yang bakal menghubungkan Pulau Brani dengan tanah besar Singapura.

Sistem pengangkutan orang merujuk kepada sistem transit seperti perkhidmatan monorel Sentosa Express yang menghubungkan kompleks beli-belah VivoCity dengan Sentosa, lapor The Straits Times (ST).

Berdasarkan dokumen tender yang diterbitkan di portal GeBiz pada 24 Oktober, SDC mencari perkhidmatan perundingan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan sistem pengangkutan orang di jambatan baru, Keppel Link, yang akan menghubungkan tanah besar Singapura dengan barat Pulau Brani.

Pada 17 November, SDC menyatakan mereka akan meneroka “penyelesaian pengangkutan inovatif” untuk meningkatkan aksesibiliti dan pengalaman pengunjung sebagai usaha meningkatkan ketersambungan dalam Pelan Induk Greater Sentosa.

Sebelum ini dikenali sebagai Pelan Induk Sentosa-Brani, yang diumumkan pada 2019, pelan itu melibatkan pembangunan semula Sentosa dan Pulau Brani menjadi destinasi pelancongan dalam tempoh dua hingga tiga dekad akan datang.

Terminal Brani, yang diuruskan pengendali pelabuhan Singapura PSA, menggunakan sebahagian besar Pulau Brani.

Terminal itu akan dipindahkan sepenuhnya ke Pelabuhan Mega Tuas baru pada 2027.

Pulau itu juga menempatkan ibu pejabat Polis Pengawal Pantai.

Pulau Brani terletak antara selatan tanah besar Singapura dengan Sentosa, dan jaraknya sekitar 340 meter dari Pelabuhan Keppel, menurut perkhidmatan peta negara OneMap.

SDC berkata kajian kebolehlaksanaan “peringkat tinggi” itu bertujuan menilai pelbagai pilihan yang boleh melengkapkan prasarana pengangkutan sedia ada.

Menurut pelan induk itu, bahagian timur Pulau Brani akan menjadi zon Waterfront, manakala bahagian tengah akan menjadi zon Ridgeline yang menghubungkan ruang hijau serta tarikan alam dan warisan.

Di bahagian barat pulau, terdapat Vibrant Cluster – kawasan tarikan berskala besar yang merangkumi Sentosa dan Pulau Brani – serta zon gaya hidup dan komersial Island Heart, yang akan menempatkan hotel, ruang persidangan, pelbagai pilihan tempat makan dan kedai.

Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan pada 2019, Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, menyatakan bahawa sebuah resort Downtown South kemungkinan dibina di Pulau Brani.

Namun, pelan pembangunan itu ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Sejak itu, tarikan Sentosa Sensoryscape telah disiapkan pada Mac 2024 – projek pertama yang siap di bawah pelan induk itu.

Lakaran artis dalam video publisiti yang dikeluarkan SDC pada 2019 menunjukkan sistem pengangkutan di zon Island Heart Pulau Brani, yang menghubungkan pengunjung ke pantai dan tempat lain di pulau tersebut.

Tiada maklumat lanjut mengenai sistem pengangkutan tersebut pada masa itu.

Penyelidik prasarana pengangkutan di jabatan kejuruteraan awam dan alam sekitar Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Raymond Ong, berkata sistem pengangkutan orang yang baru adalah penting jika Pulau Brani menjadi destinasi pelancongan.

Pada masa ini, katanya, hanya ada satu laluan untuk memasuki Pulau Brani dari tanah besar Singapura, iaitu melalui Brani Terminal Avenue.

Ini boleh menyebabkan kesesakan, meningkatkan masa perjalanan pelancong dan pengunjung ke pulau itu, justeru menjejas pengalaman mereka.

Profesor Ong berkata sistem pengangkutan orang, yang dapat menampung lebih ramai penumpang berbanding kereta, tetapi lebih sedikit berbanding sistem rel berskala besar seperti MRT, adalah sesuai bagi bilangan pengunjung yang berpotensi ke Pulau Brani.

Namun, beliau menambah bahawa takrifan sistem pengangkutan orang adalah luas kerana ia boleh merujuk kepada bas tanpa pemandu atau ‘Skytrain’ di Lapangan Terbang Changi atau sesuatu yang malah ringkas seperti travelator.

Kajian kebolehlaksanaan itu bertujuan mengkaji permintaan perjalanan pelancong dan pengunjung ke Pulau Brani, kata Profesor Ong, supaya SDC dapat menentukan skala yang sesuai untuk sistem yang sedang dikaji.

“Dan sebagai tarikan pelancongan, pengalaman adalah penting – sistem ini perlu memberi ‘kesan wow’ kepada pelancong,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg