Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua G7 positif ketidaktentuan ekon dunia semakin reda, janji bekerjasama capai kestabilan

May 23, 2025 | 8:21 PM
kumpulan negara G7, ekonomi, sejagat
(Dua dari kiri) Gabenor Bank of Canada, Encik Tiff Macklem; Gabenor Bank Jepun, Encik Kazuo Ueda; Menteri Kewangan Jepun, Encik Katsunobu Kato; dan Menteri Kewangan Canada, Encik Francois-Philippe Champagne, bersama dua pegawai Polis Diraja Canada (RCMP), semasa mesyuarat menteri kewangan dan gabenor bank pusat Kumpulan Negara (G7) di Banff, Canada, pada 21 Mei. - Foto REUTERS

BANFF (Canada): Menteri kewangan ekonomi Kumpulan Negara (G7) mengakhiri rundingan di wilayah barat Canada pada 22 Mei dengan menzahirkan perpaduan, sambil menyatakan bahawa dasar ekonomi tidak menentu yang melanda dunia kini semakin reda.

Para pemimpin tersebut turut berikrar untuk berusaha mencapai kemajuan seterusnya dan kestabilan.

Tarif meluas yang diperkenalkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah mencetuskan pergolakan ekonomi sejagat dan mesyuarat minggu ini dilihat sebagai satu ujian sama ada ekonomi maju G7 itu dapat mengatasi ketegangan ekonomi, sejak Encik Trump kembali memegang jawatan.

Para pemimpin dalam rundingan tersebut, termasuk gabenor bank pusat, mengakui bahawa perbincangan tersebut menghadapi cabaran, termasuk perbezaan pandangan yang berterusan mengenai isu tarif.

Namun, dalam kenyataan akhir G7 yang terdiri daripada tujuh ekonomi maju dunia iaitu Britain, Canada, Perancis, Jerman, Italy, Jepun dan Amerika, menyatakan:

“Kami mengakui bahawa ketidakpastian dasar ekonomi kini semakin berkurangan daripada kemuncaknya dan kami akan terus bekerjasama untuk mencapai kemajuan seterusnya.”

Hos mesyuarat tersebut, Menteri Kewangan Canada, Encik Francois-Philippe Champagne, menyifatkan rundingan tersebut sebagai “membina dan produktif”, sambil menyatakan bahawa terdapat keperluan “untuk mengurangkan ketidakpastian bagi meningkatkan pertumbuhan”.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, yang menghadiri rundingan itu di Taman Negara Banff, menerima tentangan berterusan terhadap dasar tarif Encik Trump, yang dikhuatiri ramai akan menjejas pertumbuhan ekonomi sejagat.

“Jelas sekali, tarif bermain di fikiran kita semua,” kata Gabenor Bank of Canada, Encik Tiff Macklem, kepada para wartawan dalam sidang media penutup.

“Kenyataan bersama ini menekankan bahawa kami gembira melihat keadaan tidak menentu yang semakin berkurangan, namun jelas masih banyak yang perlu dilakukan,” tambahnya.

Encik Bessent pula berkata: “Saya tidak fikir terdapat perbezaan pandangan yang besar. Saya rasa mesyuarat ini berjalan dengan baik.”

Menteri Kewangan Jerman, Encik Lars Klingbeil, memberitahu wartawan bahawa adalah penting untuk “menyelesaikan pertikaian perdagangan semasa secepat mungkin,” kerana tarif telah meletakkan “satu beban yang berat kepada ekonomi sedunia”.

Menteri Kewangan Perancis, Encik Eric Lombard pula berkata: “Suasana di sini mesra. Kami bercakap sebagai rakan dan sekutu.

“Kami tidak sepakat dalam semua perkara, namun kami berbincang tentang setiap isu,” katanya. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg