Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sentosa lancar pelan penyejukan bantu pengunjung tangani cuaca panas

Oct 8, 2025 | 3:22 PM
Sentosa, pelan penyejukan, tangani cuaca panas
Sebahagian pantai berhampiran kelab pantai Kelab Rumours Beach di Pantai Siloso telah dipasang dengan mural yang dilengkapi dengan sistem semburan air bagi menawarkan pengunjung sedikit kelegaan daripada cuaca panas. - Foto ZAOBAO

Bagi membantu pengunjung Sentosa menangani cuaca panas di Singapura, pelbagai langkah seperti penyemburan air, laluan pejalan kaki lebih sejuk, dan bumbung hijau akan diperkenalkan di pulau peranginan itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) melancarkan peta hala tuju Cooling Sentosa (Menyejukkan Sentosa) merentasi pulau pada 7 Oktober.

Langkah itu menyusuli ujian selama beberapa bulan di ruang yang dilengkapi penyelesaian penyejukan di Pantai Siloso, serta pembukaan sebuah pusat beli-belah lebih sejuk dan hijau di Resorts World Sentosa (RWS).

Sejak Jun, sebahagian pantai berhampiran kelab pantai Rumours Beach Club di Pantai Siloso telah dipasang dengan mural luas yang dilengkapi sistem semburan air, menawarkan pengunjung sedikit kelegaan daripada cuaca panas.

Mural dan lantai itu disalut dengan cat dingin pemantul haba yang mampu menurunkan suhu permukaan sehingga 2 darjah Celsius, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Susulan daripada projek penyejukan di Pantai Siloso, sembilan lagi ruang seumpama itu akan diperkenalkan di seluruh Sentosa dari sekarang hingga 2030.

Ciri penyejukan di ruang-ruang ini – terutamanya di sepanjang pantai dan kawasan tumpuan pengunjung – bergantung kepada keperluan setiap lokasi, dan teknologi penyejukan baru mungkin turut diuji di tapak-tapak tersebut, kata Penolong Ketua Eksekutif SDC, Encik Michael Ma.

Gabungan langkah penyejukan itu akan memastikan pengunjung dapat meluangkan lebih banyak masa meneroka pulau riadah, dan kurang rasa penat akibat cuaca terik.

“Rangkaian penyejukan Sentosa memberi peluang kepada pengunjung untuk berehat di lokasi yang dibina khas.

“Kami tidak mahu keadaan di mana cuaca terlalu panas sehingga mereka terpaksa menamatkan lawatan lebih awal,” kata Encik Ma kepada wartawan semasa taklimat media pada 24 September.

Sentosa merupakan antara daya tarikan pelancongan pertama yang melabur untuk menangani peningkatan suhu demi memelihara kesejahteraan pengunjung.

Langkah itu juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada penghawa dingin.

Pada 2026, projek penyejukan kedua akan dibina di pekarangan Central Beach Bazaar, yang merupakan sebahagian daripada ruang berwarna-warni yang menempatkan gerai makanan, serta merupakan satu-satunya lokasi pertunjukan bunga api dan pancutan air muzikal harian di Singapura.

Terletak berhampiran stesen Beach, kawasan pekarangan itu akan dilengkapi payung dan pokok untuk berteduh, bangku untuk berehat, kipas, sistem semburan air, dan laluan dengan bahan yang kurang menyerap haba.

Mural ini disalut dengan cat dingin memantul haba yang mampu menurunkan suhu permukaan sehingga 2 darjah Celsius, serta dilengkapi sistem semburan air.
Mural ini disalut dengan cat dingin memantul haba yang mampu menurunkan suhu permukaan sehingga 2 darjah Celsius, serta dilengkapi sistem semburan air. - Foto ZAOBAO

Sementara itu, lebih banyak kipas, pendingin air, pokok dan bumbung hijau tanpa tanah akan dipasang dan ditanam di seluruh pulau bagi mengurangkan kesan haba.

Pemasangan lebih banyak kipas menambah baik aliran udara.
Pemasangan lebih banyak kipas menambah baik aliran udara. - Foto ZAOBAO

Pada masa ini, bumbung hijau tanpa tanah dengan keluasan 4,250 meter persegi berfungsi sebagai teduhan di kawasan seperti Palawan Kidz City, Sentosa Sensoryscape serta plaza ketibaan Sentosa Cove Village.

Tanaman hijau itu dapat mengurangkan jumlah haba yang diserap bumbung, sekali gus menghasilkan permukaan bumbung yang lebih sejuk.

Ini seterusnya mengurangkan kesan haba bandar, iaitu fenomena apabila kawasan bandar lebih panas berbanding kawasan luar bandar.

Menjelang awal 2026, bumbung hijau dengan keluasan sekitar 2,900 meter persegi akan ditambah di laluan pejalan kaki berteduh sekitar Imbiah Lookout, Siloso Point dan pantai-pantai lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg