Bagi tiga tahun berturut-turut, Singapura disenaraikan sebagai bandar paling mahal di dunia bagi individu bernilai tinggi (HNWIs) menjalani kehidupan selesa, menurut satu laporan bank swasta Switzerland, Julius Baer.
Meskipun begitu, bandar ini kekal sebagai tempat yang sangat sesuai untuk didiami yang menarik minat golongan HNWI dan perniagaan disebabkan kestabilan politik, keselamatan dan mutu perkhidmatan seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan, kata bank itu pada 14 Julai.
“Dalam suasana dunia yang tidak menentu ketika ini, Singapura dihargai kerana kestabilannya, tahap keselamatan tinggi dan kedudukannya yang strategik dalam menghubungkan Asia dengan dunia,” menurut laporan tersebut.
Secara kesuluruhan, tiga bandar Asia-Pasifik termasuk dalam senarai 10 bandar paling mahal dalam Laporan Kekayaan dan Gaya Hidup Global Julius Baer, dengan Hong Kong di tempat ketiga, manakala Shanghai di tempat keenam.
Laporan itu menyatakan bahawa rantau Asia-Pasifik mencatat penurunan harga secara purata sebanyak 1 peratus, menjadikannya rantau paling stabil dalam kajian 2025.
Penganalisis penyelidikan Asia di Julius Baer, Cik Chua Jen-Ai, berkata rantau Asia-Pasifik kekal sebagai antara yang paling pesat berkembang di dunia, walaupun berdepan kesan akibat perang tarif.
“Faktor asas yang kukuh telah meletakkan asas kepada pertumbuhan kekayaan pesat di rantau ini,” katanya.
Golongan HNWI di Asia-Pasifik turut mengalami peningkatan besar dalam perbelanjaan gaya hidup, mengatasi rantau lain dalam kategori pakaian wanita mewah, hotel dan makanan eksklusif, dengan 80 peratus daripada mereka melaporkan peningkatan aset dalam setahun lalu.
Singapura menduduki tempat teratas sebagai bandar paling mahal bagi pembelian kereta dan beg tangan wanita; tempat kedua bagi kasut wanita dan ketiga untuk hartanah kediaman serta penjagaan kesihatan.
Peningkatan terbesar secara keseluruhan dicatatkan dalam tambang penerbangan kelas perniagaan, iaitu sebanyak 12.6 peratus di rantau Asia-Pasifik.
Secara global, tambang penerbangan kelas perniagaan meningkat 18.2 peratus dalam nilai dolar Amerika Syarikat (AS), dengan trend ‘perbelanjaan balas dendam’ pasca-Covid 19 kekal kukuh, walaupun wujud tanda-tanda keinginan berbelanja yang kian perlahan.
Panjang usia juga menjadi keutamaan bagi semua HNWI Asia-Pasifik yang ditemu bual, dengan 100 peratus menyatakan mereka sedang mengambil langkah untuk memanjangkan jangka hayat mereka.
Berbeza daripada rantau lain, golongan HNWI di Asia-Pasifik menyatakan mereka amat mengambil berat tentang kesihatan, sedangkan di rantau lain tumpuan lebih kepada pengalaman menikmati makanan dan interaksi sosial.
Laporan itu turut menunjukkan bahawa pertumbuhan kekayaan dalam kalangan HNWI Asia-Pasifik, digabungkan dengan minat yang meningkat terhadap kesihatan, kesejahteraan dan pengalaman hidup, terus membentuk corak perbelanjaan di seluruh rantau ini.
Buat kali pertama sejak laporan ini diterbitkan, indeks telah mencatat penurunan sebanyak dua peratus dalam nilai dolar Amerika.
Penurunan itu, yang dipacu oleh kejatuhan 3.4 peratus dalam harga barangan, mencerminkan perubahan dalam perbelanjaan global, menurut laporan tersebut.
“Oleh itu, penurunan lebih satu mata peratusan menyerlahkan cabaran yang dihadapi oleh sektor barangan mewah,” kata ketua penyelidikan Julius Baer, Encik Christian Gattiker.
Namun, laporan itu turut menjelaskan bahawa data dikumpul sebelum pengumuman tarif oleh Amerika.
Dengan itu, kesan pasaran serta harga susulan belum dimasukkan dalam angka 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg