Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laba ST Engineering naik 18.1% suku pertama 2024

May 13, 2024 | 6:33 PM
ST Engineering menyatakan keuntungan pada suku pertama 2024 disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada segmen aeroangkasa komersial, serta segmen pertahanan dan keselamatan awam.
ST Engineering menyatakan keuntungan pada suku pertama 2024 disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada segmen aeroangkasa komersial, serta segmen pertahanan dan keselamatan awam. - Foto BT

Laba kumpulan syarikat ST Engineering naik sebanyak 18.1 peratus kepada $2.7 bilion bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2024, menurut syarikat itu dalam kemas kini perniagaannya.

ST Engineering menyatakan keuntungan itu disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada segmen aeroangkasa komersial, serta segmen pertahanan dan keselamatan awam, yang mencatat pertumbuhan pendapatan dua angka.

Ia mengumumkan pemberian dividen awal suku pertama sebanyak $0.04 sesaham, yang akan dibayar pada 5 Jun, lapor The Business Times (BT).

Hasil aeroangkasa komersial meningkat 32 peratus kepada $1.2 bilion daripada $873 juta bagi pertumbuhan berasaskan luas.

Terutamanya, operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) enjin kumpulan itu mencatat pertumbuhan kukuh.

Menurut presiden aeroangkasa komersial di ST Engineering, Encik Jeffrey Lam, segmen tersebut menikmati perniagaan rancak pada suku pertama.

Segmen tersebut dapat memanfaatkan waktu penerbangan yang meningkat, dan pengenalan enjin baru yang lebih perlahan daripada jangkaan.

“Pada umumnya, anda juga melihat bahawa pada Februari 2024, trafik udara meningkat melebihi paras sebelum Covid-19. Oleh itu, kami melihat keseluruhan pasaran pulih dengan kukuh merentasi semua segmen,” jelasnya.

Unit pertahanan dan keselamatan awam ST Engineering meraih pendapatan yang meningkat 14 peratus kepada S$1.1 bilion bagi suku pertama 2024, daripada S$982 juta bagi suku pertama 2023.

Semua segmen kecil menikmati pertumbuhan, dengan perniagaan digital kumpulan itu berada pada kedudukan baik untuk melepasi sasaran pendapatan bagi 2026.

Sebaliknya, pendapatan daripada huraian bandar dan segmen perhubungan satelit (satkom) susut 1 peratus kepada S$429 juta, berbanding S$434 juta bagi suku pertama 2023.

ST Engineering memenangi kontrak baru bernilai S$3 bilion pada suku pertama.

Segmen pertahanan dan keselamatan awam memperoleh nilai kontrak tertinggi sebanyak $1.7 bilion, diikuti segmen aeroangkasa komersial, yang meraih kontrak $839 juta.

Perniagaan huraian bandar dan perhubungan satelit pula mencatat kontrak baru bernilai $542 juta.

Perniagaan digital, terdiri daripada perkhidmatan awan, analisis kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber dijangka melebihi sasaran pendapatan 2026 sebanyak $500 juta.

Menurut presiden, pertahanan dan keselamatan awam di ST Engineering, Encik Ravinder Singh, pertumbuhan pendapatan sepanjang dua tahun lalu meningkat lebih dua setengah kali ganda, dengan pendapatan suku pertama mencecah $147 juta.

“Pada umumnya, kerancakan perniagaan digital adalah kukuh,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg