Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kos sara hidup akan lebih baik

Bank Dunia jangka Malaysia berupaya capai negara berpendapatan tinggi jelang 2027 jika ringgit kekal pada paras semasa
Oct 13, 2024 | 5:30 AM
Kedai Emas Nur Jannah menyifatkan pengukuhan nilai ringgit yang lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (ASD) adalah peluang terbaik untuk orang ramai membeli emas atau membuat pelaburan emas.
Kedai Emas Nur Jannah menyifatkan pengukuhan nilai ringgit yang lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (ASD) adalah peluang terbaik untuk orang ramai membeli emas atau membuat pelaburan emas. - Foto BM oleh HANEEYZAH BAHARIN

Selepas agak lama terkesan dengan kemerosotan nilai ringgit, kelompok ekonomi, perdagangan dan perniagaan di Malaysia kini selesa dengan peningkatan ringgit, dengan paling ketara sejak sekitar Ogos lalu.

Jangkaan Bank Dunia bahawa Malaysia berupaya mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2027 jika ringgit kekal pada paras semasa sekitar RM4.20 berbanding satu dolar Amerika (USD).

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia setakat 26 September menunjukkan, ringgit merekodkan suku terbaik dalam tempoh 50 tahun sejak 1973 dan trend peningkatan berbanding 24 rakan dagang utama negara.

Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob, berkata tahap kepercayaan tinggi pelabur kepada Malaysia, kenaikan harga komoditi dan kerajaan yang stabil selain asas ekonomi yang telah diperbaiki mendorong pengukuhan ringgit.

Beliau percaya jika semua asas itu dapat dikekalkan dan ditingkatkan, nilai ringgit akan terus menguat mengatasi paras USD pada akhir 2024.

“Serangan Barat ke atas negara Asia Barat juga memberi kesan kepada nilai ringgit secara langsung, namun lebih kepada aspek eksport dan komoditi di rantau sana.

“Jika trend ini berterusan, kita dapat menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang jauh bertambah baik di samping pengukuhan ringgit,” katanya kepada Berita Minggu (BM).

Menurutnya, dalam jangka panjang pengukuhan nilai ringgit akan memberi lebih keselesaan kepada kos sara hidup rakyat, didorong kestabilan dan penurunan kos barangan import kos pengeluaran, walaupun mungkin harga barangan tidak turun dengan ketara.

“Ketika ini kerajaan Malaysia perlu menggalak industri dan perusahaan tempatan membeli bahan import dengan lebih banyak untuk bekalan jangka panjang, di samping itu menurunkan harga jualan. Namun penting untuk kerajaan mengkaji dasar sedia ada untuk memudahcara urusan dagangan.

“Malaysia adalah negara yang bergantung kepada barangan makanan dan bahan mentah yang diimport. Dengan nilai ringgit meningkat, kos makanan import ini dapat dikurangkan dan rakyat boleh menjangkakan pengurangan ini akan meluas dan menurunkan kos makanan serta sara hidup,” katanya.

Tambah Profesor Madya Dr Abu, nilai ringgit yang menguat secara tidak langsung akan membolehkan rakyat menikmati penurunan harga barang, perkhidmatan serta kadar pengangguran.

Namun, beliau melihat kecenderungan rakyat Malaysia melancong ke luar negara sebagai antara kesan buruk pengukuhan nilai ringgit yang perlu ditinjau secara terperinci.

“Kita lihat baru-baru ini dilaporkan rakyat Malaysia membelanjakan sejumlah RM130 juta ($39.57 juta) bercuti di selatan Thailand. Ia jelas menunjukkan kuasa beli rakyat semakin tinggi, namun apa yang dibimbangi nasib sektor pelancongan domestik.

“Ia menunjukkan rakyat semakin berani berbelanja. Namun, pengaliran wang melancong ke negara jiran yang dikatakan kosnya lebih rendah dan murah itu perlu kita teliti supaya ia tidak menjadi satu trend yang lama kelamaan boleh melemahkan sektor pelancongan negara,” katanya.

Beliau juga menyedari kesan pengukuhan ringgit terhadap pekerja Malaysia yang bekerja di negara jiran terutama Singapura, namun menyifatkan turun naik nilai mata wang adalah perkara biasa.

Selain itu, pasaran emas antara yang menjadi perhatian ramai tidak kiralah ketika ringgit menyusut, mahupun mengukuh.

Kakitangan Kedai Emas Nur Jannah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, yang hanya mahu dikenali sebagai Bee, berkata dalam pasaran emas tempatan, harga emas harian bergantung kepada pengukuhan mata wang USD.

Justeru katanya sekarang adalah masa terbaik untuk orang ramai membeli emas atau membuat pelaburan emas.

“Jika ikut graf harian, sekarang ini ringgit tidak begitu mengukuh seperti sebelum ini. Mengapa ia terjadi begitu? Saya beri contoh pada 25 September 2024, 1USD bersamaan RM4.11. Jadi pada 25 September 2024, kita perlu bayar RM345 untuk 1kg emas.

“Berbeza dengan hari ini (10 Oktober), 1USD bersamaan RM4.29. Jadi kita perlu bayar RM362 untuk membeli 1kg emas. Oleh itu, walaupun harga emas dunia meningkat pada 25 September, Malaysia masih dapat membeli emas pada harga murah kerana ketika itu ringgit mengukuh berbanding USD.

“Tetapi sekarang USD sudah kembali menguat, jadi nilai ringgit sudah berkurang. Pun begitu, sekarang tetap masa terbaik untuk orang ramai membeli atau membuat pelaburan emas kerana ekonomi Malaysia sedang stabil berbanding 2023” katanya ketika ditemui BM.

Bagi Encik Muhammad Aiman Aliff Shahrom, 28 tahun, yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Singapura, pengukuhan nilai ringgit memberi kesan kepada jumlah pendapatan bulanan diterimanya, dengan paling ketara dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini.

“Selepas dolar Singapura ditukarkan kepada ringgit, jumlahnya semakin kurang. Tetapi kesan positif lain yang dirasai ialah pembelian gajet seperti kamera dan cakera keras (hard disk) semakin murah kerana turun harga.

“Sebagai penjana kandungan sambilan yang aktif dalam bidang pelancongan dan gaya hidup, gajet seperti itu memang keperluan penting bagi saya. Jadi, ketika ringgit menguat, harganya lebih murah untuk dibeli,” katanya yang tinggal di Johor Bahru, kepada BM.

Namun bagi Encik Muhammad Aiman Aliff, beliau bersyukur direzekikan bekerja di Singapura yang membolehkannya menerima kadar gaji lebih selesa, sekali gus membuka peluang untuknya menabung lebih tinggi untuk masa depan.

“Itu adalah risiko bekerja di negara luar seperti Singapura yang bergantung pada naik turun nilai mata wang. Namun, keseluruhannya ia tetap menguntungkan. Cuma kita perlu bijak mengatur kewangan,” kata bapa seorang anak itu yang sedang giat mengumpul aset.

Pesara Kementerian Pertahanan, Cik Maimun Mahmud, 57 tahun, yang gemar melancong dan telah melawat lebih 30 negara, berkata kemerosotan ringgit sebelum ini memang amat dirasai, namun kini ringgit semakin mengukuh dan beliau akan melancong ke Hatyai, Thailand, minggu depan.

“Hari ini (10 Oktober), kadar tukaran ringgit dan Thailand baht ialah RM129.20 untuk 100 baht. Saya masih ingat sekitar 10 tahun lalu, warga Thailand berebut mahu beli ringgit kerana nilainya yang tinggi. Tetapi sejak ekonomi negara kita tidak stabil terutama sejak 2020, Thailand dan Indonesia telah jauh mengatasi kita.

“Itulah pentingnya kestabilan politik sesebuah negara. Jika huru hara, pelabur pun takut hendak datang dan selamanyalah ekonomi dan nilai mata wang kita meleset,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg