Kecewa dengan kekurangan pilihan kasut untuk golongan yang mempunyai kaki lebar, Cik Noraziirin Razali, mengorak langkah membuka perniagaan kasut sendiri.
Bermula pada 2023 dengan modal $3,000, beliau menamakan perniagaannya, Divine Label, dan ia menumpukan perhatian kepada kasut untuk wanita berkaki lebar.
Cik Noraziirin, 24 tahun, memberitahu Berita Harian (BH) bahawa sebelum Divine Label, beliau sukar mencari kasut selesa serta bergaya untuk dirinya sendiri.
“Oleh kerana kaki saya lebar, sering kali saya harus mengambil saiz lebih besar tetapi itu bukan saiz yang sesuai.
“Ramai wanita lain dengan masalah sama seperti saya juga terpaksa memilih saiz yang tidak sempurna untuk muat,” ujar Cik Noraziirin, yang sebelum ini bekerja sebagai eksekutif pemasaran di syarikat abangnya dalam bidang perabot.
Pada Jun 2024, Cik Noraziirin memutuskan untuk mengambil langkah seterusnya dengan bekerjasama dengan rakan kongsi perniagaan, Encik Mohamad Azlan Subtu, 25 tahun, bagi mengembangkan, Divine Label.
Dengan sokongan Encik Azlan, mereka berjaya mengembangkan perniagaan itu dan memperkenalkan koleksi kasut yang sesuai bagi wanita dengan saiz kaki besar tanpa mengorbankan gaya dan keselesaan.
Dengan memberi tumpuan pada rekaan moden dan praktikal, Divine Label, mula menawarkan kasut dengan pelbagai pilihan saiz daripada 36 hingga 45 – sesuatu yang amat jarang ada dalam industri kasut wanita.
“Kedai kasut popular di Singapura bagi wanita sering kali menawarkan saiz hingga 41 atau 42, dengan pilihan reka bentuk yang terhad.
“Justeru itu, ia satu lowongan dalam industri yang kami rasa kami boleh bantu penuhi,” ujar Cik Noraziirin, yang memahami betapa pentingnya untuk wanita berasa selesa dengan kasut yang dipakai, dan beliau bertekad memenuhi keperluan itu.
Menurut Encik Azlan, apabila mereka melancarkan koleksi kasut bersaiz besar itu, ia laris dijual, malah di luar jangkaan mereka.
“Kami tidak sangka saiz-saiz besar kami habis dahulu sebelum saiz-saiz yang biasa.
“Ini bermakna ada permintaan besar untuk pasaran kasut wanita bersaiz besar,” ulas Encik Azlan, yang sebelum ini bekerja sebagai pereka hiasan dalaman.
Berita baik mengenai jenama Divine Label tersebar melalui mulut ke mulut dan media sosial.
Ramai pelanggan setia mengongsi pengalaman mereka tentang kasut yang selesa dan bergaya daripada jenama itu.
“Pelanggan kami terdiri daripada wanita yang sudah bertahun-tahun terpaksa menyarung kasut yang tidak sesuai atau memilih saiz yang tidak menepati cita rasa mereka.
“Kami mahu mengembangkan rangkaian kami dan membuat kasut bergaya dan sesuai dan lebih mudah diakses oleh lebih ramai wanita.
“Kasut kami berharga antara $50 dengan $68,” tambah Cik Noraziirin.
Kasut-kasut itu adalah rekaan syarikat tersebut sebelum ia dihantar ke luar negara seperti ke Malaysia dan Indonesia untuk dihasilkan.
Ternyata ia berjaya memenuhi keperluan pelanggan.
Salah seorang pelanggan Cik Noraziirin malah meluahkan bahawa kasut, Divine Label, memberi beliau peluang buat julung-julung kalinya untuk membeli kasut bersaiz besar khusus untuk wanita.
Cik Noraziirin cuba memperkenalkan koleksi baru setiap empat bulan.
Setiap koleksi akan menampilkan satu gaya kasut baru sahaja, dengan beraneka warna.
“Setiap kasut mengambil masa empat bulan sebelum dikeluarkan dan dijual.
“Saya akan cuba menggunakan kasut itu dahulu, sebagai proses penyelidikan dan pengembangan (R&D) sebelum saya yakin menjualnya kepada pelanggan,” ujar Cik Noraziirin, yang telah berjalan 15,000 langkah untuk salah satu pasang kasutnya bagi memastikan ia selesa dipakai.
Antara ciri unik kasut Divine Label adalah aksesori yang boleh ditambah untuk mencantikkan lagi kasut itu.
Cik Noraziirin telah mereka aksesori seperti bunga dan kupu-kupu yang boleh dilampirkan pada kasutnya.
“Tujuan saya adalah agar pelanggan ada lebih pilihan untuk menggayakan kasut mereka.
“Jika ada sambutan khas atau meriah, mereka boleh tambahkan bunga. Jika ia adalah untuk acara formal atau ke kerja, kasutnya boleh dipakai secara kasut biasa,” jelas Cik Noraziirin.
Bagi pelanggan yang ingin mencuba kasut Divine Label, mereka boleh membuat janji temu untuk ke studio mereka di Toa Payoh.
“Dengan sambutan yang begitu positif, kami berharap dapat terus berkembang dan membawa lebih banyak pilihan kasut yang sesuai untuk wanita di luar sana,” kata Encik Azlan.
Walaupun perjalanan perniagaan itu penuh cabaran, termasuk meninggalkan pekerjaan tetap untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada Divine Label, keputusan tersebut ternyata berbaloi.
Cik Noraziirin mengendalikan bahagian reka bentuk dan pemasaran, manakala Encik Azlan bertanggungjawab untuk logistik dan operasi harian.
Melangkah ke hadapan, Divine Label mempunyai rancangan meneroka menjual kasut bagi lelaki juga.
Selain kasut wanita, jenama itu telah melancarkan saiz kasut kanak-kanak perempuan sempena Hari Raya. Antara lain, Divine Label turut menawarkan kasut pengantin khas.
“Kami juga merancang menyertai acara jualan di Kuala Lumpur, Malaysia September ini (2025) untuk mengembangkan lagi jenama kami,” ujar Encik Azlan.
Memberi nasihat mengenai usaha memulakan perniagaan sendiri, Cik Noraziirin berkata:
“Untuk mulakan perniagaan memang mudah, tetapi untuk kekal bertahan, anda perlu siapkan diri dari segi mental bahawa anda perlu melakukan banyak pengorbanan.
“Kami belum lagi mengambil gaji, dan oleh kerana itu, kami harus mengorbankan kemewahan seperti melancong atau membeli-belah... inilah antara pengorbanan yang anda harus sedia hadapi.”
“
Kedai kasut popular di Singapura bagi wanita sering kali menawarkan saiz hingga 41 atau 42, dengan pilihan reka bentuk yang terhad. Justeru itu, ia satu lowongan dalam industri yang kami rasa kami boleh bantu penuhi... Pelanggan kami terdiri daripada wanita yang sudah bertahun-tahun terpaksa menyarung kasut yang tidak sesuai atau memilih saiz yang tidak menepati cita rasa mereka.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg