Di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global, golongan belia tidak bersendirian dalam merintis laluan kerjaya yang mencabar, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Malah, beliau berkata pemerintah sentiasa peka terhadap kebimbangan belia dan akan terus menyokong mereka dengan pelbagai inisiatif dan peluang pembangunan diri.
Dalam ucapannya selaku tetamu terhormat semasa persidangan Tinjauan Masyarakat (CIR) 2025 anjuran AMP Singapura dan sayap penyelidikannya, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima), di Persatuan Universiti Nasional Singapura (NUSS) Kent Ridge Guild House pada 24 Mei, Dr Tan berkata kepada hadirin:
“Kita sedang memasuki dunia yang pesat berubah, tidak menentu dan sentiasa berkembang. Namun, dalam ketidaktentuan ini, Singapura kekal sebagai satu platform yang stabil.
“Saya ingin beri jaminan bahawa pemerintah sentiasa peka dan berhati-hati dalam memastikan ekonomi dan masa depan kita terus berkembang maju. Kami akan berjalan seiring bersama anda di setiap langkah.”
Dr Tan, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga dan Sains serta Teknologi, turut merujuk kepada penubuhan Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) dan sokongan perikatan tiga pihak untuk menyediakan peluang latihan industri dan penempatan.
CIR 2025 yang bertemakan ‘GPS Kerjaya: Belia dalam Pasaran Kerja yang Tidak Menentu’, dihadiri sekitar 130 individu yang terdiri daripada belia, pelajar, pemimpin masyarakat dan pengamal sumber manusia (HR).
Persidangan itu meneliti cabaran utama yang dihadapi belia dalam menyesuaikan diri dengan dunia kerja moden.
Dalam ucapannya, Dr Tan memaklumkan bahawa kadar pengangguran bagi penduduk berusia bawah 30 tahun di Singapura kekal rendah, iaitu 4.7 peratus pada akhir 2024.
Namun, beliau mengakui di peringkat individu, proses peralihan dari sekolah ke dunia pekerjaan boleh menjadi agak menakutkan.
“Tidak kira di peringkat apa anda menamatkan pengajian, sama ada politeknik, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) atau universiti, laluan kerjaya anda bukanlah satu perjalanan yang lurus.
“Apabila anda langkah masuk ke dunia pekerjaan, anda akan terdedah kepada pelbagai penyelia, rangkaian, pembekal, malah rakan sekerja sendiri.
“Apabila hubungan ini berkembang, ia akan terbuka dalam cara yang tidak anda jangkakan.
“Anda akan berdepan dengan pelbagai cabaran yang datang dari segenap arah… dan selalunya ketika anda tidak menjangkakannya.
“Itulah hakikat kehidupan, dan itulah juga yang telah kita alami selama 60 tahun lalu,” ujarnya.
Dr Tan menggalakkan belia untuk memanfaatkan program Bekerja dan Belajar SkillsFuture, yang membolehkan mereka memperoleh diploma atau ijazah sambil menimba pengalaman kerja.
Selain itu, beliau berkata portal kerja MyCareersFuture dan bimbingan kerjaya daripada institusi pendidikan, Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), serta Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), dapat membantu belia mengenal pasti kekuatan diri dan membina laluan kerjaya yang lebih yakin.
Dalam sesi dialog yang berlangsung sekitar sejam, Dr Tan membincangkan kesan potensi kecerdasan buatan (AI) terhadap pekerjaan di Singapura.
Beliau berkata pemerintah komited untuk memastikan bahawa teknologi itu akan menjadi satu kuasa bagi kebaikan di Singapura, dengan memastikan bahawa pengesahan, kepercayaan, rangka tadbir urus dan infrastruktur dibangunkan.
“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), SkillsFuture, Kementerian Pendidikan (MOE), serta agensi ekonomi untuk memastikan adanya satu wadah dan rangka kerja yang kukuh bagi membolehkan rakyat menyertai perkembangan ini, mempelajarinya, menerimanya dan menggunakannya dengan berkesan,” jamin Dr Tan.
“
“Saya ingin beri jaminan bahawa pemerintah sentiasa peka dan berhati-hati dalam memastikan ekonomi dan masa depan kita terus berkembang maju. Kami akan berjalan seiring bersama anda di setiap langkah.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg