Lebih 200,000 tiket diskaun penerbangan Singapore Airlines (SIA) dan 180,000 tiket Scoot akan mula dijual mulai 24 Oktober.
Tiket promosi SIA adalah untuk penerbangan dari Januari hingga September 2026, manakala tiket Scoot meliputi penerbangan dari November 2025 hingga Oktober 2026.
Scoot ialah syarikat penerbangan tambang rendah milik SIA.
Tambang promosi itu ditawarkan sempena pameran pelancongan, Time To Fly.
Jualan dalam talian akan berlangsung dari 24 Oktober hingga 6 November melalui laman web dan aplikasi mudah alih SIA serta Scoot, dan juga melalui ejen pelancongan yang dilantik.
Jualan fizikal pula berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, Dewan 401 hingga 403.
Bagi SIA, promosi tersebut meliputi tiket ulang-alik kelas perniagaan, ekonomi premium dan ekonomi ke 77 destinasi serata dunia termasuk Brisbane, Frankfurt, Ho Chi Minh City, San Francisco dan Taipei.
Scoot pula menawarkan diskaun bagi penerbangan sehala ke lebih 61 destinasi, termasuk destinasi baru seperti Chiang Rai, Da Nang, Nha Trang (Vietnam), Tokyo (Haneda) dan Vienna.
Naib Presiden Kanan SIA bagi Jualan dan Pemasaran, Encik Vinod Kannan, menjelaskan bahawa pameran tersebut memberi pelanggan “lebih banyak pilihan dan nilai hebat” untuk merancang percutian mereka pada 2026.
Pameran fizikal tiga hari itu turut menampilkan cabutan bertuah, dengan hadiah utama berupa tiga pasang tiket ulang-alik kelas bisnes SIA ke Beijing, Manila dan Sydney, lengkap dengan penginapan hotel.
Hadiah lain termasuk tiket ke Denpasar (Bali), Osaka dan Male (Maldives), serta baucar Scoot bernilai hingga $2,000.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web SIA, Time To Fly, dan Scoot mulai 24 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg