Syarikat pengurus aset sedunia Keppel telah bersetuju untuk memperoleh 100 peratus kepentingan dalam kompleks pejabat pegangan bebas One Paramount di Chennai, India, pada harga 22 bilion rupee ($351.1 juta), menurut syarikat itu pada 31 Julai.
Kompleks pejabat Gred A itu, yang siap dibina pada 2022, mempunyai keluasan kasar boleh disewakan sekitar 2.4 juta kaki persegi, merentasi tiga menara pejabat, serta ruang runcit dan kemudahan sampingan.
Di samping itu, One Paramount, yang mempunyai kemudahan seperti sebuah teater terbuka, gimnasium dan pusat makanan, terletak dalam kelompok pejabat yang sudah lama bertapak, selain terhubung dengan baik ke pusat bandar Chennai, lapor The Business Times.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) divisyen hartanah Keppel, Encik Louis Lim, berkata India terus menarik “jumlah pajakan komersial kukuh didorong asas pertumbuhan teguh”.
Syarikat itu sedang giat mengintai peluang untuk terus melabur dalam pasaran India, kata Encik Lim.
Chennai adalah antara lima pasaran pejabat terbesar India yang menikmati pertumbuhan pesat sepanjang dua dekad lalu, menurut satu penyelidikan oleh syarikat perunding hartanah sedunia JLL.
Pada masa sama, Keppel berusaha memanfaatkan keupayaan tenaga boleh diperbaharui mampan di bandar itu untuk menambah baik kecekapan tenaga dan prestasi kemampanan hartanah tersebut, dengan tujuan meningkatkan daya tarikannya kepada pelabur dana privet Keppel.
Untuk itu, ia akan memberi tumpuan pada usaha meningkatkan kecekapan tenaga dan air, serta proses pengurusan sisa di kompleks pejabat itu.
Ia juga berusaha untuk “melaksana teknologi bangunan digital dan bijak” di hartanah tersebut.
Di India, Keppel juga sedang membangunkan sebuah menara komersial di Bangalore dan sedang bekerjasama dengan pemaju hartanah Rustomjee dalam pembangunan perbandaran bersepadu di Mumbai.
Syarikat itu turut menyatakan bahawa pemerolehan One Paramount dijangka tidak memberi kesan penting ke atas aset ketara bersih sesaham Keppel bagi tahun kewangan ini.
Saham Keppel didagangkan sebanyak 3.9 peratus, atau $0.26, lebih rendah pada $6.38 pada waktu tengah hari 1 Ogos.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg