Dalam seminggu, kumpulan penyelamat makanan, Food Rescue Sengkang (FRSK), pernah mengumpul hingga 50,000 kilogram buah-buahan dan sayur-sayuran ‘tidak cantik’ yang hampir-hampir dibuang ke tong sampah, dan mengagihkannya kepada orang yang sudi mengambilnya.
Jumlah itu, bersamaan berat lebih 10 ekor gajah dewasa, hanya sebahagian daripada buah-buahan dan sayur-sayuran tidak sempurna – ada lebam, lekuk atau calar – yang diselamatkan di Singapura oleh FRSK, satu daripada beberapa kumpulan ‘penyelamat’ makanan segar di sini.
Selain FRSK, Fridge Restock Community SG dan Little India Veggie Collection juga menjalankan usaha serupa.
Inisiatif masyarakat atau ground-up itu memainkan peranan dalam membantu pengurusan sisa makanan di Singapura.
Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), sisa makanan membentuk sekitar 11 peratus jumlah sisa yang dihasilkan di Singapura pada 2023, iaitu sebanyak 755,000 tan.
NEA mempunyai beberapa strategi pengurusan mengurus sisa makanan secara menyeluruh dalam usaha menjadikan Singapura Negara Sifar Sisa termasuk mengurangkan pembaziran makanan di peringkat sumber dan mengagihkan semula makanan lebihan atau tidak terjual.
Makanan lebihan atau tidak terjual itu termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran ‘tidak cantik’ yang menjadi ‘mangsa’ tanggapan pengguna dan peruncit bahawa semua buah-buahan dan sayur-sayuran mestilah sempurna daripada segi bentuk, warna, mempunyai permukaan licin dan tanpa bintik-bintik.
Pengarah program teknologi dan sains makanan Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor William Chen, memberitahu Berita Minggu (BM) bahawa pada hakikatnya, jangkaan itu mungkin tidak sejajar dengan apa yang dilihat.
“Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah organik seperti manusia. Ia melalui perubahan apabila terdedah kepada persekitaran. Perubahan tidak berkait dengan nilai pemakanan dalam kebanyakan kes.
“Perubahan ini antara lain bergantung pada keadaan penyimpanan dan suhu ambien di peringkat runcit. Walaupun kita menyimpan buah-buahan dan sayur-sayuran yang sempurna dalam peti sejuk kita, ia akan berubah bentuk dan rupa dari masa ke masa,” jelasnya.
Menurut satu tinjauan sebelum ini, sekitar 83 peratus responden berkata mereka hanya akan membeli buah-buahan dan sayur-sayuran yang kelihatan segar dan baik. Sekitar 25 peratus responden pula berkata mereka tidak akan mengambil barangan makanan yang ‘tidak cantik’.
Satu laporan oleh Majlis Alam Sekitar Singapura (SEC) mengenai sisa dan kehilangan makanan di sini pada 2019 berkata pilihan berdasarkan ‘paras rupa’ itu menyebabkan sejumlah besar sisa makanan kerana peruncit akan membuang buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak “kelihatan sempurna”.
Pembuangan ini antara lain berlaku di Pusat Borong Pasir Panjang yang membekalkan buah-buahan, sayur-sayuran dan barangan makanan kering.
Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam hantaran Facebook pada Januari 2024, pusat borong itu menghasilkan 16,800 tan sisa setahun.
Pusat borong itu menjadi antara tempat yang dituju bagi mendapatkan buah-buahan dan sayur-sayuran ‘tidak cantik’ oleh kumpulan penyelamat makanan seperti FRSK.
Barangan makanan yang diselamatkan itu kemudian diagihkan kepada orang ramai yang berminat mengambilnya pada hari-hari tertentu.
“Saya menyedari terdapat banyak makanan yang masih elok dan boleh dimakan dibuang sedangkan makanan itu boleh dimanfaatkan dengan lebih baik dengan memberikannya kepada orang ramai. Dengan cara ini, saya dapat mengurangkan pembaziran makanan di Singapura,” kata pengasas bersama FRSK, Encik Derek Ong, yang menubuhkan kumpulan itu pada 2019.
Profesor Chen berkata kumpulan penyelamat makanan yang bergerak dengan tenaga relawan itu memainkan peranan penting dalam mengurangkan kehilangan makanan atau food loss.
Tetapi beliau berkata apa yang lebih penting adalah untuk mengurangkan penghasilan kehilangan makanan itu di peringkat sumber.
“Kita perlu menghubungkan apa yang berlaku ini menggunakan data untuk menyesuaikan bilangan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kita bawa masuk dengan permintaan.
“Ia seperti menangani kebakaran. Adalah penting untuk memadamkan api (kehilangan makanan) oleh anggota bomba (kumpulan penyelamat), tetapi apa yang lebih penting adalah untuk menghalang kebakaran daripada bermula (analitik data dan meningkatkan kesedaran),” katanya.
Profesor Chen menambah, pasar raya juga boleh melakukan lebih banyak dan lebih baik dalam menggunakan analitik data untuk memantau permintaan dan bertindak balas dengan menyediakan bekalan yang berpatutan.
Pasar raya seperti FairPrice telah memperkenalkan beberapa inisiatif seperti IMperfect Fellas yang menawarkan buah-buahan lebam dan sayur-sayuran calar kepada pelanggan pada potongan harga.
FairPrice juga mempunyai daya usaha yang dipanggil Neighbourhood Food Share dengan sekitar dua tan buah-buahan dan sayur-sayuran tidak sempurna diselamatkan setiap bulan dari pasar rayanya dan diagihkan secara percuma kepada golongan kurang bernasib baik melalui peti sejuk masyarakat di serata negara.
Penjual sayur di pasar, seperti Encik Muhammad Taufiq Anwardeen, juga memainkan peranan mengurangkan pembaziran terutama semasa Ramadan.
Ini dilakukan dengan memahami corak pembelian pelanggan dan membawa masuk bekalan sayur-sayuran yang bersesuaian dengan permintaan.
Pemilik generasi kedua kedai ‘Anwar Mini Market’ di Pasar Geylang Serai itu turut menawarkan diskaun ke atas sayur-sayuran yang tidak lagi segar atau yang mempunyai bentuk yang tidak sempurna.
Beliau berkata sayur-sayuran lazimnya mesti dijual pada hari sama kedainya terima daripada pembekal kerana ia cepat rosak.
“Oleh itu, apabila dekat waktu nak tutup kedai, saya turunkan harga untuk habiskan stok.
“Saya juga menyesuaikan jenis dan kuantiti stok berdasarkan musim.
“Contohnya, sayur seperti sawi, bayam dan kangkong tak laku sangat waktu Ramadan sebab ia tidak digunakan untuk masakan Hari Raya, jadi saya kurangkan stok untuk elakkan pembaziran,” ujarnya.
Selain menggunakan data untuk memahami corak permintaan, turut penting adalah meningkatkan kesedaran orang ramai tentang isu kehilangan makanan dan menerima hakikat bahawa tiada buah atau sayur yang sempurna, kata Profesor Chen.
“Ini akhirnya akan membawa kepada penerimaan lebih baik bagi buah dan sayur tidak sempurna dalam pemakanan kita dan mengurangkan kehilangan makanan,” katanya.
Perkara ini yang dialami relawan Little India Veggie Collection, Cik Kayleigh Kong, 22 tahun, setelah beberapa kali terlibat dalam usaha menyelamatkan buah dan sayur tidak sempurna di kawasan Little India.
“Saya kini menjadi semakin sudi menikmati makanan ‘tidak cantik’, seperti menggunakan pisang yang terlalu ranum untuk membuat kek.
“Dalam kumpulan sembang sukarelawan kami, ramai yang berkongsi gambar hidangan mereka yang diperbuat daripada makanan ‘tidak cantik’, dan mereka berkongsi resipi mereka juga.
“Melihat betapa lazatnya hidangan itu membuat saya lebih selesa dengan makanan ‘tidak cantik’,” kata Cik Kong, seorang pelajar.
“Saya mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan makanan sedemikian tetapi lama-kelamaan saya makin sedar bahawa semuanya adalah makanan!” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg