Pengeluaran kilang Singapura mencatat lonjakan mengejutkan sebanyak 16.1 peratus pada September.
Ia menandakan pemulihan besar berbanding penurunan pada Ogos, hasil dorongan kuat daripada sektor farmaseutikal.
Pengeluaran pembuatan meningkat 16.1 peratus bagi September 2025, berbanding tempoh yang sama pada 2024, jauh melebihi ramalan penganalisis Bloomberg yang menjangka kenaikan hanya 0.4 peratus, lapor The Business Times.
Ini juga menandakan pemulihan daripada kejatuhan 9 peratus pada Ogos selepas Amerika Syarikat mengenakan tarif lebih tinggi ke atas lebih 90 negara.
Prestasi September yang kukuh dipacu oleh peningkatan pengeluaran farmaseutikal.
Tanpa mengambil kira pengeluaran pembuatan bioperubatan, pengeluaran meningkat sebanyak 5.4 peratus.
Selepas pelarasan bermusim, pengeluaran pembuatan pada September meningkat 26.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Pengeluaran pembuatan bioperubatan melonjak 45.9 peratus pada September 2025, berbanding tempoh sama pada 2024.
Dalam kelompok itu, segmen farmaseutikal naik 55.3 peratus berikutan pengeluaran lebih tinggi produk biologi dan ramuan aktif farmaseutikal.
Segmen teknologi perubatan turut meningkat 4.8 peratus disokong permintaan eksport peranti perubatan.
Dari Januari hingga September, keseluruhan kelompok pengeluaran bioperubatan naik 5.5 peratus berbanding tempoh yang sama paa 2024.
Kelompok elektronik turut meningkat 13.2 peratus, didorong segmen infokom dan elektronik pengguna yang melonjak 80.6 peratus hasil pengeluaran produk pelayan.
Modul dan komponen elektronik naik 20.2 peratus, manakala semikonduktor meningkat 7.3 peratus.
Namun, segmen alat pelengkap komputer dan penyimpanan data menurun.
Kelompok kejuruteraan pengangkutan juga kukuh dengan pertumbuhan 13.8 peratus, didorong oleh segmen aeroangkasa yang melonjak 31.9 peratus hasil pengeluaran alat ganti pesawat dan kerja penyelenggaraan (MRO).
Segmen marin dan luar pesisir meningkat sedikit sebanyak 1.1 peratus, manakala segmen darat menurun 20.8 peratus.
Kelompok kimia naik 1.2 peratus, disokong oleh segmen petroleum yang meningkat 8.5 peratus daripada paras rendah pada 2024.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan dalam segmen lain, seperti bahan kimia.
Ini disebabkan oleh pengeluaran bahan tambahan makanan dan bahan kimia asas yang lebih rendah, serta pengeluaran bahan wangian yang lebih rendah.
Selain itu, pengeluaran petrokimia jatuh 9 peratus akibat penutupan loji bagi penyelenggaraan.
Kedua-dua kejuruteraan jitu dan pembuatan am menyaksikan penurunan dalam pengeluaran.
Pengeluaran kilang am susut 4.7 peratus bagi tempoh sama berbanding tahun lalu, manakala kejuruteraan jitu turun 5.9 peratus.
Segmen jentera dan sistem merosot disebabkan pengeluaran peralatan semikonduktor bahagian hadapan yang lebih rendah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg