Keuntungan bersih Singtel bagi separuh pertama yang berakhir pada September, merosot 42.4 peratus kepada $1.23 bilion berbanding $2.14 bilion yang diraih bagi tempoh yang sama pada 2023.
Kemerosotan ini ekoran ketiadaan keuntungan luar biasa yang direkodkan sebanyak $1.2 bilion pada 2023 berikutan pengagihan saham Telkomsel untuk menyepadukan pembekal jalur lebar Indonesia, IndiHome ke dalamnya.
Keuntungan dasar, yang menjadi asas pembayaran dividen, meningkat 6 peratus kepada $1.2 bilion berbanding $1.1 bilion pada tempoh yang sama pada 2023.
Pada 13 November, Singtel mengumumkan dividen interim sebanyak S$0.07 sesaham.
Keuntungan operasi menurun 0.5 peratus kepada $6.99 bilion susulan penjualan Trustwave, lapor The Business Times (BT).
Tanpa mengambil kira sumbangan kewangan daripada syarikat bersekutu, pendapatan sebelum faedah dan cukai (Ebit) Singtel meningkat 27 peratus kepada $738 juta.
Ini didorong prestasi yang lebih baik syarikat Optus (anak syarikat Singtel di Australia) dan NCS (cabang perkhidmatan teknologi Singtel), dengan Ebit masing-masing meningkat 58 peratus dan 40 peratus.
Namun, pengurusan Singtel mencatatkan kelembapan dalam perbelanjaan perusahaan di kededua segmen Singtel Singapura dan NCS, sepanjang enam bulan lalu.
Pendapatan operasi separuh tahun Singtel Singapura merosot 0.9 peratus kepada $1.9 bilion, antaranya disebabkan penurunan pendapatan dari perkhidmatan data dan Internet.
Pendapatan operasi separuh tahun NCS pula, naik 2.5 peratus kepada $1.4 bilion.
Dalam taklimat kewangan syarikat pada 13 November, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NCS, Encik Ng Kuo Pin, berkata bahawa tekanan ekonomi di rantau Asia-Pasifik memberi kesan kepada sentimen pasaran.
Namun, beliau jangkakan peningkatan dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, dengan pelaburan yang lebih besar dalam kecerdasan buatan (AI) dan ketahanan digital.
CEO Singtel Singapura, Encik Ng Tian Chong, berkata bahawa bahagian perniagaannya melihat beberapa bidang pertumbuhan dalam sektor perusahaan, di mana beberapa syarikat berbilang negara telah mendekati Singtel untuk membantu mereka bina rangkaian perisian yang bersifat global.
Perniagaan Digital InfraCo Singtel pula, mencatatkan pertumbuhan 8.2 peratus dalam pendapatan separuh tahun kepada $219 juta, didorong kenaikan 17.6 peratus dalam pendapatan pusat data kepada $169 juta.
Encik Bill Chang, CEO Digital InfraCo, berkata dinamik pasaran terus memberi manfaat buat syarikat.
Pendapatan turut meningkat melalui yuran tempahan untuk pusat data baru seperti DC Tuas, yang dijangka mula beroperasi menjelang Januari 2026.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg