Nets telah melantik Encik Lawrence Goh, Ketua Teknologi dan Operasi Kumpulan (GTO) UOB, sebagai sebahagian daripada ahli lembaga pengarah mereka, bermula 23 Disember 2024.
Encik Goh menggantikan Encik Eddie Khoo, Penasihat Kanan UOB Vietnam, sebagai wakil UOB dalam lembaga pengarah Nets.
Encik Khoo juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi Kumpulan di bank tersebut.
Dalam satu kenyataan pada 26 Disember, Nets menyifatkan Encik Goh sebagai seorang pemimpin teknologi berpengalaman luas – dengan pengalaman lebih 30 tahun pada peringkat antarabangsa dalam memimpin transformasi berskala besar buat perniagaan.
Syarikat pembayaran elektronik itu menyatakan Encik Goh telah memainkan “peranan penting dalam mengetuai dan mempengaruhi transformasi teknologi digital bank” semasa perkhidmatannya sebelum ini sebagai Ketua Perkhidmatan Platform Infrastruktur Kumpulan UOB, serta Ketua Pegawai Operasi (COO) untuk GTO.
Nets turut menonjolkan sumbangan penting Encik Goh dalam mempertingkatkan dan memacu perkhidmatan yang mengutamakan pelanggan, baik di dalam mahupun luar UOB.
Encik Goh kini mengetuai pasukan yang terdiri daripada lebih 7,000 kakitangan UOB di seluruh rantau ini, lapor The Business Times (BT).
Selain itu, beliau berkhidmat sebagai pengerusi bersama Kumpulan Kerja Teknologi dan Operasi (Jawatankuasa Panduan Tadbir Urus Rentas Sempadan), Penguasa Kewangan Singapura-Persatuan Bank Singapura (MAS-ABS).
Beliau merupakan ahli Jawatankuasa Tetap Digitalisasi ABS dan juga pengarah gantian UOB untuk Singapore Clearing House Association (SCHA).
Pengerusi Nets, Encik Jeremy Soo, menekankan kepentingan sistem pembayaran kukuh dalam memastikan transaksi pengguna yang selamat dan lancar.
Beliau turut menonjolkan “pengalaman luas Encik Goh dalam memacu transformasi teknologi dan memperkasa inovasi” di tengah-tengah kemajuan pantas penggunaan khidmat digital dalam kalangan orang ramai.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Encik Lawrence dan memanfaatkan pengalamannya untuk mengukuhkan kedudukan Nets sebagai penyedia utama perkhidmatan pembayaran digital di Singapura,” tambah Encik Soo.
“
Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Encik Lawrence dan memanfaatkan pengalamannya untuk mengukuhkan kedudukan Nets sebagai penyedia utama perkhidmatan pembayaran digital di Singapura.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg