Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih banyak syarikat rancang beku gaji

Langkah diambil susuli prospek ekonomi kian suram
Aug 28, 2025 | 6:16 PM
Rasa pesimis yang semakin meningkat mendorong syarikat melaksanakan dasar gaji lebih hemat.
Rasa pesimis yang semakin meningkat mendorong syarikat melaksanakan dasar gaji lebih hemat. - Foto ST

Lebih banyak syarikat dijangka membekukan gaji sepanjang 2026, ekoran keyakinan perniagaan yang semakin lemah disebabkan ketidaktentuan ekonomi berterusan.

Demikian menurut tinjauan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) yang dikeluarkan pada 28 Ogos.

Kepuasan perniagaan terhadap keadaan ekonomi semasa merosot kepada 33 peratus pada 2025, berbanding 35 peratus pada 2024.

Di samping itu, lebih banyak syarikat kini menjangka keadaan ekonomi semakin suram sepanjang 12 bulan akan datang.

Rasa pesimis yang semakin meningkat itu mendorong syarikat melaksanakan dasar gaji yang lebih berhemat.

Kadar syarikat yang merancang membekukan gaji meningkat kepada 41 peratus pada 2025, daripada 35 peratus pada 2024.

Syarikat yang berhasrat menaikkan gaji pekerja pula merosot kepada 59 peratus, daripada 64 peratus dalam tinjauan pada 2024, lapor The Business Times (BT).

Trend pembekuan gaji tersebut didorong terutama oleh syarikat lebih kecil, dengan 43 peratus syarikat kecil dan sederhana (SME) berhasrat mengekalkan gaji pada tahap sekarang.

Ini berbanding hanya 28 peratus syarikat besar yang berbuat demikian.

Lebih separuh daripada syarikat menaikkan gaji pada 2024, dan merancang untuk terus berbuat demikian dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Firma perbankan dan pengilang antara yang paling cepat melaksanakan kenaikan gaji.

Sebaliknya, perniagaan dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan awam, serta sektor kewangan, antara yang berhasrat mengekalkan pembekuan gaji.

Kesan tarif Amerika Syarikat terhadap perniagaan di Singapura pula dilihat semakin berkurangan, dengan kadar syarikat yang menilai kesan tarif tersebut sebagai “negatif” merosot kepada 59 peratus pada Julai, berbanding 81 peratus pada April.

Bagaimanapun, keyakinan perniagaan secara keseluruhan semakin lemah pada suku kedua, dengan Indeks Sentimen Perniagaan susut 1.1 mata kepada 55.4, berbanding 56.5 pada suku pertama.

Di peringkat sektor, firma hospitaliti, perkhidmatan sokongan pentadbiran, dan teknologi maklumat (IT) kekal paling pesimis terhadap prospek ekonomi.

Perniagaan kesihatan dan khidmat sosial serta pendidikan pula menunjukkan sentimen lebih positif.

Kos tenaga kerja yang semakin meningkat kekal sebagai cabaran utama bagi perniagaan, walaupun kadar syarikat yang menyifatkan perkara tersebut sebagai satu kebimbangan telah berkurangan kepada 65 peratus, daripada 75 peratus pada 2024.

Kesukaran dalam meningkatkan kemahiran dan pemahiran semula bagi pekerja merupakan cabaran kedua terbesar.

Hampir separuh perniagaan (47 peratus) menyifatkan perkara itu sebagai satu kebimbangan, meningkat secara ketara berbanding hanya 25 peratus pada 2024.

Dalam pada itu, kebimbangan mengenai dasar tenaga kerja asing yang meningkatkan kos niaga telah berkurangan kepada 45 peratus daripada 53 peratus, namun masih terus menjadi antara lima cabaran tenaga kerja utama.

Kadar syarikat yang ingin mengambil pekerja baru turut merosot, dengan 36 peratus perniagaan menjangka menambah bilangan pekerja sepanjang 12 bulan akan datang, merosot daripada 40 peratus pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg