Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian: Sebahagian besar firma S’pura manfaat automasi

Namun sebahagian besar penggunaan kekal di tahap rendah
Jul 22, 2025 | 5:47 PM
Marina Bay Sands (MBS) menggunakan robot berautonomi untuk melakukan tugas penghantaran ke hotel dan Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, menjadikan pengerahan robot sedemikian yang pertama dalam sektor hospitaliti Singapura. Sekitar 69.7 peratus syarikat di Singapura telah mengautomasikan hanya sehingga 25 peratus proses perniagaan mereka, menurut Laporan ‘Negara, Pasaran dan Penyepaduan Serantau’.
Marina Bay Sands (MBS) menggunakan robot berautonomi untuk melakukan tugas penghantaran ke hotel dan Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, menjadikan pengerahan robot sedemikian yang pertama dalam sektor hospitaliti Singapura. Sekitar 69.7 peratus syarikat di Singapura telah mengautomasikan hanya sehingga 25 peratus proses perniagaan mereka, menurut Laporan ‘Negara, Pasaran dan Penyepaduan Serantau’. - Foto ZAOBAO

Majoriti syarikat Singapura telah memanfaatkan automasi dan digitalisasi dalam proses perniagaan mereka, terutama dalam memberikan perkhidmatan dan berinteraksi dengan pelanggan.

Namun, sebahagian besar penggunaannya kekal di tahap rendah, menurut dapatan satu kajian baru.

Sekitar 69.7 peratus syarikat di Singapura berkata mereka telah mengautomasikan hanya sehingga 25 peratus proses perniagaan mereka, manakala 13.2 peratus pula menyatakan tiada automasi digunakan.

Namun, meskipun tiada syarikat dalam sampel Singapura itu melaporkan penggunaan automasi penuh, kebanyakan mereka telah menggunakan “sekurang-kurangnya beberapa bentuk automasi”.

Sementara itu, 55 peratus syarikat di Singapura yang ditinjau itu berkata mereka memanfaatkan digitalisasi bagi penyampaian perkhidmatan, seperti aplikasi telefon bimbit dan platform tempahan digital – menunjukkan keutamaan jelas bagi peningkatan teknologi dalam khidmat pelanggan, menurut laporan.

Dapatan utama Laporan ‘Negara, Pasaran dan Penyepaduan Serantau’ itu telah dikongsi semasa satu panel perbincangan yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 22 Julai, menjelang Persidangan Institut Pengajian Dasar (IPS)-Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) ‘Bandar Global Singapura: SG60 Dan Selanjutnya’ pada 29 Julai nanti.

Ahli panel terdiri daripada penyelidik utama, Profesor Madya Soo Yeon Kim daripada Universiti British Columbia; Profesor Edmund Malesky daripada Universiti Duke; Encik Lennon Tan, Presiden Persekutuan Perkilangan Singapura; dan Dr Faizal Yahya daripada IPS, selaku moderator.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan menyampaikan ucapan perasmian di persidangan pada 29 Julai, manakala Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, pula akan menyampaikan ucapan penutup.

Laporan tersebut telah meninjau lebih 2,300 syarikat perkilangan dari tujuh negara Asean – Singapura, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina dan Vietnam – untuk memahami cabaran yang dihadapi, serta mendapatkan pandangan mereka tentang Perjanjian Dagangan Bebas (FTA), transformasi perniagaan melalui digitalisasi dan automasi, pembangunan modal insan, kemampanan dan penyepaduan pasaran dalam rantau ini.

Di Singapura, tinjauan tersebut dijalankan Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew Universiti Nasional Singapura (NUS) dan IPS, dengan sokongan persatuan perdagangan utama.

Sebanyak 101 syarikat Singapura terlibat dalam kajian itu.

Dari segi penggunaan automasi robotik dan kecerdasan buatan (AI) pula, sekitar 21 peratus syarikat Singapura yang ditinjau berkata mereka menggunakan robot industri – lebih tinggi berbanding kebanyakan negara serantau lain.

Sementara itu, 19 peratus syarikat menggunakan AI atau alat pembelajaran mesin, yang menunjukkan keterbukaan kepada teknologi canggih, walaupun transformasi penuh kekal bertahap-tahap, menurut laporan.

Bagaimanapun, Profesor Malesky – antara penyelidik laporan tersebut – semasa membincangkan dapatan laporan di panel itu, berkata syarikat Singapura “agak ketinggalan” apabila dibandingkan dengan Malaysia (24 peratus) dalam memanfaatkan AI dan pembelajaran mesin dalam proses perniagaan mereka.

“Ini agak menarik, memandangkan kelebihan teknikal yang dimiliki Singapura secara amnya. (Sebaliknya) Firma Singapura lebih berminat tentang manfaat produktiviti,” katanya.

“Satu soalan besar adalah sama ada ini akan mempunyai impak ke atas pasaran pekerja yang beralih ke automasi,” tambahnya.

Namun begitu, laporan menunjukkan bahawa sekitar 63.5 peratus syarikat Singapura mempunyai rancangan mengautomasikan antara 11 dengan 50 peratus proses perniagaan mereka dalam tiga tahun mendatang.

Ini menunjukkan “peralihan daripada persediaan digital kepada pelaksanaan operasi”, kata laporan itu, dengan hanya 5.4 peratus syarikat menjangkakan tiada automasi lanjut.

Tiada syarikat juga melaporkan mempunyai rancangan untuk automasi penuh.

“Ini menunjukkan pendekatan terukur dan pragmatik terhadap langkah menyepadukan teknologi baru, yang mungkin mencerminkan keprihatinan mengenai potensi kehilangan pekerjaan dan pemberhentian kerja serta keperluan bergerak ke hadapan seiring dengan latihan semula atau peningkatan kemahiran untuk melengkapi proses automasi baru,” menurut laporan.

Jika dibandingkan dengan negara Asean lain, Indonesia mempunyai jumlah tertinggi syarikat yang merancang automasi penuh (22.2 peratus), manakala Kemboja (38.8 peratus) dan Malaysia (31.7 peratus) pula mempunyai rancangan mengautomasikan antara 51 dengan 99 peratus proses perniagaan mereka dalam tiga tahun mendatang.

Walaupun mempunyai rancangan automasi yang sederhana, syarikat di Singapura bagaimanapun optimistik tentang manfaat produktiviti masa depan, dengan 33.3 peratus syarikat menjangkakan peningkatan 7.5 peratus hingga 10 peratus dalam produktiviti daripada automasi – yang tertinggi dalam kalangan semua negara yang ditinjau.

Sebahagian besar syarikat di Singapura juga menjangkakan automasi mempunyai kesan terhad ke atas pekerjaan – 40.3 peratus responden meramalkan tiada perubahan dalam bilangan pekerja, manakala 27.3 peratus menjangkakan sedikit peningkatan dalam pekerjaan.

Sementara itu, hanya 29.9 peratus meramalkan pekerjaan berkurangan dalam syarikat.

Di panel perbincangan, Encik Tan berkata kos mungkin antara faktor mengapa syarikat Singapura tidak memanfaatkan automasi, dengan syarikat biasanya perlu melabur antara $3 juta dengan $5 juta untuk mengautomasikan sepenuhnya proses mereka.

Di samping itu, sekiranya syarikat itu berurusan dengan pasaran lebih kecil di Singapura, adalah sukar bagi mereka memberikan kewajaran untuk pelaburan berjumlah besar berbanding dengan loji perkilangan di Malaysia yang berada dalam pasaran lebih besar dan berasaskan eksport.

“Oleh itu, saya fikir syarikat kita memerlukan lebih banyak bantuan, contohnya pinjaman risiko bersama dengan pemerintah menyokong sebahagian automasi tersebut,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg