Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan CEO DBS: S’pura perlu berani bentuk masa depan kewangan dunia baru

Saran pembentukan Dolar S’pura berasas blok rantai digital bagi permudah perjalanan pengguna
Dec 8, 2025 | 5:22 PM
Piyush Gupta, blockchain, DBS
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS Bank, Encik Piyush Gupta, mencadangkan pembentukan Dolar Singapura (SGD) berasaskan blok rantai (blockchain) digital. - Foto BH oleh ANWAR SALEH

Singapura harus mengambil langkah lebih berani untuk kekal di hadapan dalam dunia kewangan yang semakin pesat berubah disebabkan teknologi blok rantai atau blockchain, token dan kecerdasan buatan (AI), kata mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS Bank, Encik Piyush Gupta.

Dengan dunia berdepan dengan teknologi baru yang sedang membentuk semula sistem kewangan sejagat, Encik Gupta menggesa Singapura agar bergerak lebih pantas untuk membina sistem dan peraturan yang akan menentukan bagaimana wang dan perkhidmatan kewangan akan berfungsi pada masa hadapan.

“Kita berada di ambang peluang penting untuk transformasi besar-besaran dalam cara kewangan berfungsi, dan dengan itu terdapat potensi besar untuk menerima tatanan dunia yang baru sepenuhnya.

“Sama seperti Singapura mengambil langkah berani dan tegas untuk memulakan gelombang liberalisasi sektor kewangan pada 2000 sebagai tindak balas kepada perubahan dalam persekitaran sejagat, kita kini mempunyai peluang untuk membentuk masa depan kewangan,” kata Encik Gupta.

Beliau berkata demikian semasa berucap di siri Ceramah Institut Pengajian Dasar (IPS)-Nathan yang ke-17, yang diadakan di Rumah Alumni Yayasan Shaw di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 8 Disember.

Encik Gupta, yang juga merupakan felow S R Nathan IPS yang ke-17, berucap mengenai topik, ‘Masa Depan Kewangan: Bagaimana Singapura Boleh Menyumbang Melebihi Kemampuannya’.

Beliau berkata walaupun tujuan asas wang sebagai sebuah penyimpan nilai, medium pertukaran dan unit akaun kekal malar, bentuknya sedang mengalami satu lagi perubahan bersejarah.

Kebangkitan teknologi seperti blockchain dan AI agentik, katanya, sedang mengubah cara kepercayaan dibina, bagaimana urus niaga bergerak, dan siapa yang mengambil bahagian dalam ekosistem kewangan.

AI agentik merujuk kepada teknologi AI yang boleh melaksanakan tugasan berbilang langkah yang kompleks secara bebas dengan campur tangan manusia yang minimum.

Untuk mereka bentuk prasarana kewangan yang baru ini, Encik Gupta, yang pernah menerajui DBS Bank sebagai CEO dari November 2009 hingga Mac 2025, berkata ia memerlukan “kehendak bersama” semua pemain dalam industri ini.

Ia termasuk institusi kewangan sedia ada, syarikat baru, institusi bukan kewangan, serta sektor awam untuk bersama-sama mewujudkan dan membentuk prasarana kewangan baru.

“Terdapat potensi untuk Singapura membawa dunia yang dipacu oleh AI dan yang berasaskan token, dan disokong oleh prasarana yang lebih cekap, fleksibel dan selamat.

“Memang akan ada risiko tetapi memandangkan perubahan besar yang sedang berlaku, kita perlu mengambil langkah berani untuk terus berkembang maju sebagai pusat kewangan,” kata Encik Gupta.

Memberi gambaran bagaimana teknologi blockchain boleh mengubah sifat pemindahan nilai dalam kededua aset kewangan dan bukan kewangan, Encik Gupta mengusulkan pembentukan Dolar Singapura (SGD) berasaskan blockchain digital yang akan memenuhi tiga tujuan.

Yang pertama ialah ia akan mewujudkan jenis pembayaran atau “faktor bentuk” yang sama yang boleh digunakan merentasi dompet, kod QR dan kad, justeru memudahkan perjalanan pengguna.

Tujuan kedua adalah untuk mempertahankan diri daripada membiarkan aliran modal keluar ke stablecoins Amerika Syarikat sedang dinamik mata wang dunia berubah.

Yang ketiga adalah untuk mengukuhkan lagi reputasi Singapura sebagai pusat kewangan sejagat terkemuka di barisan hadapan teknologi masa hadapan.

“Ia akan menghantar isyarat kuat tentang kedudukan kita sebagai peneraju dalam arena ini, dan hasrat negara kita untuk menerima dunia baru yang berasaskan token,” kata Encik Gupta.

Selain pembayaran, Encik Gupta turut menggesa Singapura agar memikirkan semula pasaran modalnya dari bawah ke atas.

Menggunakan token, katanya, boleh mengurangkan kos pengeluaran sehingga 60 peratus, membolehkan penyelesaian hampir serta-merta, memasukkan peraturan pematuhan ke dalam instrumen kewangan, dan membolehkan pengawasan kawal selia masa nyata.

Beliau turut menunjukkan potensi besar untuk hartanah berasaskan token, daripada pemprosesan gadai janji automatik kepada hak milik hartanah yang didigitalkan sepenuhnya dan sekuriti yang disokong gadai janji.

Walau bagaimanapun, untuk visi ini menjadi realiti memerlukan pembaharuan dan penyelarasan undang-undang merentasi firma hartanah, pejabat undang-undang dan institusi kewangan.

“Jika terdapat mana-mana negara yang boleh membuka jalan untuk masa depan sedemikian, ia adalah Singapura.

“Dengan pengawal selia yang berpandangan ke hadapan, asas teknologi yang mendalam, perkongsian awam-swasta yang erat, dan semangat inovasi dan perusahaan yang kuat, Singapura berada pada kedudukan baik untuk mereka bentuk susunan kewangan baru,” kata Encik Gupta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg