Pengeluaran kilang Singapura meningkat lebih pantas serta melebihi jangkaan pada Oktober, didorong pengeluaran kukuh dalam sektor elektronik dan farmaseutikal.
Keluaran sektor perkilangan melonjak 29.1 peratus berbanding 2024, menurut data yang dikeluarkan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada 26 November.
Kadar pengeluaran itu juga jauh melebihi kenaikan 6.7 peratus yang diramalkan oleh penganalisis.
Tidak termasuk industri bioperubatan yang tidak menentu, pengeluaran pada Oktober meningkat 15.8 peratus berbanding 2024.
Setelah disesuaikan mengikut musim setiap bulan, pengeluaran pengilangan meningkat 11.5 peratus. Jika pengeluaran bioperubatan tidak diambil kira, ia mencatat peningkatan 11.7 peratus.
Sektor bioperubatan mencatat peningkatan dalam pengeluaran sebanyak 89.6 peratus berbanding 2024, selepas kenaikan 45.6 peratus pada September, lapor The Straits Times (ST).
Sektor farmaseutikal melonjak 122.9 peratus menyusuli peningkatan pengeluaran bahan farmaseutikal aktif dan produk biologi.
Segmen teknologi perubatan pula berkembang 7.3 peratus didorong oleh permintaan eksport berterusan bagi peranti perubatan.
Pengeluaran daripada industri elektronik utama – yang menyumbang lebih sepertiga daripada keseluruhan pengeluaran kilang – meningkat 26.9 peratus.
Segmen semikonduktor, yang merangkumi lebih 80 peratus pengeluaran elektronik tempatan, mencatat kenaikan 17 peratus, manakala segmen infokom dan elektronik pengguna melonjak 155.6 peratus.
Segmen peranti pelengkap komputer dan penyimpanan data meningkat 0.5 peratus, manakala segmen modul dan komponen elektronik lain mencatat penurunan 5.7 peratus.
Satu lagi industri yang mencatat pengeluaran kukuh ialah kejuruteraan pengangkutan, dengan peningkatan 29.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Segmen aeroangkasa berkembang 50.6 peratus, disokong oleh peningkatan pengeluaran bahagian pesawat serta lebih banyak kerja penggantian alat pesawat dan kerja penyelenggaraan (MRO) bernilai tinggi daripada syarikat penerbangan komersial.
Segmen kejuruteraan marin dan luar pesisir meningkat 7 peratus, didorong kegiatan lebih tinggi dalam pembaikan kapal serta pembinaan platform dan pelantar minyak.
Sebaliknya, segmen darat mencatat penurunan 23.9 peratus.
Pengeluaran daripada sektor kejuruteraan jitu meningkat 12.2 peratus.
Segmen jentera dan sistem meningkat 13.9 peratus, didorong pengeluaran lebih tinggi dalam industri peralatan semikonduktor dan peralatan kawalan proses.
Sementara itu, segmen modul dan komponen jitu meningkat 5.7 peratus, disokong pengeluaran lebih tinggi bagi penyambung elektronik serta kabel dan wayar elektrik.
Sektor kimia mencatat pertumbuhan paling rendah antara semua sektor yang meningkat pada Oktober.
Pengeluaran sektor tersebut naik 2.2 peratus, dengan segmen khusus berkembang 42.8 peratus daripada asas rendah yang dicatatkan pada Oktober 2024 menyusuli penutupan loji untuk penyelenggaraan.
Namun, segmen kimia lain mencatat penurunan 0.2 peratus dan petroleum turun 2.5 peratus, manakala segmen petrokimia susut 17.8 peratus akibat penutupan loji untuk penyelenggaraan.
Industri pengilangan am terus menyusut pada Oktober, dengan pengeluaran jatuh 5.6 peratus berikutan penurunan dalam semua segmen.
Segmen industri pelbagai susut 2.3 peratus dan percetakan susut 3.2 peratus.
Segmen makanan, minuman dan tembakau mencatat pengeluaran lebih rendah berikutan pengeluaran serbuk susu, koko dan produk bakeri menurun 8.2 peratus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg