Syarikat UOB dan OCBC akan memberi bayaran sekali kepada pekerja berpangkat rendah bagi membantu mereka menangani kos perbelanjaan harian.
OCBC telah mengumumkan pada 23 Disember bahawa sekitar 4,000 pekerja berpangkat rendah bagi seluruh OCBC Group di sini akan menerima bayaran $1,000 setiap seorang.
Sementara itu, sekitar 6,000 pekerja berpangkat rendah yang layak boleh menjangkakan bonus sebulan tambahan, yang akan diberikan menjelang April 2025, kata UOB.
Dalam satu kenyataan pada 23 Disember, UOB berkata langkah ini dijangka menelan kos sehingga $8 juta secara keseluruhan.
Ini adalah kali kedua UOB memberikan bonus tambahan sebulan, susulan pengumuman pada Februari di mana kakitangan berpangkat rendah akan menerima bonus tambahan sebulan, lapor The Straits Times (ST).
Ketua kumpulan sumber manusia di UOB, Encik Dean Tong, berkata mereka “sedar bahawa walaupun kadar inflasi kini semakin stabil, kos sara hidup kekal tinggi”.
“UOB akan sentiasa menyemak dan memperbaiki struktur gaji kami untuk memastikan ia adil dan berdaya saing.
“Ini dilengkapi dengan rangkaian faedah holistik yang mampan untuk jangka panjang, termasuk sokongan perubatan yang dipertingkat, program latihan dan pinjaman perumahan untuk kakitangan,” kata Encik Tong.
Kakitangan berpangkat rendah di UOB, yang membentuk sekitar 40 peratus daripada tenaga kerja kumpulan itu di Singapura, dijangka menerima pembayaran antara Februari dengan April 2025.
Mereka termasuk pekerja yang baru menyertai tenaga kerja dan kakitangan yang merupakan sebahagian daripada Kesatuan Perkhidmatan Kewangan dan Perbankan dan Kesatuan Pekerja Bank Singapura (SBEU) di bawah NTUC.
Sementara itu, ketua kumpulan sumber manusia kumpulan di OCBC, Cik Lee Hwee Boon, berkata: “Walaupun inflasi dijangka sederhana pada 2025, kami mengakui bahawa kebimbangan kos sara hidup berterusan.
“Kesejahteraan warga kami kekal menjadi keutamaan, jadi kami berharap bayaran sekali ini akan mengurangkan kebimbangan mengenai kos sara hidup tinggi yang dihadapi rakan sekerja kami.”
OCBC, dalam kenyataan pada 23 Disember, berkata: “Tahap harga juga kekal tinggi akibat peningkatan inflasi sebelum ini.”
Langkah terbaru itu merupakan sebahagian daripada langkah yang menelan belanja sekitar $7.5 juta untuk membantu hampir 11,000 pekerja di seluruh OCBC dan anak syarikatnya bagi menghadapi tekanan kos sara hidup.
Bagi pekerja yang berpangkalan di luar Singapura, sokongan sekali sahaja itu mengambil kira keadaan pasaran tempatan.
Menurut kenyataan itu, ia merupakan pembayaran sekali kedua yang diberikan oleh bank tersebut kepada pekerja muda setakat ini.
Pada Februari, OCBC mengumumkan bahawa sebanyak 4,600 pekerja berpangkat rendah di OCBC Group di Singapura bakal menerima pembayaran $1,000, dalam usaha membantu mereka menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Pada bulan yang sama, UOB mengumumkan pemberian bayaran sekali sahaja – dalam bentuk bonus sebulan tambahan – kepada sekitar 6,000 pekerja, manakala DBS turut memberikan bonus $1,000 kepada lebih 5,500 kakitangan di Singapura.
Majlis Gaji Kebangsaan (NWC), pada Oktober 2023, menyeru syarikat untuk membantu pekerja menghadapi tekanan kos sara hidup, selain sokongan daripada pemerintah.
OCBC mencatatkan prestasi kukuh pada suku ketiga, dengan keuntungan bersih meningkat sebanyak 9 peratus kepada $1.97 bilion berbanding 2023, didorong oleh pertumbuhan pendapatan bukan faedah yang kukuh dan elaun yang lebih rendah.
Harga saham OCBC juga meningkat sebanyak 28 peratus sejak 1 Januari.
Bank itu melaporkan bahawa peningkatan aktiviti pengurusan kekayaan telah menyumbang kepada kenaikan pendapatan yuran dan perdagangan, sementara pendapatan insurans juga meningkat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg