Topik diikuti
Pergi ke BHkuRamalan pertumbuhan ekon S’pura 2026 naik kepada 6%
Pengeluaran, eksport berkaitan AI meningkat; pertumbuhan 2027 dijangka lebih sederhana
Ramalan pertumbuhan ekon S’pura 2026 naik kepada 6%
Singapura menaikkan ramalan pertumbuhan bagi 2026 berikutan peningkatan pengeluaran dan eksport berkaitan kecerdasan buatan (AI), tetapi menjangka kadar prestasi akan menjadi lebih sederhana pada 2027.
Ramalan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dinaikkan kepada sekitar 6 peratus, daripada julat 4.5 hingga 5.5 peratus yang diunjurkan pada Ogos, kata Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) pada 24 November.
Dalam ramalan pertamanya bagi 2027, METI berkata ekonomi berkemungkinan berkembang pada kadar lebih perlahan iaitu 2.5 hingga 4.5 peratus, memandangkan kadar pelaburan dalam AI semakin sederhana dan kebanyakan rakan dagang utama Singapura kehilangan momentum.
Penambahbaikan ramalan pertumbuhan 2026 oleh METI itu dibuat walaupun ekonomi berkembang pada kadar lebih perlahan iaitu 6.1 peratus tahun-ke-tahun pada suku ketiga, susut daripada pertumbuhan 6.4 peratus (disemak semula) pada suku sebelumnya.
Ini menjadikan pertumbuhan bagi tiga suku pertama 2026 sebanyak 6.2 peratus.
Berdasarkan perbandingan suku tahunan yang diselaraskan mengikut musim, ekonomi mencatat pertumbuhan sebanyak 1.5 peratus, menjadinya lebih sederhana berbanding pertumbuhan 1.8 peratus pada suku kedua.
Semakan terhadap ramalan pertumbuhan ekonomi Singapura bagi 2026 dibuat walaupun sektor perkilangannya menunjukkan pertumbuhan lebih perlahan.
Pada September, pengeluaran kilang meningkat sebanyak 3.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025.
Angka itu jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan sebanyak 15.4 peratus yang dicatatkan pada Ogos, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada 26 Oktober.
Angka itu jauh lebih rendah daripada unjuran 7.1 peratus oleh ahli ekonomi dalam tinjauan Bloomberg.
Namun, Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) Singapura melonjak 79.8 peratus berbanding Oktober 2025, daripada 68.3 peratus pada September, berdasarkan data daripada Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 17 November.
Pecahan GDP suku ketiga menunjukkan sektor pengilangan berkembang 8.5 peratus tahun-ke-tahun pada suku ketiga, menjadi lebih sederhana berbanding pertumbuhan 13.2 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan pada suku tersebut disumbangkan oleh peningkatan pengeluaran dalam beberapa sektor, iaitu elektronik, kejuruteraan jitu, kejuruteraan pengangkutan dan pengilangan am.
Peningkatan itu berjaya mengimbangi penurunan pengeluaran dalam sektor kimia dan bioperubatan.
Permintaan sejagat yang kukuh berkaitan AI terus menyokong pertumbuhan dalam kelompok elektronik dan kejuruteraan jitu.
Sementara itu, sektor perdagangan borong berkembang 14.5 peratus tahun-ke-tahun, lebih pantas daripada pertumbuhan 9.8 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan sektor itu diterajui oleh segmen jentera, peralatan dan bekalan, yang mencatat pengembangan kukuh dalam jumlah borong bagi telekomunikasi dan komputer serta komponen elektronik, disokong sebahagian besarnya oleh permintaan sejagat yang kukuh bagi elektronik berkaitan AI.
Jumlah borong dalam segmen bahan api dan kimia serta segmen “lain-lain”, yang merangkumi logam, kayu dan bahan binaan, peralatan rumah, perabot, serta makanan, minuman dan tembakau, merosot sepanjang suku tersebut.
Jumlah borong dalam segmen bahan api dan kimia turut terjejas akibat gangguan bekalan minyak yang disebabkan oleh konflik Timur Tengah.