Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluaran kilang S’pura naik lebih pantas, 8.5% pada Nov

Penganalisis: Prospek tidak menentu pada 2025 disebabkan dasar pentadbiran bakal Presiden Trump, ketegangan geopolitik
Dec 26, 2024 | 4:51 PM
Sektor elektronik, yang menyumbang hampir separuh daripada pengeluaran pembuatan Singapura, menunjukkan peningkatan sebanyak 26.2 peratus.
Sektor elektronik, yang menyumbang hampir separuh daripada pengeluaran pembuatan Singapura, menunjukkan peningkatan sebanyak 26.2 peratus. - Foto fail

Keluaran perkilangan Singapura meningkat untuk bulan kelima berturut-turut pada November, terutamanya didorong pengeluaran dalam industri elektronik yang meningkat disebabkan oleh persediaan awal sebelum kemungkinan tarif diperkenalkan oleh bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Namun, para penganalisis memberi amaran tentang prospek sektor perkilangan yang tidak menentu pada 2025, disebabkan oleh dasar pentadbiran Encik Trump yang baru dan ketegangan geopolitik.

Jumlah keluaran kilang meningkat 8.5 peratus pada November. Namun, peningkatan ini kurang daripada jangkaan pertumbuhan 9.7 peratus yang diramalkan oleh pakar ekonomi dalam tinjauan Bloomberg.

Jika tidak termasuk sektor biomedikal yang kurang stabil, pengeluaran perkilangan meningkat sebanyak 13 peratus, menurut data daripada Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada 26 Disember, lapor The Straits Times.

“Kami menjangka pertumbuhan pengeluaran industri akan meningkat berbanding 1.2 peratus pada Oktober,” kata Cik Yen Nee Lee, penganalisis risiko negara di BMI.

Beliau berkata pengeksport China sedang menghantar lebih banyak barang ke Amerika sebelum pelantikan rasmi Encik Trump.

Langkah itu “akan menyumbang kepada permintaan yang lebih tinggi untuk barangan dari Singapura,” tambahnya.

Industri elektronik, yang menyumbang hampir separuh daripada keluaran perkilangan Singapura, mencatatkan peningkatan 26.2 peratus, lebih tinggi berbanding kenaikan 4.3 peratus pada Oktober.

Pengeluaran semikonduktor pula melonjak 28.8 peratus, manakala aksesori komputer dan penyimpanan data naik 23.6 peratus, dan elektronik pengguna serta infokom menambah 8.7 peratus. Namun, modul elektronik dan komponen lain turun 6.5 peratus.

Namun, pakar ekonomi Barclays, Encik Brian Tan, melihat kemungkinan penurunan dalam pembuatan cip.

“Kami melihat tanda-tanda penurunan dalam keluaran semikonduktor di serata Asia, bukan hanya di Singapura. Jika ini merosot, pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) pada 2025 mungkin mengecewakan,” kata Encik Tan.

Pengeluaran kejuruteraan ketepatan meningkat sedikit sebanyak 0.6 peratus berbanding tahun lalu.

Dalam sektor ini, segmen mesin dan sistem berkembang 4.3 peratus, didorong oleh peningkatan pengeluaran peralatan semikonduktor.

Namun, segmen modul dan komponen ketepatan turun 5.2 peratus, terutamanya disebabkan oleh pengeluaran yang lebih rendah bagi instrumen optik dan komponen ketepatan besi.

Pengeluaran pembuatan biomedikal pula merosot 21.2 peratus berbanding tahun lalu.

Segmen farmaseutikal pula turun 37.1 peratus disebabkan oleh campuran bahan aktif farmaseutikal yang dihasilkan berbeza berbanding tahun lalu.

Sebaliknya, segmen teknologi perubatan meningkat 5.8 peratus kerana permintaan eksport yang berterusan untuk peralatan perubatan.

Pengeluaran perkilangan umum turun 2.6 peratus, dengan semua segmen menunjukkan penurunan.

Kejuruteraan pengangkutan turun 1.8 peratus, terjejas oleh penurunan 12.8 peratus dalam segmen kejuruteraan darat dan marin serta penurunan 24.9 peratus dalam kejuruteraan luar pesisir.

Namun, segmen aeroangkasa meningkat 20.9 peratus, didorong oleh peningkatan pengeluaran komponen pesawat dan lebih banyak kerja penyenggaraan serta pembaikan dari syarikat penerbangan komersial.

Pengeluaran kimia turun 1.1 peratus berbanding tahun lalu.

Dalam sektor ini, segmen petroleum dan petrokimia masing-masing meningkat 11.3 peratus dan 1.1 peratus.

Segmen kimia lain jatuh 5 peratus disebabkan oleh pengeluaran produk wangian yang lebih rendah, manakala segmen khusus merosot 28 peratus akibat penurunan pengeluaran bahan tambah minyak mineral dan biofuel.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg