Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih banyak syarikat tebar sayap luar negara meski wujud tekanan kos

Dec 9, 2025 | 6:54 PM
Acara Tinjauan Pasaran DBS 2026, perniagaan, ekonomi
Acara Tinjauan Pasaran DBS 2026 pada 4 Disember disertai oleh (dari kiri) Penyampai Money FM 89.3, Encik Ryan Huang, selaku moderator; Ketua Kumpulan Perbankan Korporat dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) DBS, Encik Chen Ze Ling; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Kok Ping Soon; Pengasas Ryan’s Grocery, Cik Wendy Foo; dan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Far East Flora, Encik Ryan Chioh. - Foto BT

Data pertumbuhan yang kukuh dan kebimbangan perdagangan yang semakin reda telah meningkatkan semula keyakinan, sekali gus menarik lebih banyak syarikat mempertimbangkan peluang meluaskan perniagaan ke luar negara.

Ini meskipun mereka masih berdepan dengan tekanan kos yang berterusan dan ketidaktentuan geopolitik.

Demikian menurut satu sesi panel pada acara Tinjauan Pasaran DBS 2026 yang diadakan di hotel Amara Singapore, pada 4 Disember.

Acara itu dihadiri sekitar 200 tetamu yang terdiri daripada pelanggan perbankan korporat dan institusi.

Walaupun hasrat untuk berkembang ke luar negara sentiasa wujud, Ketua Kumpulan Perbankan Korporat dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) DBS, Encik Chen Ze Ling, berkata syarikat kini menyedari adanya keperluan membina rantaian bekalan dan asas pelanggan yang lebih berdaya tahan.

“Idea kepelbagaian demi mengurangkan risiko dan mencari pasaran lebih luas kini menjadi pertimbangan utama semua pihak,” kata Encik Chen, yang juga pengarah urusan bank tersebut.

Perkara itu turut dilihat dalam Tinjauan Perniagaan Nasional 2025 oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) yang dikeluarkan pada November 2025, lapor The Business Times (BT).

Peluasan ke luar negara merupakan salah satu daripada tiga keutamaan yang ingin dipergiat oleh perniagaan dalam tempoh 12 bulan akan datang, selain kejuruteraan semula proses perniagaan dan pempelbagaian rantaian bekalan.

“Langkah tambahan ini yang ingin diambil oleh syarikat memberi kami keyakinan.

“Ia menunjukkan perubahan yang sedang berlaku, dan syarikat-syarikat ini mampu berdaya tahan dengan menyesuaikan diri agar terus maju,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBF, Encik Kok Ping Soon.

Seorang anggota panel, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Far East Flora, Encik Ryan Chioh, berkata usaha pertama syarikat itu ke Hong Kong “kurang berjaya” akibat perbezaan budaya serta penduduk yang tidak begitu “celik Internet”.

Namun pada 2010, Far East Flora memasuki pasaran Malaysia dan “agak berjaya”, katanya, dengan pasaran berkembang dan syarikat itu menambah pelaburan.

Beliau berkata kebolehlaksanaan pasaran bergantung kepada faktor seperti saiz pasaran, akses kepada modal dan modal insan.

Selain itu, sesi panel selama sejam itu turut menyentuh mengenai penggunaan teknologi, kepentingan kerjasama dan kelestarian dalam perniagaan.

Mengenai kelestarian, Encik Kok menekankan bahawa syarikat SME Singapura masih tertinggal dalam melaksanakan amalan lebih hijau berbanding rakan sejagat dan juga syarikat besar tempatan.

Namun beliau menggariskan tiga sebab praktikal mengapa SME perlu menjadikan kelestarian sebagai teras strategi mereka, sambil menyatakan “ia bukan sahaja baik untuk alam sekitar, malah membantu menjimatkan kos”.

Menyentuh tentang cabaran yang dihadapi SME, Encik Chen menekankan para pemilik perniagaan tidak perlu menempuh perjalanan kelestarian itu secara bersendirian.

“Kami menggalakkan semua agar turut serta dalam perjalanan meningkatkan usaha kelestarian, kerana Singapura sedang menuju ke masa depan rendah karbon, di samping pengguna tempatan yang semakin berubah dan rantaian bekalan sejagat yang juga sedang membuat peralihan,” tambah Encik Chen.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg