Kos semakin meningkat yang berkaitan dengan tenaga kerja dan sewa dianggap sebagai cabaran utama bagi perniagaan sedang dunia melangkah ke tahun baru 2025, menurut peniaga Melayu/Islam.
Beberapa peniaga yang dihubungi Berita Harian (BH) berkongsi bahawa mereka menjangkakan kos operasi meningkat, ditambah dengan faktor lain seperti inflasi dan ketidakstabilan geopolitik, terus menjejas perniagaan.
Dengan itu, ramai peniaga memikirkan semula strategi untuk menghadapi cabaran yang boleh menghambat pertumbuhan perniagaan, termasuk melakukan inovasi dan meneroka serta menembusi pasaran luar negara.
Pengarah urusan Pondok Abang, Encik Hasan Abdul Rahman, berkata faktor inflasi, ketidakstabilan geopolitik dan peralihan kepimpinan di Amerika Syarikat, terus menjadi keprihatinan utama bagi perniagaannya.
“Kami menjangkakan prospek perniagaan yang mencabar disebabkan peningkatan nilai dolar Amerika dan ketidakstabilan geopolitik.
“Bahan daging dan ayam kami diimport dan didagangkan dalam dolar Amerika. Ketidakstabilan geopolitik telah menyebabkan kos logistik meningkat juga,” katanya.
Inflasi turut membuat pelanggan lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka, yang menjejas perniagaan tempatan, tambahnya.
Dalam usaha mengembangkan perniagaannya, Encik Hasan berkata di peringkat tempatan, Pondok Abang antara lain berharap dapat menarik lebih ramai pelanggan dalam segmen hotel, restoran dan kafe.
Syarikat pengeluar makanan beku halal itu juga merancang memasuki pasaran Brunei dan Malaysia.
Pada Disember, BH melaporkan bahawa Pondok Abang bakal membekal produk makanan sejuk beku popular mereka dan siap dimakan seperti paru lembu berempah dan rebus, rendang daging lembu, kambing dan ayam ke Brunei dan kawasan Borneo.
Bagi Cik Fadilah Abdul Majid, yang memiliki SpaJelita dan kafe Hamidah’s Kitchen, kos operasi yang semakin meningkat merupakan antara cabaran terbesar perniagaannya.
Tenaga kerja juga satu isu, dengan kedua-dua spa dan kafe beliau bergantung pada pekerja asing, terutamanya dari Malaysia.
Namun, sekatan kuota ke atas tenaga manusia menghambat pertumbuhan perniagaan, kongsinya.
“Kami menggesa pemerintah agar membuka kategori permit kerja kepada pekerja Indonesia dan juga Asean, dan bukan mengehadkan mereka kepada Pas S bagi peranan bukan pengurusan.
“Ini boleh membantu menangani isu kekurangan pekerja dalam industri seperti makanan dan minuman (F&B) dan spa, yang biasanya bukan pilihan kerjaya teratas orang tempatan,” katanya.
Namun begitu, Cik Fadilah “optimis secara berhati-hati” tentang prospek perniagaan bagi 2025.
“Keyakinan ini didorong permintaan yang meningkat bagi pengalaman dan penjagaan diri peribadi, yang terus berkembang. Rawatan spa semakin popular.
“Bagi kafe, trend makan di luar dijangka kekal stabil, menawarkan peluang bagi pertumbuhan,” kata beliau yang juga sedang meneroka pasaran Malaysia.
Pemilik niaga pakaian jenama Adrianna Yariqa, Cik Nurlida Yusof, pula meramalkan penjualan lebih rendah pada 2025 dek kadar pertukaran mata wang yang menggalakkan di negara jiran dan juga harga kompetitif yang ditawarkan pada platform seperti TikTok.
Rancangan perniagaannya adalah untuk membina pangkalan lebih kukuh di Malaysia, terutamanya Kuala Lumpur, dan seterusnya berkembang ke bahagian utara negara itu dan juga bahagian selatan Thailand.
Pemilik Asyura Paste, Cik Norhuda Rabani, berkata inflasi, kos bahan mentah dan kos logistik serta pengangkutan yang semakin meningkat sepanjang 12 bulan lalu telah menjejas banyak perniagaan.
Justeru, perniagaan perlu berinovasi untuk menawarkan produk lebih bermutu dan pelbagai supaya pelanggan boleh menantikan sesuatu yang baru – satu usaha yang dilakukan Asyura melalui pengembangan dan pembangunan (R&D) produk baru seperti pucuk ubi lemak kampung dan makanan sedia dimakan, seperti rendang daging.
Cik Norhuda berkata satu-satunya cara bagi perniagaannya meningkatkan pendapatan adalah melalui pengeksportan ke negara lebih besar, namun terdapat cabaran dan pematuhan yang perlu dipenuhi.
“Ini seperti kos dalam peninjauan dan memahami pasaran luar negara.
“Meskipun terdapat bantuan seperti Geran Bantuan Kesediaan Pasaran (MRA), cabaran masih wujud terutamanya mengenai kecekapan eksport,” katanya.
Dengan cabaran yang dihadapi, Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Abu Bakar Mohd Nor, berkata perniagaan telah melahirkan keinginan bagi lebih banyak inisiatif sokongan dalam Belanjawan 2025.
Ini termasuk sokongan dan geran kewangan, insentif cukai dan program latihan bagi mempertingkat kemahiran tenaga kerja.
“Secara keseluruhan, ini mengetengahkan jangkaan kolektif bagi bantuan pemerintah yang dipertingkat untuk mengharungi cabaran akibat kenaikan kos dan persaingan.
“Ini sementara juga menekankan keperluan bagi mekanisme sokongan inovatif untuk memupuk pertumbuhan dan kemampanan perniagaan dalam tahun akan datang,” kata beliau.
Encik Abu Bakar turut menarik perhatian bahawa salah satu peluang bagi syarikat mengembangkan perniagaan adalah di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Zon itu akan memperkukuhkan lagi hubungan ekonomi antara Singapura dengan Malaysia dan menyediakan lokasi strategik kepada perniagaan untuk beroperasi dalam jarak dekat dengan pasaran kedua-dua negara.
“SEZ dijangka menarik pelaburan dalam industri pengilangan, logistik dan teknologi tinggi, menawarkan pelbagai kelebihan seperti insentif cukai, peraturan diperkemas dan infrastruktur yang dipertingkatkan.
“Perniagaan harus mempertimbangkan potensi SEZ ini untuk memanfaatkan pangkalan pengguna yang lebih luas, mengoptimumkan rantaian bekalan dan mengembangkan jangkauan pasaran mereka dengan berkesan,” ujarnya.
“
“Kami menjangkakan prospek perniagaan yang mencabar disebabkan peningkatan nilai dolar Amerika dan ketidakstabilan geopolitik. Bahan daging dan ayam kami diimport dan didagangkan dalam dolar Amerika. Ketidakstabilan geopolitik telah menyebabkan kos logistik meningkat juga.”“
“Kami menggesa pemerintah agar membuka kategori permit kerja kepada pekerja Indonesia dan juga Asean, dan bukan mengehadkan mereka kepada Pas S bagi peranan bukan pengurusan. Ini boleh membantu menangani isu kekurangan pekerja dalam industri seperti makanan dan minuman (F&B) dan spa, yang biasanya bukan pilihan kerjaya teratas orang tempatan.”“
“(Cabaran) ini seperti kos dalam peninjauan dan memahami pasaran luar negara. Meskipun terdapat bantuan seperti Geran Bantuan Kesediaan Pasaran (MRA), cabaran masih wujud terutamanya mengenai kecekapan eksport.”“
“Secara keseluruhan, (sokongan) ini mengetengahkan jangkaan kolektif bagi bantuan pemerintah yang dipertingkat untuk mengharungi cabaran akibat kenaikan kos dan persaingan. Ini sementara juga menekankan keperluan bagi mekanisme sokongan inovatif untuk memupuk pertumbuhan dan kemampanan perniagaan dalam tahun akan datang.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg