Bidang kewangan pada masa kini merupakan salah satu daripada wadah paling berkuasa dalam membangkitkan mobiliti ekonomi.
Ia bahkan merupakan sektor teknologi tinggi lagi berpotensi atau ‘sunrise sector’, yang meliputi cabang dengan pertumbuhan besar seperti teknologi kewangan (fintech), pelaburan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), modal teroka, dan aset digital.
Lantaran itu, dengan pengetahuan yang betul, masyarakat Melayu/Islam boleh mempertingkatkan diri dan menyertai bidang kewangan, tetapi terlebih dahulu, perlu mencabar idea bahawa bidang kewangan hanya untuk golongan elit dan mengiktiraf betapa meluasnya industri kewangan, meliputi kerjaya penganalisis, pelakar strategi, pengawal atur, pakar teknologi mahupun pengasas syarikat.
Demikian pengamatan Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid, pada sesi sembang santai, Kopi With Finance, di Hab Rangkaian Guoco Midtown, pada 31 Mei.
Sesi dengan judul ‘Membuka Peluang dalam Kewangan: Laluan kepada Pertumbuhan, Inovasi & Impak’ itu meneroka sektor paling pesat berkembang dalam bidang kewangan, kemahiran yang diperlukan untuk maju, dan bagaimana karyawan boleh menempatkan diri mereka secara strategik untuk berjaya dalam kerjaya yang dinamis ini.
Ia juga membuka peluang untuk karyawan Muslim muda dan mereka yang ingin bertukar kerjaya memahami sektor kewangan dan landskapnya yang berubah.
Ahli panel yang diundang bagi sembang santai ini adalah Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif, Datuk Maimoonah Hussain; Pemilik Bersama Syarikat Modal Teroka, Investible, Encik Khairu Rejal; Naib Presiden Pengelolaan Aset, ESG dan Perbankan Islam, Maybank, Encik Nuzaihan Hamdan; dan Naib Presiden Eksekutif, Ketua Pakar Strategi Foreks dan Ketua Penyelidikan Foreks, Pasaran Global Maybank, Encik Saktiandi Supaat.
Dalam ucapan pembuka tirainya, Encik Mohksin turut mengemukakan dapatan kajian yang masih lagi dikendalikan dan dibentangkan Saintis Penyelidikan Pendidikan Kanan di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Dr Melvin Chan, dalam Sidang Tinjauan Masyarakat (CIR) 2025, anjuran AMP Singapura dan sayap penyelidikannya, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima), di Persatuan Universiti Nasional Singapura (NUSS) Kent Ridge Guild House, pada 24 Mei lalu.
Beliau menukil hasil kajian yang menunjukkan bidang kewangan tidak tersenarai dalam ‘20 Pilihan Kerjaya Utama’ belia Melayu yang ditinjau. Ini berbanding dengan dapatan sektor ini menjadi pilihan ke-11 belia bukan Melayu.
Data ini diperolehi daripada lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), GCE Peringkat ‘A’, dan politeknik, yang bakal memasuki tenaga kerja.
Seorang peserta sesi sembang ini, Cik Hidayah Mohd, 26 tahun, seorang penganalisis, berkata kebanyakan peluang kerjaya dalam analitik data kebanyakannya berada dalam sektor kewangan atau jagaan kesihatan.
“Saya berminat dalam sektor kewangan tetapi saya juga ingin dengar daripada barisan panel beragama Islam tentang bagaimana mereka mengemudi kerjaya dalam sektor ini, khususnya apabila wujud keprihatinan mengenai riba.
“Melalui sesi ini, saya dapat tahu wujud banyak cabang dalam bidang kewangan yang boleh kita terokai tanpa terlibat dengan riba. Saya kini lebih jelas tentang pilihan yang terbentang untuk saya, jika ingin teroka bidang kewangan keislaman,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg