Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketegangan geopolitik: S’pura main peranan penting sebagai hab komoditi

Oct 21, 2024 | 3:26 PM
Sektor komoditi lebih terdedah kepada gangguan perdagangan dan hubungan ekonomi.
Sektor komoditi lebih terdedah kepada gangguan perdagangan dan hubungan ekonomi. - Foto ST

Apabila ketegangan geopolitik memecahbelahkan dunia, negara seperti Singapura memainkan peranan yang semakin penting dalam menyokong sistem perdagangan global bagi sektor komoditi, pemerhati pasaran memberitahu The Business Times.

Menurut pemain industri, sektor komoditi khususnya lebih cenderung terkesan dengan gangguan dalam perdagangan dan perkongsian ekonomi.

Ketua ekonomi Asia-Pasifik di syarikat insurans kredit Coface, Encik Bernard Aw, menekankan bahawa ketegangan geopolitik yang meningkat menyebabkan pasaran komoditi utama berpecah.

“Sekatan ke atas perdagangan komoditi melonjak pada 2022, jauh lebih tinggi berbanding sekatan terhadap perdagangan barang lain. Sektor komoditi pertanian dan mineral mencatatkan peningkatan terbesar apabila berlaku gangguan perdagangan,” katanya.

Beliau menambah bahawa sejak Perang Dingin berakhir, pasaran komoditi menjadi lebih bersepadu disebabkan oleh liberalisasi dasar ekonomi melalui globalisasi yang meningkat.

Apabila persepaduan ini berpecah, ditambah dengan kesukaran dalam menukar sumber bekalan, sektor komoditi akan terjejas. 

Ketua analisis pasaran global di platform perkhidmatan kewangan Marex, Encik Guy Wolf, berkata komoditi pukal seperti bijih besi berkemungkinan paling terkesan akibat sekatan perdagangan.

Nilai yang lebih rendah bagi setiap tan menjadikan komoditi itu lebih sensitif terhadap kos logistik penghantaran, berbanding dengan komoditi bernilai tinggi seperti tembaga dan nikel.

Secara tradisi, minyak mentah, tembaga dan kacang soya adalah komoditi yang akan paling terjejas dengan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, kata Encik John Chen, ketua jualan komoditi serantau Standard Chartered (StanChart) untuk Kawasan Timur.

Sekiranya sekatan perdagangan antara kedua-dua ekonomi meningkat, prospek bagi komoditi ini akan menurun, tambahnya.

Meski permintaan global untuk komoditi kekal tinggi walaupun ketegangan perdagangan meningkat, pemain komoditi perlu mengemudi landskap kawal selia yang semakin kompleks dengan tangkas. 

Encik Liu dari StanChart menyatakan bahawa lokasi strategik Singapura, infrastruktur logistik dan kawal selia yang komprehensif, serta penyertaannya dalam pelbagai perjanjian perdagangan, meletakkan negara itu pada kedudukan yang kukuh dengan peralihan aliran perdagangan global.

“Kita juga akan melihat lebih banyak permintaan untuk kepakaran undang-undang dan pematuhan dari Singapura untuk mengemudi pelbagai sekatan perdagangan yang dikenakan oleh pasaran yang berbeza,” katanya.

Encik Lange dari Dow Jones menekankan peranan Singapura yang semakin penting sebagai kuasa perdagangan terkemuka di rantau ini.

“Oleh kerana terdapat keperluan penting bagi pasaran mempelbagaikan rangkaian bekalan mereka, Singapura boleh menjadi hab penting dan yang boleh dipercayai untuk mengharungi ketidaktentuan pasaran, terutama bagi syarikat-syarikat yang mahu mengurangi risiko geopolitik,” kata Encik Lange.

Sebagai laluan utama bagi negara-negara dari Timur dan Barat, Singapura kini menjadi pelabuhan kedua paling sibuk di dunia, menurut laporan Bloomberg yang dikeluarkan pada 30 September.

Menurut Encik Lange, insentif cukai yang ditawarkan di bawah Program Pedagang Sejagat oleh Enterprise Singapore (EnterpriseSG) adalah satu nilai tambah yang kukuh untuk menarik minat syarikat untuk berpangkalan di sini.

Buat masa ini, sekitar 400 pedagang sejagat dalam tiga sektor komoditi utama: komoditi pertanian, tenaga, serta logam dan mineral, beroperasi di bawah program ini, kata Encik Lee Pak Sing, penolong pengarah urusan EnterpriseSG.

Para pedagang ini menyumbang kepada aliran perdagangan komoditi antarabangsa sebanyak AS$1.8 trilion ($2.36 trilion) pada tahun 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg