Respons Asean yang lebih berkesan terhadap tarif timbal balas yang dikenakan oleh Amerika Syarikat adalah untuk mempergiatkan usaha ke arah penyepaduan ekonomi, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Beliau berkata sungguhpun tarif yang dikenakan Amerika Syarikat bersifat dua hala, iaitu terhadap negara masing-masing, negara Asean harus menghapuskan halangan tarif dan bukan tarif sesama sendiri.
Ini di samping mengoptimumkan kedudukan daya saingnya, memandangkan aspek sedemikian berada dalam kawalan Asean, katanya.
Berkongsi kepada media bagi merumuskan hasil Pertemuan Menteri Luar Asean (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 11 Julai, Dr Balakrishnan turut menyentuh berkenaan usaha sama antara Malaysia dengan Singapura dalam projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Beliau menyifatkan JS-SEZ boleh dijadikan model bagaimana Asean dapat bekerjasama menjangkau had sempadan bagi memberikan kelebihan daya saing dengan “memanfaatkan kekuatan saling melengkapi”.
Begitu juga dengan projek RTS – antara komponen utama dalam pembangunan JS-SEZ – yang menunjukkan hasrat nyata Malaysia dan Singapura bagi meningkatkan keterhubungan antara kedua-dua negara, kata beliau.
Dr Balakrishnan berkata: “Ini adalah projek keterhubungan yang nyata, tetapi (kesannya) menjangkau lebih daripada keterhubungan.
“Ia akan menjejas cara kehidupan… cara perniagaan diatur dan rantaian bekalan. Kita juga perlu menangani semua implikasi (yang bakal timbul) dengan penuh berhati-hati.
“JS-SEZ dan projek RTS merupakan satu perkembangan positif, dan jika ia berkesan, saya pasti ia akan menjadi model positif bagi seluruh Asean.”
Berlatarbelakangkan konflik Israel-Palestin yang masih berlarutan dan pengumuman tarif timbal balas baru ke atas beberapa negara, khususnya terhadap beberapa negara Asean, AMM kali ini bersandarkan “suasana suram”, katanya.
Tuan rumah Asean kali ini iaitu Malaysia, sebagai contoh, bakal dikenakan tarif timbal balas 25 peratus ke atas semua produk Malaysia ke Amerika bermula 1 Ogos 2025.
Oleh demikian, beliau berkata adalah penting sesama negara Asean menggandakan usaha ke arah penyepaduan demi “meningkatkan daya tahan terhadap ketidaktentuan dan cabaran ekonomi” kini.
“Apabila menyentuh tentang penyepaduan ekonomi, visi Asean adalah menjadikan Asia Tenggara sebagai zon pengeluaran tunggal dan pelaburan tunggal.
“Ini bermakna perlunya mengurangkan halangan… memudahkan pelabur menempatkan kemudahan pengeluaran atau pengurusan, atau pejabat serantau untuk mencapai sinergi dan menjadikan rantau ini berdaya saing sebanyak mungkin,” kata Dr Balakrishnan.
Sehubungan itu, beliau berkata Asean sedang menaik taraf perjanjian perdagangan barangan, sekali gus mencerminkan kesungguhan rantau ini mengurangkan halangan perdagangan dan pelaburan.
Selain daripada AMM, Dr Balakrishnan turut menghadiri antara lain Persidangan Pasca Kementerian (PMC) dan Pertemuan Menteri Luar (FMM) Asean Plus Three ke-26, Sidang Puncak Timur Asia (EAS) FMM dan Forum Serantau Asean (ARF) ke-32 – yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg