Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan baru usahawan kaya dari India tubuh pejabat keluarga di S’pura

Nov 7, 2024 | 1:35 PM
60 peratus pejabat keluarga golongan kaya Asia berada di Singapura dengan bilangan keluarga mewah yang masuk ke negara ini diramal meningkat daripada 2,800 pada 2022 kepada 3,200 pada 2023.
60 peratus pejabat keluarga golongan kaya Asia berada di Singapura dengan bilangan keluarga mewah yang masuk ke negara ini diramal meningkat daripada 2,800 pada 2022 kepada 3,200 pada 2023. - Foto fail

Kumpulan baru usahawan muda dari India yang berjaya kini menyertai keluarga Ambani, pengasas konglomerat India Reliance Industries, dalam menubuhkan pejabat keluarga mereka di Singapura untuk memelihara dan mengembangkan kekayaan mereka.

Keluarga Ambani merupakan salah satu keluarga terkaya dan paling berpengaruh di India.

Mereka menubuhkan pejabat keluarga di sini pada 2022.

Kebanyakan keluarga itu berasal dari latar belakang sederhana dan ingin memastikan kekayaan mereka diturunkan kepada generasi akan datang, bersama nilai yang membantu pertumbuhannya.

Bagi mengelakkan pertikaian keluarga, mereka menubuhkan pejabat keluarga di sini untuk tadbir urus, komunikasi, dan pengambilan keputusan yang berkesan, lapor The Straits Times.

Menurut DBS Bank, dianggarkan sebanyak AS$4 trilion ($5.3 trilion) kekayaan dalam kalangan diaspora India akan dipindahkan dari satu generasi ke generasi seterusnya pada dekad akan datang.

Kini, 60 peratus pejabat keluarga golongan kaya Asia berada di Singapura.

Bilangan keluarga kaya yang masuk ke negara ini diramal meningkat daripada 2,800 pada 2022 kepada 3,200 pada 2023, kata DBS.

Pada 5 November, bank itu melancarkan laporan pejabat keluarga tahunan keenamnya, dengan edisi 2024 meneliti pejabat keluarga diaspora India.

Dianggarkan terdapat lebih 13,200 diaspora India dengan nilai bersih lebih AS$30 juta, dan jumlah ini dijangka meningkat dengan cepat.

Pada 2023, sekitar 6,500 golongan mewah telah meninggalkan India untuk ke Dubai, Singapura, Eropah dan Amerika Syarikat.

Seiring dengan peningkatan kekayaan mereka, ramai golongan mewah dari India mencari struktur pejabat keluarga yang formal bagi mengelakkan isu pematuhan dan tadbir urus.

“Biasanya, apa yang didapati dalam sistem keluarga bersama ialah syarikat pengendali juga akan menguruskan pelaburan keluarga,” kata Encik Amit Patni, pengasas dan pengarah Yayasan Raay.

Bapa Encik Patni dan abang-abangnya, memulakan firma Patni Computers pada 1970-an dan merupakan antara perintis dalam bidang teknologi maklumat (IT) di India.

Sepanjang beberapa dekad, syarikat itu berkembang hampir kepada AS$1.5 bilion.

Pada 2011, firma IT, iGate membeli Patni Computers dengan harga AS$1.5 bilion.

Selepas penjualan perniagaan dan pembahagian harta, Encik Patni menubuhkan pejabat keluarga tunggal, Raay Global Investments, untuk memastikan harta pusaka digunakan untuk pertumbuhan dan keusahawanan.  

Diaspora India kaya, yang belum mencapai tahap bilionair, mula memasuki struktur pejabat formal melalui pejabat berbilang keluarga (MFO), yang kini semakin berkembang pesat.

MFO membolehkan beberapa keluarga kaya mengumpulkan sumber mereka untuk mengakses nasihat kewangan yang berkaliber tinggi sambil mengekalkan penjimatan kos.

Encik Vimal Shah, pengerusi syarikat barangan Afrika Timur, Bidco Africa, bergantung pada rangkaian MFO yang berada di Singapura, Mauritius, Dubai dan Switzerland, berbanding menubuhkan pejabat keluarga tunggal.

Sepanjang dua dekad lalu, pejabat keluarga diaspora India telah menyokong lebih 200 syarikat pemula, kata laporan DBS.

Sebelum ini, keluarga India yang kaya berkemungkinan besar melaburkan kekayaan mereka dalam aset fizikal, seperti hartanah dan emas. 

Namun, kadar faedah yang tinggi dan pasaran hartanah yang menurun selepas Covid-19 telah menyebabkan beberapa keluarga memikirkan semula nilai pelaburan hartanah mereka.

Hari ini, pejabat keluarga diaspora India mempelbagaikan campuran aset mereka untuk menggabungkan lebih banyak pelaburan pasaran ekuiti awam dan swasta. 

Golongan India yang mewah lebih memilih Amerika Syarikat untuk pelaburan global, walaupun ada yang turut menunjukkan minat terhadap pasaran yang kian mengembang seperti India dan Timur Tengah.

Mereka yang tinggal di luar negara juga lebih suka melabur di luar India, berbanding mereka yang tinggal di India.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg