Festival Re-Route kembali pada 2024 dengan edisi keduanya, Re-Route: Orchard (RR:OR), mulai 26 September hingga 6 Oktober di Orchard Road.
Diadakan buat julung-julung kalinya pada 2022 di Little India sempena Minggu Reka Bentuk Singapura, pesta itu bertujuan merangsang imaginasi dan menghidupkan ruang awam dengan cara unik dan kreatif.
Bertema Be Here Now, RR:OR, menonjolkan konsep penggunasuaian – penggunaan semula bangunan atau fabrik asal bangunan yang disesuaikan dengan kegunaan yang baharu.
Ini juga bermakna reka bentuknya boleh disesuaikan mengikut keperluan baru dalam dunia moden.
Pesta itu menggabungkan pelbagai seni pemasangan, program interaktif, dan pameran menarik untuk mengajak pengunjung mendalami keunikan Orchard Road sebagai hab beli-belah ikonik Singapura.
Antara daya tarikan festival itu ialah, Pocket Park di Orchard Fountain Corner, yang akan menjadi pusat tumpuan baru untuk kawasan itu.
Tarikh: 26 September hingga 6 Oktober
Tempat: Kawasan Orchard Road
Acara Angklung Melodi di Wisma Geylang Serai (WGS) menampilkan ensembel angklung dan gamelan dari Sri Warisan, bersama beberapa kumpulan budaya lain, yang akan membawa penonton menyelami dunia budaya Melayu yang kaya dan mempesonakan.
Melalui persembahan angklung, penonton akan dihiburkan dengan muzik tradisional yang menenangkan jiwa.
Bukan itu sahaja, acara itu juga akan meraikan keindahan Bulan Bahasa melalui deklamasi puisi, pantun, syair, dan gurindam yang penuh bermakna.
Setiap segmen persembahan akan memberikan peluang kepada penonton untuk mendalami keajaiban warisan Melayu dan menghargai kepelbagaian budaya yang dipersembahkan dengan penuh penghayatan.
Tarikh: 28 September
Masa: 8 malam
Tempat: Persada Budaya di Tingkat 1, Wisma Geylang Serai
Bagi peminat cerita seram, Underground: The Summoning, dijangka menawarkan pengalaman luar biasa.
Terletak di bawah tanah dalam bunker Battlebox di Fort Canning, pengalaman itu membawa pengunjung menyelami ‘dunia seram’ apabila watak antagonis, Bellum dan makhluk-makhluknya bersembunyi menanti mangsa.
Sepanjang sesi 45 minit, pengunjung akan menyusuri lorong gelap dan berliku di Battlebox sambil mengikuti pengalaman mengasyikkan yang bakal membuat jantung berdebar dan bulu roma ikut meremang.
Jika anda rasa anda cukup berani, kunjungi Underground: The Summoning.
Tarikh: 25 September hingga 3 November 2024
Masa: 6.30 hingga 9.30 malam
Tempat: Battlebox, 2 Cox Terrace di Fort Canning
Dari 13 September hingga 2 Februari 2025, Bayfront Event Space akan menjadi tuan rumah bagi acara pertunjukan cahaya, bunyi dan berbilang media terbesar di dunia.
Acara ini menampilkan pemasangan struktur setinggi 47 meter yang dikenali sebagai Tree of Lights atau lampu pokok dan sembilan dunia unik yang dipenuhi boneka yang bergerak menggunakan elektrik, yang cukup realistik – semuanya dihidupkan dengan 20 juta lampu LED.
Pertunjukan itu menggunakan pencahayaan LED yang cekap tenaga dan beroperasi pada waktu malam selama empat jam.
Tarikh: 13 September 2024 hingga 2 Februari 2025
Masa: 6.30 hingga 10.30 malam
Tempat: Bayfront Event Space, bersebelahan Marina Bay Sands
Harga: Tiket dewasa bermula daripada $25, kanak-kanak bermula daripada $15.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg