Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerja ubah suai Mustafa Centre di JB disambung semula setelah 2 tahun tertangguh
Kerja ubah suai Mustafa Centre di JB disambung semula setelah 2 tahun tertangguh
Projek di Capital City Mall dijadual siap sebelum suku pertama 2027
Kerja ubah suai Mustafa Centre di JB disambung semula setelah 2 tahun tertangguh
Capital World, pemaju hartanah yang tersenarai di Singapura, telah memulakan kerja pengubahsuaian dan penyiapan ruang bagi cawangan pertama Mustafa Centre di Johor Bahru.
Projek di Capital City Mall itu dijadual siap sebelum suku pertama 2027, umum pemilik pusat beli-belah tersebut, Capital World, pada 13 April.
Peruncit yang berpangkalan di Singapura, Mustafa Centre, bakal mengambil alih ruang seluas sekitar 240,000 kaki persegi di tingkat bawah pusat beli-belah tersebut.
Ruang ini berfungsi sebagai premis utama bagi bangunan seluas satu juta kaki persegi tersebut.
Pengarah Urusan Capital World, Encik Eric Tan, berkata permulaan kerja penyiapan ruang ini merupakan “hasil kepada rundingan yang dijalankan dengan sabar selama bertahun-tahun”.
Mustafa pada asalnya merancang untuk memasuki pasaran Malaysia pada separuh kedua 2023, lapor The Straits Times (ST) pada Februari.
Peruncit tersebut dilaporkan berhasrat untuk menjalankan operasi di lima daripada 11 tingkat pusat beli-belah Capital City Mall, namun ia menghadapi cabaran dalam mencapai persetujuan dengan pemilik individu.
Oleh itu, aset yang bakal diambil alih oleh Mustafa tidak akan merangkumi keseluruhan lima tingkat tersebut – yang sebelum ini dikatakan sebagai keluasan ideal bagi operasi sesebuah gedung serbaneka.
Capital City Mall merupakan pusat beli-belah hak milik strata, yang bermaksud unit runcit boleh dimiliki secara berasingan oleh pemilik individu, pelabur, atau perniagaan.
Meskipun perjanjian bernilai RM368 juta ($118.8 juta) yang dimeterai antara Capital World dengan Mustafa pada Januari 2023 itu telah menjamin 591 unit runcit belum terjual kepada Mustafa, rundingan dilaporkan masih diteruskan dengan pemilik pihak ketiga bagi memperoleh baki ruang yang ingin dimilikinya.
Kenyataan media tersebut tidak memberikan maklumat tambahan mengenai rundingan berkenaan.
Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingan di Savills Singapore, Encik Alan Cheong, berkata proses memperoleh ruang di pusat beli-belah hak milik strata boleh menjadi rumit kerana “pemilikan hartanah tersebut berpecah-pecah”, menurut laporan ST pada Februari.
“Sesebuah syarikat perlu berurusan dengan pelbagai pihak, di mana setiap daripada mereka mungkin mempunyai pendirian tersendiri,” katanya.
Encik Cheong menambah bahawa bakal penyewa biasanya berada di kedudukan kurang menguntungkan kerana “pihak yang memiliki unit di antara tingkat tertentu mungkin mempunyai kelebihan dalam rundingan apabila terdapat pihak lain (Mustafa) yang ingin menyatukan pegangan (unit) mereka”.
Pusat beli-belah ini terletak di Jalan Tampoi, sekitar 15 minit pemanduan dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru.
Ia berada di kedudukan strategik untuk memanfaatkan beberapa pembangunan prasarana serantau.
Tapak tersebut terletak di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dimulakan pada awal 2025.
Pembangunan ini juga dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan trafik pengunjung sebaik sahaja Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link) mula beroperasi pada penghujung 2026.
