Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kedai gunting rambut semakin rancak, tarik lebih ramai pelanggan Gen Z

Jul 5, 2024 | 2:21 PM
Encik Muhammad Syuhadak Surhan menguruskan kedai Albatross Barbershop di 57 Marine Terrace sejak 2008.
Encik Muhammad Syuhadak Surhan menguruskan kedai Albatross Barbershop di 57 Marine Terrace sejak 2008. - Foto BH oleh BATRISYIA BAHARIM

Selepas mengharungi gelombang perniagaan di era Covid-19 dan mengharungi tempoh sukar ibarat “dipenjara selama tujuh tahun” akibat sekatan dan bermacam gangguan sepanjang tempoh pembinaan stesen MRT Marine Terrace, peniaga yang terjejas seperti Encik Muhamad Syuhadak Surhan akhirnya dapat menghela nafas lega.

Apakan tidak, beliau telah melihat lebih ramai pelanggan kini melangkah ke kedai gunting rambutnya, Albatross Barbershop, sejak pembukaan Tahap Empat Laluan Thomson-East Coast (TEL4), pada 21 Jun.

Akses yang dipertingkatkan di kawasan kedainya telah menyaksikan jumlah pelanggan meningkat sebanyak 20 peratus manakala hasil perkhidmatan gunting rambut naik sekitar 15 peratus.

Namun, masih terlalu awal untuk mengukur kestabilan perniagaan jangka panjang.

Encik Syuhadak, 42 tahun, mengakui mengambil langkah untuk tidak leka dengan kemajuan yang dinikmatinya kini.

Beliau memberitahu Berita Harian baru-baru ini bahawa kedai gunting rambut itu telah diuruskan sejak 2008 bersama isterinya, Cik Siti Nurhalianah Abdul Halim, 42 tahun, yang turut mempunyai kelayakan untuk menawarkan perkhidmatan gunting rambut.

Berkongsi pengalaman bagaimana kedainya terjejas dengan pembinaan laluan TEL4, Encik Syuhadak berkata beliau tetap menerima kedatangan pelanggan namun keadaannya “tidak sibuk”.

Beliau juga fahami tidak mudah bagi pelanggan menuju ke kawasan tersebut dengan pelbagai sekatan berkaitan keselamatan pembinaan stesen MRT.

Keadaan diburukkan lagi dengan pandemik apabila perkhidmatan gunting rambut mulanya tidak dibenarkan beroperasi dan kemudian, apabila sekatan dilonggarkan, mereka perlu mematuhi aturan jarak selamat.

“Setiap sudut ditutup dan laluan dilencongkan. Jadi, agak sukar untuk pelanggan keluar dan masuk, dan kedai kami terlindung daripada pandangan orang ramai,” jelas beliau, yang mempunyai empat orang pekerja termasuk dirinya.

Apa yang menarik, demografi pelanggannya telah berubah sejak pembukaan stesen MRT.

Walaupun kedai gunting rambut itu sebelum ini menawarkan perkhidmatan kepada kededua pelanggan muda dan warga senja, ia kini menarik lebih ramai pelanggan Generasi Z, atau apa yang disifatkan Encik Syuhadak sebagai golongan “rambut brokoli” atau rambut keriting – fesyen rambut anak muda sekarang.

Meskipun dengan pelanggan bertambah, beliau belum lagi melanjutkan masa operasinya.

Buat masa ini, Albatross Barbershop, yang terletak di 57 Marine Terrace, beroperasi dari 10 pagi hingga 8.30 malam. 

“Buat masa ini, kami tidak merancang untuk melanjutkan masa perkhidmatan. Namun, kami terbuka kepada idea tersebut mungkin pada masa hadapan, tengoklah keadaan macam mana,” ujar beliau.

Apabila ditanya jika beliau sedang menimbangkan untuk menambah bilangan kakitangan, bapa tiga anak itu percaya dan yakin bahawa pasukannya yang terdiri daripada empat pekerja mencukupi untuk mengendalikan aliran pelanggan yang meningkat.

Beliau berharap akses yang dipertingkatkan di kawasan Marine Terrace akan menjadikan Albatross Barbershop lebih mudah dikunjungi.

Beliau akui kepentingan media sosial dalam landskap perniagaan untuk menarik lebih ramai pelanggan, lantas akan terus memanfaatkannya dengan harapan bahawa langkah tersebut dan pembangunan baru (stesen MRT Marine Terrace) saling melengkapi dalam membantu memberi sumbangan positif kepada perniagaannya.

“Perkembangan baru-baru ini sudah tentu memberikan rangsangan yang amat diperlukan, dan saya harap ia memudahkan lebih ramai orang untuk datang ke sini,” katanya, mencerminkan sentimen yang dikongsi ramai pemilik perniagaan di sepanjang laluan TEL4. 

“Perkembangan (Tahap Empat Laluan Thomson-East Coast) baru-baru ini sudah tentu memberikan rangsangan yang amat diperlukan, dan saya harap ia memudahkan lebih ramai orang untuk datang ke sini.”
Encik Muhamad Syuhadak Surhan, ketua tukang gunting rambut di Albatross Barbershop.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg