Keppel berjaya memperoleh komitmen modal baru hampir $2 bilion untuk tiga dana utama mereka, iaitu sekitar $4.9 bilion dana di bawah pengurusan (FUM).
Dana-dana sasaran tersebut adalah Dana Pusat Data Keppel III (KDCF III), Dana Aset Pendidikan Keppel II (KEAF II) dan strategi Pembaharuan Bandar Mampan (SUR).
Jumlah yang dikumpul termasuk AS$580 juta komitmen modal awal yang diperoleh pada penutupan pertama KDCF III, AS$307 juta modal yang diberikan pada penutupan pertama KEAF II dan sekitar $760 juta modal baru untuk dana SUR, kata Keppel pada Isnin (21 April).
Cik Christina Tan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pengurusan Dana dan Ketua Pegawai Pelaburan di Keppel, berkata pusingan modal yang terkumpul baru-baru ini membawa syarikat itu lebih dekat kepada sasaran FUM sementara sebanyak $100 bilion menjelang 2026, lapor The Business Times (BT).
Pengurus aset dan pengendali tersebut bertujuan mencapai sasaran FUM sebanyak $200 bilion menjelang 2030, katanya.
KDCF III akan melabur dalam portfolio pusat data mampan di seluruh Asia Pasifik dan memberi tumpuan kepada mendapatkan kepastian pra-komitmen atau penyewaan tinggi daripada pelanggan berskala besar, yang dapat mengurangkan risiko penyewaan portfolio bagi pelabur.
Modal yang baru diperoleh itu datang daripada pelbagai pelabur institusi global.
KEAF II adalah sebahagian daripada siri Dana Aset Pendidikan Keppel yang memberi tumpuan kepada pelaburan dalam aset dan fasiliti berkaitan pendidikan di Asia-Pasifik.
Komitmen modal yang diperoleh oleh KEAF II datang daripada dana kekayaan negara yang melabur dalam KEAF I, bersama dengan komitmen dari rakan kongsi terhad baru dari sektor insurans, pencen, dan dana kebajikan.
Strategi SUR akan melabur dalam peluang hartanah yang memberikan nilai tambah dengan tujuan untuk mengurangkan karbon dalam persekitaran binaan, sambil memberi pulangan menarik kepada rakan kongsi terhad, kata Keppel.
Dana yang baru diperoleh meningkatkan jumlah FUM terkumpul strategi itu kepada sekitar $4.3 juta setakat ini, termasuk komitmen terkini daripada salah satu dana pencen terbesar di Eropah.
Dana SUR terus mencari peluang pelaburan dalam pelbagai jenis hartanah di Singapura, Korea Selatan, Jepun, Australia, dan bandar-bandar utama di China, kata kumpulan itu.
Ini merangkumi sektor seperti komersial, perumahan, sains hayat, hospitaliti, dan logistik, tetapi tidak termasuk sektor pendidikan, penginapan pelajar, dan pusat data, di mana Keppel mempunyai dana produk yang berasingan.
Pembangunan itu dijangka tidak memberi kesan besar kepada pendapatan bagi setiap saham atau aset nyata bagi setiap saham Keppel untuk tahun kewangan semasa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg