Pengasas dana lindung nilai terbesar di dunia, Encik Ray Dalio, dan ketua pegawai eksekutif (CEO) dana pelaburan milik negara GIC, Encik Lim Chow Kiat, semakin berhati-hati mengenai prospek tahun hadapan disebabkan risiko politik dan prospek pertumbuhan tidak menentu di seluruh dunia.
Kededua mereka, bagaimanapun, berkata pada 18 September bahawa mereka kekal komited untuk melabur di China, walaupun menghadapi cabaran, seperti masalah hutang yang meningkat dan ketegangan geopolitik.
Encik Dalio, yang mengasaskan Bridgewater Associates, berkata isu geopolitik, dan kos perubahan iklim serta implikasinya terhadap pasaran kewangan adalah antara faktor yang boleh mewujudkan risiko negatif kepada pelabur di seluruh dunia pada 2025.
“Kejutannya lebih kepada kemerosotan dan bukannya pertumbuhan,” kata Encik Dalio pada Sidang Puncak Asia Institut Milken 2024 di Singapura.
Menurut Encik Dalio, walaupun Amerika Syarikat mempunyai banyak perkara positif, masih terdapat risiko berhubung peralihan kuasa yang teratur di negara itu.
Encik Lim berkata dana pelaburan milik negara Singapura perlu lebih bijak dalam memilih dan mencari peluang pelaburan daripada membuat peruntukan pelaburan besar bagi sesebuah pasaran.
“Ia (pasaran) sudah pun mengambil kira pertumbuhan ketara daripada sektor teknologi, jadi setakat itu, kami akan lebih berhati-hati,” ujar Encik Lim, merujuk kepada Amerika, negara yang membentuk pelaburan terbesar GIC, iaitu 39 peratus daripada portfolionya.
Amerika akan kekal sebagai pasaran utama bagi GIC tanpa mengira keputusan Pilihan Raya Presiden Amerika akan datang, kata Encik Lim, sambil menambah bahawa negara itu mempunyai sektor swasta besar dengan “banyak aset baik untuk kami melabur”.
GIC akan terus melabur di China, walaupun aliran urus niaganya kini “sangat perlahan” dan pasaran negara itu mempunyai jangkaan rendah bagi pertumbuhan negara, tambahnya.
“Ini mungkin mengambil sedikit masa untuk menjadi lebih baik, tetapi pastinya sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia dengan ramai usahawan hebat, ia adalah satu tempat yang tidak boleh dilepaskan,” ujar beliau. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg