SAN FRANCISCO: Khidmat web awan Amazon.com kembali beroperasi pada petang 20 Oktober setelah satu gangguan Internet besar yang menjejas ribuan laman web di seluruh dunia, termasuk aplikasi popular seperti Snapchat dan Reddit.
Namun, Amazon berkata sebahagian perkhidmatannya bagi Amazon Web Services (AWS) masih mengalami tunggakan mesej yang dijangka selesai dalam beberapa jam.
AWS mengehoskan aplikasi dan proses komputer untuk syarikat di seluruh dunia, dan gangguan itu telah menyebabkan ramai pekerja dari London hingga Tokyo terputus sambungan serta menjejas urusan harian seperti pembayaran tanpa tunai dan penukaran tiket penerbangan.
Pengguna turut melaporkan kesukaran menggunakan khidmat seperti dompet elektronik Venmo dan laman panggilan video Zoom.
Gangguan tersebut merupakan yang terbesar sejak kerosakan CrowdStrike pada 2024 yang melumpuhkan sistem di hospital, bank dan lapangan terbang.
Ini sekurang-kurangnya kali ketiga dalam tempoh lima tahun pusat data AWS di Virginia utara, US-EAST-1, menjadi punca gangguan besar.
Amazon tidak menjelaskan sebab mengapa pusat tersebut kerap terjejas.
Punca gangguan dikenal pasti pada sistem nama domain (DNS) yang menjejas pangkalan data DynamoDB API AWS, serta subsistem pemantauan EC2 yang mengurus trafik pelayan, lapor.
Profesor Sains Komputer Universiti Cornell, Profesor Ken Birman, berkata, jurutera perisian perlu membina sistem yang lebih tahan gangguan.
Menurutnya, AWS menyediakan pelbagai alat keselamatan dan sandaran, namun ada syarikat yang cuba memotong kos dengan mengabaikan perlindungan asas.
AWS ialah penyedia perkhidmatan awan terbesar dunia, diikuti oleh Azure milik Microsoft dan Google Cloud milik Alphabet.
Gangguan terhadap pelayannya boleh menjejas pelbagai sektor daripada penghantaran makanan hingga kepada permainan video dan sistem penerbangan.
Syarikat analisis Ookla, pemilik Downdetector, melaporkan lebih empat juta pengguna di seluruh dunia terjejas, termasuk pelanggan Coinbase, Robinhood, Lyft, Signal serta perkhidmatan Amazon sendiri seperti Prime Video dan Alexa.
Pakar Keselamatan Siber daripada firma ESET, Encik Jake Moore, berkata kejadian itu sekali lagi mendedahkan kerentanan prasarana digital sejagat yang terlalu bergantung kepada beberapa penyedia awan utama.
Encik Ryan Griffin daripada firma insurans McGill and Partners berkata setiap jam, gangguan awan boleh membawa kerugian berjuta dolar kepada syarikat besar dari segi produktiviti dan hasil pendapatan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg