Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeluaran kilang S’pura naik 6.1% pada Okt dipacu permintaan AI yang kekal kukuh
Keluaran kilang S’pura naik 6.1% pada Okt dipacu permintaan AI yang kekal kukuh
Pengeluaran sektor perkilangan Singapura menunjukkan pertumbuhan pada Oktober, didorong permintaan berterusan terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor yang menyokong sektor elektronik serta kejuruteraan jitu.
Pengeluaran kilang meningkat 6.1 peratus tahun ke tahun, lebih pantas berbanding kadar 5 peratus yang disemak semula pada September, menurut data yang dikeluarkan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada 26 November.
Semua kelompok mencatatkan pertumbuhan kecuali kejuruteraan pengangkutan dan perkilangan bioperubatan.
Angka itu mengatasi unjuran 2.2 peratus oleh pakar ekonomi dalam satu tinjauan.
Sekiranya perkilangan bioperubatan yang sangat tidak menentu dikecualikan, pengeluaran mencatat peningkatan 12.1 peratus.
Penganalisis berkata perkilangan Singapura mencatat pertumbuhan meskipun berdepan kesan asas tinggi, dan prospek sektor berkenaan kekal memberangsangkan bagi tempoh jangka masa terdekat.
Namun, industri di luar bidang AI dan teknologi berkemungkinan mencatatkan pertumbuhan perlahan pada suku keempat.
Ahli Ekonomi Kanan DBS Bank, Encik Chua Han Teng, berkata pertumbuhan global yang dipacu AI “masih mempunyai momentum”, walaupun ia berkemungkinan bergerak pada kadar lebih mampan.
Ini sekali gus menghasilkan pertumbuhan yang memberangsangkan namun sederhana bagi sektor perkilangan Singapura.
Antara risiko yang boleh menjejas kitaran AI global termasuk keadaan kewangan yang lebih ketat dan langkah kawal selia diterajui Amerika Syarikat, tatkala pelabur kini meneliti pulangan pelaburan AI dengan lebih rapat.
Ahli Ekonomi UOB, Encik Jester Koh, berkata faktor ini boleh memperlahankan dorongan berkaitan AI pada separuh kedua 2027, memandangkan syarikat penyedia perkhidmatan awan berskala besar turut dijangka mengurangkan kadar perbelanjaan modal mereka.
Cadangan tarif baharu oleh pemerintah Amerika Syarikat sehingga 20 peratus juga boleh menjejas eksport domestik bukan minyak (Nodx) republik ini serta sektor perkilangannya.
Menurut Encik Chua, Singapura masih mempunyai ruang sehingga Januari 2027 untuk berunding dengan Amerika berhubung tarif baharu itu.
Sementara itu, pengecualian berterusan bagi barangan semikonduktor dan farmaseutikal akan membantu memastikan kesan negatif terhadap eksport Nodx Singapura ke Amerika kekal terkawal.
Kelompok kejuruteraan jitu mencatat pertumbuhan tertinggi pada kadar 54.1 peratus, didorong pengeluaran peralatan semikonduktor lebih tinggi dalam segmen jentera dan sistem yang melonjak 62.4 peratus.
Pengeluaran modul dan komponen jitu pula meningkat 16.1 peratus.
Pengeluaran daripada kelompok elektronik terus berkembang tahun ke tahun dipacu permintaan AI berterusan, dengan pertumbuhan sebanyak 6.6 peratus.
Modul dan komponen elektronik lain mencatat peningkatan pengeluaran terbesar iaitu 26.9 peratus, diikuti segmen peranti kelengkapan komputer dan penyimpanan data yang tumbuh 24.7 peratus.
Sementara itu, pengeluaran dalam segmen semikonduktor meningkat sedikit sebanyak 5.2 peratus manakala segmen infokom dan elektronik pengguna mencatat pertumbuhan kecil sebanyak 5.3 peratus.
Kelompok kimia berkembang 4.4 peratus, selepas menguncup pada September.
Segmen petroleum merekodkan pertumbuhan 7.8 peratus hasil pengeluaran lebih tinggi dalam produk ditapis.
Sebaliknya, segmen petrokimia terus menyusut sebanyak 23.1 peratus di tengah-tengah permintaan lebih lemah serta gangguan bekalan bahan mentah yang mengekang pengeluaran.
Industri perkilangan am berkembang 0.5 peratus, dengan segmen makanan, minuman dan tembakau meningkat 2.1 peratus dipacu pengeluaran susu tepung serta produk minuman lebih tinggi.