HO CHI MINH: Spartans Boxing Club (SBC), jenama tinju dan kecergasan yang sedang berkembang pesat di Singapura, telah menandatangani perjanjian francais utama dengan Encik Hai Tran, seorang penasihat undang-undang kewangan berpengalaman, untuk membuka 10 cawangan di Vietnam.
Ditubuhkan di Singapura pada 2015 di kawasan East Coast, jenama tinju butik itu kini mempunyai 18 pusat di lima negara, termasuk Dubai di Amiriah Arab Bersatu (UAE), Australia, Filipina dan Kemboja.
Ia bertujuan untuk terus berkembang di Asia Tenggara untuk mencapai matlamat membuka 50 gimnasium di bawah jenamanya di seluruh kawasan Asia-Pasifik dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menjelang 2025, lapor The Business Times.
Pada masa ini, pasukan tersebut sedang mencari lokasi untuk gimnasium pertama di Vietnam, yang dijangka dibuka di Ho Chi Minh pada suku pertama 2025.
Mereka juga sedang mempertimbangkan lokasi seterusnya di ibu kota Hanoi atau di bandar tengah Vietnam, Da Nang.
Menurut profil LinkedIn beliau, Encik Hai Tran, pemegang francais utama dan pemilik Spartans Boxing Club Vietnam, telah bekerja di Singapura selama 10 tahun sebagai penasihat undang-undang untuk institusi kewangan utama seperti Standard Chartered Bank dan Barclays Bank.
Beliau telah mula bertinju di SBC buat kali pertama di Joo Chiat pada 2020 dan kemudian berminat dengan peluang francais di tanah airnya, Vietnam.
Dengan pertumbuhan ekonomi yang sihat dan pasaran kecergasan yang berkembang pesat, negara Asia Tenggara itu menawarkan peluang bagi SBC.
Jenama tersebut menyatakan bahawa mereka ingin menarik golongan ekspatriat, individu muda yang berpendapatan tinggi, kumpulan yang celik keusahawanan dan media sosial, serta golongan karyawan.
Encik Russell Harrison, Ketua Pegawai Eksekutif di SBC, mengakui bahawa Vietnam mempunyai potensi dan beberapa petinju cemerlang di peringkat kebangsaan.
Beliau melakukan lawatan bersama Encik Hai Tran ke Ho Chi Minh pada Julai dan menyaksikan prospek yang optimis di negara yang mempunyai 100 juta penduduk – ketiga paling ramai di Asia Tenggara, selepas Indonesia dan Filipina.
Dengan tujuan membawa tinju kepada orang ramai, Encik Harrison berkata SBC merancang untuk melancarkan dua lagi teras korporat di Vietnam selain gimnasium, iaitu Spartans Boxing Academy dan acara seperti Spartans White Collar Boxing.
Mordor Intelligence meramalkan pasaran kelab kesihatan dan kecergasan Asia Tenggara akan berkembang daripada AS$2.45 bilion ($3.29 bilion) pada 2024 kepada AS$3.83 bilion pada 2029, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 9.36 peratus.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg