Semua kedai yang menjual buah-buahan, sayuran dan barangan kering di Pusat Borong Pasir Panjang akan diberi masa sehingga akhir 2026 untuk mematuhi keperluan keselamatan kebakaran bagi membolehkan pajakan kedai masing-masing dilanjutkan.
Tempoh pajakan bagi pusat borong tersebut, yang mempunyai 1,200 unit termasuk sekitar 200 kedai, akan berakhir pada 2026, lapor The Straits Times (ST).
Unit lain termasuk kemudahan seperti bilik sejuk.
Agensi Makanan Singapura (SFA) memaklumkan dalam satu kenyataan pada 29 Ogos ia sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi melanjutkan pajakan pusat borong tersebut sehingga 2040.
Bagaimanapun, pusat borong tersebut mesti “membetulkan semua ketidakpatuhan terhadap keselamatan kebakaran menjelang akhir 2026”.
SFA turut menyatakan ia akan melanjutkan pajakan bagi Pelabuhan Perikanan Jurong sehingga 2040.
Pajakan bagi satu-satunya pelabuhan perikanan di Singapura itu, sebelum ini, dijadual berakhir pada 2030.
Menurut SFA, ia telah menyiapkan kerja memasang alat pemercik air di kawasan awam dan pengesan haba di kedai di Pusat Borong Pasir Panjang.
Ini meletakkan asas bagi kerja pembetulan lebih meluas, dengan hanya kerja pembetulan melibatkan kedai yang masih belum selesai, katanya.
Kedai tersebut perlu menanggalkan pengubahsuaian yang dibuat tanpa kelulusan, selain memasang sistem pemercik air dalam kedai, tambahnya.
“Kerja pembetulan ini penting bagi memastikan keselamatan penyewa, pekerja dan orang awam yang mengunjungi Pusat Borong Pasir Panjang,” kata SFA
Agensi tersebut menyatakan ia akan menyokong penyewa dengan menanggung kos memasang alat pemercik air di siling setiap kedai, dan merobohkan aset sedia ada yang tidak mematuhi syarat keselamatan kebakaran seperti penyejuk.
“Selain itu, penyewa yang terjejas akan menerima pengecualian sewa serta Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) selama tiga bulan,” tambah SFA.
Tempoh pengecualian selama tiga bulan itu ditetapkan berdasarkan anggaran masa yang diperlukan bagi kerja pembetulan tersebut.
SFA turut menarik perhatian sebilangan penyewa telah meluaskan kegiatan perniagaan ke kawasan awam, yang menjejas laluan keluar kecemasan dan menghalang peruntukan keselamatan kebakaran.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, yang bertemu sekumpulan penyewa pertama di pusat borong tersebut pada pagi 29 Ogos, mengumumkan pakej sokongan dan lanjutan pajakan tersebut.
Beliau menekankan pentingnya pusat borong tersebut dinaik taraf, diberi nafas baru, dan bersedia bagi masa depan dalam menyokong daya tahan rantaian bekalan makanan Singapura.
“Walaupun mungkin terdapat sedikit kesulitan semasa kerja pengubahsuaian di Pusat Borong Pasir Panjang, SFA akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan menyediakan bantuan yang diperlukan untuk memastikan perniagaan dapat diteruskan dan mengurangkan gangguan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg