Pagi itu, hujan turun renyai-renyai, seakan mengerti perasaan Mira yang sedang bergelut sedih dan hampa.
Mira duduk di atas lantai bilik tamu, merenung kosong ke arah fotonya bersama arwah bapanya, Azman di dinding.
Rumahnya kini terasa begitu asing tanpa kehadiran lelaki yang selama ini menjadi tempat bergantung hidupnya.
Azman meninggal dunia sebulan yang lalu tanpa wasiat.
Isteri Azman sudah lebih 20 tahun meninggalkan mereka akibat barah payu dara semasa Mira berusia enam tahun.
Azman tidak berkahwin lagi. Sejak kematian isterinya, Azman mencurahkan kasih sayang sepenuhnya kepada Mira, anak angkat mereka sejak Mira berumur sebulan.
Setelah lulus pengajian dari universiti tempatan, Mira bekerja sebagai pegawai pentadbiran di sebuah kementerian.
Azman mendapat penyakit angin ahmar tiga tahun yang lalu.
Walaupun dibantu seorang pembantu rumah, Mira tetap menitikberatkan penjagaan yang baik untuk bapanya itu setelah pulang dari kerja.
Azman pernah menyatakan hasratnya untuk membuat wasiat.
Namun disebabkan penyakitnya itu, hasrat beliau tidak kesampaian.
Sebagai seorang anak angkat, Mira sedar bahawa dirinya tidak berhak ke atas harta peninggalan bapanya.
Namun, apa yang lebih menyedihkan, satu-satunya waris faraid dan adik lelaki bapanya, Pak Cik Zain, telah menuntut haknya kepada kesemua harta peninggalan abangnya tanpa sebarang rasa ihsan kepada Mira.
“Ini hak Pak Cik mengikut hukum faraid, Mira. Pak Cik harap kamu faham,” kata Zain ketika mereka bertemu minggu lalu.
Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga Mira, menusuk hatinya yang sudah sedia luka.
“Ustaz Pak Cik pernah berkata anak angkat tak ada hak kepada harta pusaka bapa atau ibu angkatnya,” tambah Zain.
Namun beliau tidak bersambung kata-kata ustaz itu yang mengatakan ahli waris boleh menunjukkan keihsanan mereka dengan memberi sebahagian daripada harta pusaka bapa atau ibu angkat kepada anak angkat.
Mira tidak meminta banyak. Sekadar sedikit ruang untuk meneruskan hidup dalam rumah yang telah menjadi tempat beliau berteduh sejak kecil.
Namun Zain meminta Mira keluar dari rumah itu kerana beliau ingin menjualnya.
Dengan hati yang berat, Mira menurunkan fotonya bersama bapa angkatnya dari dinding dan mula mengemas barang-barangnya.
Dalam hatinya, beliau berjanji untuk meneruskan hidupnya dengan tabah, membawa kasih sayang ibu bapa angkatnya ke mana sahaja beliau pergi.
Kes Mira menggambarkan situasi yang sering berlaku apabila seseorang yang tiada hubungan darah seperti anak angkat, ditinggalkan tanpa harta pusaka kerana tiada wasiat atau perancangan harta pusaka yang dibuat oleh ibu bapa angkat.
Dalam konteks perundangan Islam di Singapura, harta pusaka yang ditinggalkan tanpa wasiat akan dibahagikan mengikut hukum faraid.
Anak angkat, walaupun dibesarkan sebagai ahli keluarga, tidak diiktiraf sebagai waris dalam pembahagian faraid.
Dalam kes ini, Mira tiada hak kepada sebarang harta pusaka bapa angkatnya.
Namun Zain boleh bersifat ihsan dan memberikan sebahagian daripada harta pusaka yang diwarisinya kepada Mira.
Memelihara talian kekeluargaan adalah tanggungjawab yang lebih penting daripada hak warisan semata-mata.
Demi memastikan masa depan anak angkat terpelihara, ibu bapa angkat yang telah membesarkan anak itu seperti anak kandung mereka sendiri harus juga mengambil langkah proaktif untuk menjamin kebajikan anak tersebut setelah mereka tiada.
Perancangan harta pusaka seperti penulisan wasiat, pemberian hibah serta pencalonan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan insurans, adalah antara langkah yang boleh diambil untuk memastikan anak angkat tidak terpinggir dan terus mendapat perlindungan serta sokongan yang sewajarnya.
Penulis Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Barakah Capital Planners, firma perunding perancangan harta pusaka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg