Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lampu Krismas Orchard Road dijangka tarik hingga 5j pengunjung

Acara bertujuan sediakan pengalaman gaya hidup hebat buat warga, pelawat
Oct 23, 2024 | 6:10 PM
Penyalaan lampu hiasan  ‘Christmas On A Great Street’ di Orchard Road akan berlangsung dari 9 November 2024  hingga 1 Januari 2025.
Penyalaan lampu hiasan ‘Christmas On A Great Street’ di Orchard Road akan berlangsung dari 9 November 2024 hingga 1 Januari 2025. - Foto PERSATUAN PERNIAGAAN ORCHARD ROAD (ORBA)

Di tengah-tengah jualan runcit yang lebih lemah, hiasan lampu Krismas di Orchard Road 2024 dijangka menarik antara empat juta dengan lima juta pengunjung, setanding tahap prapandemik, kata pengerusi Persatuan Perniagaan Orchard Road (Orba), Encik Mark Shaw.

Beliau bercakap pada 23 Oktober, pada sidang media untuk mendedahkan acara yang dinamakan Christmas On A Great Street itu, yang akan berlangsung dari 9 November 2024 hingga 1 Januari 2025, di sepanjang kawasan beli-belah utama Singapura.

Hiasan lampau Krismas 2023 menarik kira-kira 4.1 juta pengunjung, mencecah paras pra-Covid, kata Encik Shaw, lapor The Business Times.

Penduduk tempatan membentuk kira-kira 70 peratus daripada jumlah pelawat, dengan selebihnya merupakan pelancong.

Orba tidak memberikan anggaran pembahagian nisbah kehadiran tahun ini, tetapi menyatakan Orchard Road menyaksikan gabungan 50:50 penduduk tempatan dan pelancong semasa prapandemik.

“Kami benar-benar berasa bahawa bilangan pelawat di sana memang ada... (walaupun) anda tahu, jumlah runcit agak lemah tahun ini,” kata Encik Shaw.

Perbelanjaan pelancong di Singapura pada separuh pertama 2024 berjumlah $14.9 bilion, meningkat 19.6 peratus daripada tahun sebelumnya. Ketibaan pelawat antarabangsa meningkat 30.1 peratus kepada 8.2 juta dalam tempoh sama.

Pada asas suku tahunan, perbelanjaan pelancong meningkat 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2024 kepada $6.8 bilion – walaupun ia adalah penurunan 15.6 peratus dalam perbelanjaan pelawat daripada suku pertama.

Ketika ditanya apakah dolar Singapura yang lebih kukuh akan menjejas perbelanjaan pelancong semasa musim perayaan, terutamanya dari China, Encik Shaw berkata acara itu “tidak bergantung sepenuhnya” pada segmen pengunjung itu.

“Jelas sekali, kedudukan dolar Singapura itu menyukarkan orang ramai berbelanja. Tetapi Krismas lebih daripada sekadar beli-belah. Ia mengenai pengalaman gaya hidup.”

Beliau menambah: “Penyalaan lampu Krismas bukan untuk pelancong sahaja, ia juga bagi penduduk tempatan... ia untuk memberi semua orang di Singapura dan semua pelawat kita pengalaman hebat semasa musim Krismas ini.”

Cik Deborah Heng, pengurus negeri di Mastercard Singapore, menyatakan pelancong semakin mengutamakan pengalaman dan hiburan malam daripada berbelanja untuk barangan, memetik laporan Institut Ekonomi Mastercard 2024 mengenai trend perjalanan.

Orba juga akan membawa kembali pesta jalanan Malam Krismas untuk kali kedua, yang menyaksikan lebih 130,000 pengunjung pada 2023.

Acara itu – yang akan menjangkau 400 meter dari Ion Orchard ke Ngee Ann City – akan menampilkan persembahan ‘live’ DJ, maskot mengembara, gerai pop-up dan van menjual makanan, antara lain.

Terdapat dua Perkampungan Krismas yang Hebat di Shaw House Urban Plaza dan Ngee Ann City Civic Plaza kali ini.

Selain tunggangan karnival, akan ada persembahan ‘live’ oleh penghibur busker dan pancaragam tempatan pada hujung minggu di Ngee Ann City Civic Plaza.

Terdapat juga pokok Krismas luaran setinggi 14 meter dan pertunjukan salji mengasyikkan setiap malam.

“2024 merupakan tahun ketahanan dan pemulihan bagi Singapura. Tinjauan ekonomi kita kekal teguh apabila kita terus menyesuaikan diri dan berinovasi dalam landskap global yang berubah dengan pantas,” kata Encik Shaw.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg