Satu kursus baru akan bermula pada April 2025 bagi membantu pekerja tanpa latar belakang teknologi membina kerjaya baru dalam keselamatan siber.
Program pensijilan Design x AI x Tech (Cybersecurity) itu bertujuan melatih 200,000 karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET).
Sekitar 60 peratus daripada 2.4 juta pekerja penduduk Singapura adalah PMET.
Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, berkata permintaan bagi karyawan keselamatan siber telah berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Karyawan keselamatan siber sepenuh masa meningkat tiga kali ganda daripada 4,000 pada 2016 kepada kira-kira 12,000 pada 2022, katanya dalam ucapannya kepada kira-kira 100 tetamu pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk melancarkan program tersebut pada 29 Ogos.
“Saya yakin jumlahnya jauh lebih tinggi. Universiti dan politeknik kita secara kolektif menghasilkan lebih 900 lulusan dengan pengkhususan keselamatan siber setiap tahun,” kata beliau pada majlis di Pusat NTUC itu, lapor The Straits Times.
Namun, jumlah itu tambah Encik Tan, masih tidak mencukupi.
“Pemerintah dan rakan latihan kami juga sedang membantu memenuhi permintaan tenaga kerja dengan menyokong program penukaran kerjaya bagi karyawan bukan siber untuk mengisi jawatan dalam keselamatan siber.”
Program pensijilan keselamatan siber itu sedang dibangunkan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Persatuan Karyawan Keselamatan Maklumat (AiSP) dan Tech Talent Assembly.
Kursus itu mengambil masa enam hingga 12 bulan untuk diselesaikan.
Yuran dan saiz pengambilan pertama akan diumumkan kemudian, dengan pendaftaran dijangka bermula pada awal 2025.
Pelajar boleh menggunakan kredit SkillsFuture sebagai subsidi yuran kursus, manakala anggota NTUC boleh memohon subsidi lanjut di bawah Program Bantuan Latihan Kesatuan.
Presiden SUTD, Profesor Phoon Kok Kwang, menyerlahkan bentuk merentas disiplin yang unik bagi program pensijilan baru itu, yang akan merangkumi “segala-galanya daripada keselamatan siber AI (kecerdasan buatan) dan teknologi, operasi keselamatan siber kepada pengurusan risiko”.
Pelajar akan ditawarkan latihan amali, serta mentor daripada pusat penyelidikan SUTD atau rakan kongsi industri.
Pada 2020, universiti itu menjalankan satu program berasingan selama setahun untuk lebih 200 pekerja daripada Agensi Keselamatan Siber Singapura.
Makmal Penyelidikan iTrust-nya, yang ditubuhkan pada 2012, kini diiktiraf sebagai peneraju dalam penyelidikan keselamatan siber dan siber-fizikal, tambah Profesor Phoon.
Kurikulum program baru itu termasuk latihan memantau ancaman keselamatan, mengetuai usaha tindak balas insiden, menyelenggara sistem dan bekerjasama merentas pasukan untuk mengukuhkan keselamatan.
Peserta kursus akan belajar cara mereka bentuk dan mengurus langkah keselamatan yang disesuaikan bagi persekitaran teknologi operasi (OT), memastikan mereka mematuhi piawaian industri dan keperluan kawal selia.
Pelajar yang tamat kursus itu boleh mengharapkan untuk mendapat pekerjaan dalam pusat operasi keselamatan dan sistem OT.
Kursus itu juga menawarkan peluang menyertai program pensijilan Karyawan Keselamatan Maklumat Berkelayakan yang ditawarkan oleh AiSP.
Walaupun AI telah menggantikan beberapa peranan teknologi seperti pembangun perisian dan penganalisis data, ia telah meningkatkan keperluan bagi lebih ramai pekerja keselamatan siber.
Satu laporan baru oleh agensi pengambilan pekerja, Hays, menunjukkan terdapat anggaran 3.5 juta jawatan keselamatan siber kosong di seluruh dunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg