Pertumbuhan TikTok Shop di Asia Tenggara tidak terjejas oleh larangan pemerintah Indonesia yang dikeluarkan pada Oktober 2023, menurut laporan yang dikeluarkan pada 16 Julai oleh syarikat perunding cara Momentum Works.
Nilai barangan kasar (GMV) – jumlah nilai barangan yang dijual – platform e-dagang itu meningkat hampir empat kali ganda daripada AS$4.4 bilion ($5.91 bilion) pada 2022 kepada AS$16.3 bilion pada 2024, lapor akhbar The Business Times.
Ini meletak TikTok Shop setanding wadah e-dagang Indonesia, Tokopedia, yang mempunyai GMV sebanyak AS$16.3 bilion, berkurangan daripada AS$18.4 bilion pada 2022.
Platform e-dagang Shopee mempunyai bahagian terbesar GMV, sebanyak AS$55.1 bilion pada 2023, meningkat daripada AS$47.9 bilion pada 2022.
Lazada menduduki tempat kedua dengan AS$18.8 bilion pada 2023, turun daripada AS$20.1 bilion pada 2022.
Hanya Shopee dan TikTok Shop mencatat pertumbuhan GMV pada 2023.
Peserta baru, Temu, merekodkan GMV kurang AS$0.1 bilion di Asia Tenggara, kerana ia menumpukan pada kawasan mewah lain.
TikTok Shop memperoleh pegangan majoriti dalam Tokopedia pada awal 2024 dan akan menjadi platform e-dagang kedua terbesar mengikut GMV pada 2023 jika digabungkan.
Shopee terus menerajui seluruh Asia Tenggara, memegang 40 peratus atau lebih bahagian pasaran berdasarkan GMV di negara di rantau ini.
Momentum Works menyatakan kelebihan Shopee dalam membuat penyesuaian kepada pasaran tertentu, logistik dalaman, hubungan dengan pemerintah dan perniagaan, serta perkhidmatan kewangan digital memberi faedah kepadanya hingga 2021.
Ini mungkin tidak berlaku bagi peserta baru. TikTok Shop, misalnya, diharamkan di Indonesia pada Oktober 2023, tetapi dapat membalikkan kelemahannya dalam hubungan dengan pemerintah dan mengumumkan pemerolehan pegangan majoriti dalam Tokopedia hanya dua bulan kemudian.
Sebaliknya, imej jenama “kos rendah” Shopee adalah perkara yang sukar diatasi oleh pesaingnya yang lebih baru dan dana lebih banyak, kata Momentum Works.
Encik Chris Feng, yang mengetuai syarikat itu dan merupakan presiden di Sea, syarikat induk Shopee, berkata dalam satu panggilan persidangan mengenai pendapatan suku pertama 2024 Shopee bahawa, sebagai sebahagian daripada usaha membina kelebihan yang kuat, kumpulan itu perlu “memastikan kami boleh melakukan transaksi dengan pembeli dan penjual kami dengan kos terendah”.
GMV e-dagang di seluruh rantau ini terus berkembang di tengah-tengah ketidaktentuan makroekonomi, mencecah AS$114.6 bilion pada 2023, meningkat daripada AS$99.5 bilion pada 2022.
Ini adalah pertumbuhan 2.1 kali ganda daripada 2020, apabila GMV mencecah AS$54.2 bilion pada tahun pertama pandemik.
Indonesia kekal sebagai pasaran terbesar mengikut GMV, tetapi mengalami pertumbuhan paling rendah, meningkat 3.7 peratus kepada AS$53.8 bilion pada 2023 daripada AS$51.9 bilion pada 2022.
Singapura mengalami pertumbuhan kedua terendah pada 9.7 peratus kepada AS$4.4 bilion pada 2023 daripada AS$4 bilion pada 2022.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg