DALAM usaha membantu syarikat melaksanakan langkah bekerja dari rumah dan pengaturan waktu kerja berperingkat semasa tempoh Covid-19 ini, Pemerintah telah menawarkan Geran Kerja-Hidup Dipertingkat (WLG) (Covid-19) sejak 20 April lalu.
Dalam kenyataannya hari ini, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan, terdapat minat yang mendalam dari syarikat-syarikat dengan lebih daripada 2,700 permohonan diterima pada bulan lalu, dengan lebih $50 juta telah diagihkan.
Ini adalah dua kali ganda jumlah syarikat yang mendapat manfaat daripada WLG sedia ada sejak Julai 2018.
WLG (Covid-19) bertujuan menyokong syarikat untuk mengekalkan pelaksanaan bekerja-dari-rumah dan pengaturan waktu kerja berperingkat melebihi peraturan wajib jarak sosial selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan berakhir pada 1 Jun ini.
Syarikat-syarikat boleh mendapat $2,000 bagi setiap pekerja yang bekerja dari rumah untuk sekurang-kurangnya satu bulan, sehingga $70,000.
Sekiranya bekerja dari rumah tidak dapat dilakukan, syarikat dikehendaki mengatur waktu kerja berperingkat di tempat kerja.
"Syarikat yang telah mendapat sokongan daripada WLG (Covid-19) akan berada dalam keadaan yang lebih baik dengan sistem sedia ada untuk mengekalkan pengaturan ini sepanjang masa dan di luar pandemik Covid-19," kata MOM dalam kenyataannya.
Permohonan untuk WLG (Covid-19) akan tetap dibuka sehingga 1 Jun ini, sejajar dengan akhir tempoh pemutus litar.
Selepas 1 Jun, syarikat yang memerlukan sokongan lebih lanjut untuk melaksanakan pengaturan kerja dari rumah digalakkan untuk memohon Geran Huraian Produktiviti (PSG) dari agensi keusahawanan negara, Enterprise Singapore.
Geran WLG sedia ada tetap dibuka untuk permohonan bagi membantu syarikat menarik dan mengekalkan bakat dengan menawarkan aturan kerja fleksibel lain, seperti kerja sambilan, perkongsian kerja, bagi membantu pekerja menikmati keharmonian kerja-kehidupan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg